Menu halal AS di Miami Grill


Miami Grill di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor merupakan satu-satunya cawangan restoran tersebut di Asia yang menyediakan sajian halal.


BUKAN mudah untuk menikmati sajian kulinari yang bercitarasakan Amerika Syarikat (AS) di bawah satu bumbung di negara ini.

Namun, tidak bermakna anda perlu mengembara sehingga ke AS dan merentasi beberapa negeri di negara itu seperti California, Miami dan Philadelphia untuk menikmati kelazatan sajian dari negara Uncle Sam tersebut.

Kini, mereka yang ingin menikmati pelbagai sajian popular dari negara itu hanya perlu berkunjung ke rangkaian restoran popular dari AS, Miami Grill yang beroperasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Menghidangkan sajian popular seperti classic philly cheesesteak, philly nacho cheese, mixed wing, grilled chicken, greek salad dan big Miami burger penggemar makanan Barat wajib singgah dan mencuba hidangan berkenaan.

Hidangan popular

Pengarah Operasi, Miami Grill Malaysia, Izatsham Othman berkata, restoran itu merupakan satu-satunya cawangan Miami Grill di Asia yang menyediakan sajian halal.


Pengunjung boleh memilih sos untuk dimakan bersama Grilled Wings.


“Lebih separuh sajian yang dihidangkan di Miami Grill di Amerika Syarikat terdapat di restoran ini.

“Antara hidangan popular dan sering mendapat sambutan adalah sajian yang berasal dari Philadelphia iaitu philly cheesesteak.

“Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba mixed wing dan grilled chicken dengan pilihan sos yang berbeza,” katanya.

Tambahnya, kesemua hidangan yang terdapat di restoran itu telah melalui proses ujian rasa oleh cef dari Miami sendiri bagi menjaga kualiti sajian agar rasanya seperti asal walaupun resipinya telah diolah dengan menggunakan bahan yang halal.

“Namun, apa yang penting kesemua bahan yang digunakan adalah halal dan menepati kehendak syariat.


PHILLY Cheesesteak antara hidangan kegemaran pengunjung.


“Mereka yang ingin membawa anak kecil juga tidak perlu risau kerana kami juga menyediakan hidangan yang sesuai untuk kanak-kanak,” jelasnya.

Jelasnya, kebersihan merupakan perkara asas dalam perniagaan makanan dan Miami Grill amat menitikberatkan aspek tersebut.

“Saya sentiasa berpesan kepada kesemua pekerja supaya sentiasa mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan,” tuturnya.