Masjid Al-Najihin bertaraf lima bintang



MENJEJAKKAN kaki di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur memberikan suasana yang menyenangkan bagi pengunjung kerana konsep rekaannya yang menarik dan tersusun.

Paling mendapat perhatian ialah tandas dan tempat wuduknya sangat bersih serta dijaga rapi sehingga sukar melihat kekotoran.

Bagaikan berada di hotel lima bintang, pengunjung seolah-olah leka bersantai usai sahaja melaksanakan ibadat solat. Ada yang membaca buku dan surat khabar yang diletakkan di satu ruang khas selain melepaskan lelah sambil bersembang dengan rakan-rakan.

Ketua Pentadbir dan Ketua Imam Masjid Al-Najihin, Mohd. Abdul Aziz Mohamed berkata, pihaknya sangat menitikberatkan aspek kebersihan yang menjadi tunjang utama rumah ibadat untuk memberi keselesaan terutamanya ketika melaksanakan ibadah solat.

“Pembersihan dilakukan secara berkala oleh empat orang tukang cuci. Tugas mencuci dan menyusun bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari biasa, Sabtu (8 pagi hingga 12 tengah), manakala Ahad mereka diberikan cuti.

“Pihak kami berganding bahu dengan persatuan penduduk untuk mendapatkan respons serta pandangan bagi membuat penambahbaikan supaya masyarakat dapat melaksanakan ibadah dalam keadaan selesa dan tenang,” katanya yang merupakan Ketua Imam Masjid Al-Najihin sejak enam tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah, Masjid Al-Najihin dinobatkan sebagai masjid terbersih di Kuala Lumpur selama tiga tahun berturut-turut.

Paling menggembirakan, kebersihan tandas dan bilik wuduk telah mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ahli Jawatankuasa Penilaian Jawi telah memilih 14 buah masjid di sekitar Kuala Lumpur untuk dianugerahkan sebagai masjid terbersih antaranya Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinci; Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.

Masjid yang berkeluasan 8,042 meter persegi itu dilengkapi dengan kelengkapan asas tandas seperti alat pengering tangan dan kaki, mesin penyahbauan, pewangi, tisu, sabun serta aksesori seperti pokok hidup atau hiasan.


MASJID Al-Najihin berkeluasan 8,042 meter persegi dan mampu memuatkan 5,000 orang jemaah.


Kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) turut disediakan seperti tempat wuduk khas, tandas, laluan kerusi roda, kerusi roda dan tempat letak kenderaan bagi membolehkan mereka menjalankan ibadah di masjid tersebut dalam keadaan selesa tanpa sebarang halangan.

Sambutan

Menurut Mohd. Abdul Aziz, sejak masjid tersebut dibuka kepada orang awam pada 14 Mei 2009, ia mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat dan orang luar yang mengambil peluang bersolat di situ sehinggakan ramai jemaah pada setiap kali tiba waktu solat.

“Masjid Al-Najihin dibina setinggi tiga tingkat yang boleh menampung bilangan jemaah sehingga 5,000 orang. Ia turut dilengkapi bilik mesyuarat, dewan, bilik pengurusan jenazah, bilik imam, tempat membaca dan bersantai serta kerusi urut.

“Pada waktu zohor dan asar kira-kira 400 orang solat berjemaah di sini,” jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tuturnya lagi, pihaknya merangka pelbagai program untuk mendekatkan penduduk dengan masjid antaranya, mesyuarat bulanan dengan persatuan penduduk, kuliah subuh dan maghrib, kelas tuisyen, pengajian fiqh dan tauhid, ceramah khas bulanan, kelas fardu ain untuk remaja, tahsin Quran untuk muslimat serta menubuhkan Kelab Persatuan Silat Masjid Al-Najihin untuk remaja.

Program dan aktiviti sentiasa mengikut peristiwa semasa seperti sempena Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada 10 Oktober ini, Masjid Al-Najihin akan mengadakan program berjalan kaki 1,000 langkah.

Masjid landskap

Bercerita mengenai perancangan Masjid Al-Najihin pada masa hadapan, Mohd. Abdul Aziz memberitahu, beliau telah mendapat persetujuan daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menjadikan masjid tersebut sebagai masjid landskap yang pertama di Kuala Lumpur. Ia bakal dilaksanakan pada tahun 2016.


TEMPAT mengambil wuduk yang selesa dan bersih memudahkan jemaah untuk berwuduk.


Selain itu, masjid itu juga bakal melancarkan laman web sendiri pada akhir tahun ini dan menubuhkan Biro Remaja memandangkan sebelum ini hanya ada Biro Muslimat dan Muslimin sahaja bagi mengeratkan lagi hubungan masyarakat dengan masjid.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Ann Awang, 40, seronok beribadah di Masjid Al-Najihin kerana keadaannya yang bersih dan selesa.

“Saya selalu singgah solat di masjid ini dan saya dapati suasana sekitarnya sentiasa dijaga, malah ruang bersantai juga turut disediakan.

“Tandas dan tempat berwuduk juga bersih. Ia memberikan imej positif terhadap agama Islam yang mementingkan penjagaan kebersihan apatah lagi dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah,” katanya yang tinggal di Taman Midah, Bandar Tun Razak. Jarak rumahnya dengan masjid tersebut kira-kira 10 minit perjalanan dengan menaiki kereta.

Seorang lagi pengunjung, Rahana Manan, 59, amat menyukai rekaan masjid yang memudahkan jemaah untuk menunaikan solat kerana jarak tempat letak kereta, tempat wuduk dan ruang solat sangat dekat tanpa perlu menaiki anak tangga.

“Ia sangat mesra pengguna terutamanya orang-orang tua dan OKU kerana susun atur masjid itu yang memudahkan untuk pergi ke satu tempat dengan mudah. Malah, kawasannya juga sangat cantik.

“Saya selalu solat maghrib dan isyak di sini dan jika ada kelapangan pada waktu lain juga sering singgah di sini. Masjid Al-Najihin menjadi pilihan utama setiap kali menunaikan solat kerana sangat selesa dan cantik,” katanya yang merupakan pereka landskap.

Tambahnya, beliau turut mengesyorkan kepada rakan-rakan untuk bersolat di Masjid Al-Najihin kerana ia akan memberikan satu pengalaman baharu dan mengubah persepsi mengenai masjid yang bukan sahaja tempat untuk beribadat tetapi boleh juga menjalankan aktiviti santai di situ.