De’Meises pilih Ayda


DE’MEISES menampilkan pelakon dan penyanyi Ayda Jebat dalam klip video single kedua mereka, Biar Saja.


SELEPAS pertaruhan pertama dengan lagu Dengarlah Bintang Hatiku mendapat sambutan hangat di negara ini, kumpulan De’Meises sekali lagi mencipta fenomena tersendiri apabila single kedua mereka berjudul Biar Saja turut menerima impak yang serupa.

Kumpulan yang dianggotai Iman (vokal), Messi (gitar), Irwan (gitar), Neno (bass) dan Riza (drum) itu masih mengekalkan luahan emosi dan cinta sebagai tunjang utama terhadap karya mereka.

Menurut vokalisnya, Iman, penerimaan hangat yang diterima terhadap kedua-dua single mereka benar-benar di luar jangkaan.

“De’Meises sudah ditubuhkan sejak 2008 lagi, tetapi pada waktu itu nama kami tidak seteguh hari ini kerana muzik di Indonesia sering berubah-ubah. Ada ketika dangdut berada di atas, tetapi ada ketikanya, pop dan balada pula meningkat naik.

“Tambahan pula, kami terpaksa bersaing dengan kumpulan lelaki lain yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Jadi, ia membuatkan kami sukar untuk menempa nama. Sehingga pada hujung tahun lepas single Dengarlah Bintang Hatiku memasuki pasaran Malaysia, ternyata penerimaannya di luar jangkaan,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran single Biar Saja di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyedari jarak masa yang agak lama untuk mengeluarkan single kedua, Biar Saja selepas Dengarlah Bintang Hatiku, Iman menambah, mereka ada alasan tersendiri.

“Setiap ahli kumpulan kami mempunyai agenda tersendiri di sana (Indonesia). Ramai yang tidak tahu, selain bergelar pemuzik, kami juga sebenarnya mempunyai pekerjaan tetap. Jadi, disebabkan itu agak sukar untuk kami mengeluarkan single demi single dalam waktu yang cukup singkat.

“Tetapi, dalam masa sama, pekerjaan itu tidak mengganggu rutin harian kami sebagai penyanyi. Insya-Allah, De’Meises akan tetap bersama dan tidak akan berhenti untuk menghasilkan lagu terbaik kepada semua peminat,” ujar Iman.

Kumpulan yang berasal dari Cianjur, Indonesia itu juga menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert. Bagi mereka, konsert bagaikan sebuah kepuasan dan platform untuk menghargai keberadaan peminat yang menyokong muzik mereka.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki di Malaysia, kenapa tidak untuk buat konsert. Sememangnya kami juga teringin untuk melakukannya, tetapi semuanya bergantung kepada pihak syarikat rakaman,” ujar Riza.

Dalam masa sama, Riza turut memberitahu bahawa mereka bakal muncul dengan album kedua menjelang tahun hadapan.

Guna Ayda Jebat

Menariknya, untuk kelahiran single kedua kali ini, De’Meises turut menggunakan khidmat pelakon dan penyanyi Ayda Jebat untuk terlibat dalam klip video single Biar Saja.

Ujar Iman, pada awalnya mereka tidak mengetahui status wanita yang menjadi pelakon dalam penggambaran klip video mereka. Namun, selepas masing-masing saling mengikuti di laman Instagram, barulah mereka sedar posisi Ayda yang merupakan pelakon dan penyanyi popular di Malaysia.

“Pada mulanya, kami tidak tahu siapa dia (Ayda), sebab yang mengusulkan cadangan itu adalah pihak Warner Music sendiri.

“Selepas mengenali dia, ternyata keserasian itu ada. Ayda juga sangat senang orangnya dan kami anggap ini sebagai penghargaan kepada peminat-peminat kam, terutamanya di Malaysia,” ujar Iman.

Malah, menurut Ayda pula, kemunculannya dalam penggambaran klip video penyanyi lain merupakan pengalaman pertamanya. Apatah lagi melibatkan artis dari seberang, Ayda menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai momen paling berharga.

“Sewaktu ditawarkan untuk projek ini, jujur saya kurang mengenali siapa mereka. Selepas saya cari maklumat mereka di internet, barulah saya tahu De’Meises merupakan sebuah kumpulan yang cukup popular di Indonesia dan juga Malaysia.

“Menariknya, pada waktu itu juga barulah saya tahu yang saya pernah menyanyikan lagu hit mereka, Dengarlah Bintang Hatiku di Instagram beberapa bulan lepas. Rezeki terpijak rupanya,” Ayda tertawa ceria sambil bercerita.

Penggambaran klip video lagu Biar Saja dilakukan sekitar bulan Mei lalu di Jakarta dan hanya mengambil masa selama sehari untuk disiapkan.