Rembat: Lelucon, realiti unik masyarakat Malaysia


REMBAT meletakkan latarbelakang masyarakat Malaysia berbilang bangsa yang menjadikan ia dekat dengan penonton.


MENGANGKAT suka bola sepak yang begitu dekat dengan masyarakat Malaysia, ditambah pula aksi lelucon dua pelakon terbaik Malaysia berbeza keturunan, Shaheizy Sam dan Aniu cukup menjadikan filem kedua arahan sutradara muda Shamyl Othman sebagai antara filem yang wajar diberi perhatian bagi tahun ini.

Bukan mudah untuk menyatukan pelakon daripada dua bangsa berbeza dalam satu naskhah berlatarbelakangkan kisah rakyat Malaysia. Paparan dalam filem Rembat ternyata melahirkan kesegaran baharu yang patut menjadi contoh kepada naskhah-naskhah akan datang kerana elemen natural dalam filem tersebut sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Cerita bermula apabila dua sahabat baik, Malik (Shaheizy Sam) dan Chin Chye (Aniu) bertemu semula selepas tamat persekolahan. Menariknya, pertemuan tanpa diduga itu terjadi selepas mereka dipenjara akibat bergaduh dengan sekumpulan penyokong kelab bola sepak antarabangsa yang memperlekehkan pasukan bola sepak tempatan.

Dibelenggu masalah berbeza, Chin Chye, seorang pemuda yang mempunyai hutang dengan ceti haram manakala Malik memerlukan sejumlah wang untuk membiayai kos pembedahan ibu kepada kekasihnya, Azira (Zara Zya). Jika Malik gagal mendapatkan sejumlah wang tersebut, bapa Azira bakal mengahwinkan anaknya itu dengan seorang lelaki kaya.

Masing-masing dihimpit status kewangan, namun seorang ceti haram berjanji untuk memberi habuan lumayan jika mereka berjaya menculik pemain tambatan skuad negara, Safee Sali. Ceti itu berharap ketiadaan Safee Sali menyebabkan pasukan kebangsaan tewas dititik pasukan Thailand.

Dalam usaha untuk menjalankan ‘misi’ itu, Malik dan Chin Chye berdepan dengan pelbagai cabaran yang pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi gara-gara diburu ceti haram terkenal MR Baby (Zizan Razak) dan konco-konconya usai diberitahu lokasi perlawanan Malaysia-Thailand ditukar dari Shah Alam, Selangor ke Ipoh, Perak.

Pada pengakhiran cerita, Malik dan Chin Chye terpaksa bergegas ke Johor selepas sekali lagi lokasi perlawanan ditukar menyebabkan mereka mencari seribu satu cara untuk dapat hadir ke lokasi tersebut untuk melangsaikan misi mereka sekali gus memberi titik positif terhadap permasalahan mereka berdua.

Keserasian pelakon


GANDINGAN Aniu (kiri) dan Shaheizy Sam menjadi titik fokus filem Rembat.


Secara keseluruhannya, filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM4.5 juta ini merupakan sebuah karya jujur yang menepati cita rasa masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Keserasian antara Sam dan Aniu wajar mendapat pujian ramai kerana rasanya tidak keterlaluan dikatakan mereka berdua sebagai ‘penghubung’ plot menghidupkan setiap babak dengan cemerlang.

Lelucon yang lahir dari setiap lontaran patah perkataan dan tingkah laku kedua-dua pelakon tersebut sangat natural dan mahal membuatkan filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Perak dan Johor itu mahal di mata penonton.

Sinematografi menarik tetapi ringkas serta kesan bunyi berkesan menjadikan filem tersebut sebagai sebuah naskhah yang lengkap rencahnya.

Bagaimanapun, apa yang lebih membanggakan tentunya latar masyarakat yang digunakan. Kepelbagaian bangsa yang diterapkan sangat unik dan muhibah sekali gus menjadikan adunannya sangat ‘menjadi’.

Dalam pada itu, watak-watak sampingan lain seperti yang dilakonkan oleh pelakon seperti Zizan, Zara Zya dan Sherry Alhadad turut mencuri perhatian penonton dengan cara tersendiri.

Justeru, walaupun dewasa ini banyak filem antarabangsa terutama dari Hollywood memonopoli kerusi di panggung, tidak salah jika filem tempatan seperti Rembat diberi peluang yang sama. Kata orang, tidak kenal maka tidak cinta.

Barangkali filem ini mampu mengubat kerinduan terdapat karya agung daripada pengarah profilik negara, Allahyarham Yasmin Ahmad yang terkenal dengan adunan realiti masyarakat Malaysia berbilang kaum.