Tinggal Pengasih demi kerjaya


FOTO: MOHD. AZIM - Zamani (dua dari kanan) ditemani Zulfazil (kanan) dan Zubaidah (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Rumah Pengasih di Bukit Tunku semalam.


KUALA LUMPUR – Penyanyi Zamani menafikan dia melarikan diri dari Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih) sebaliknya meninggalkan pusat pemulihan itu dengan rela hati selepas tempoh rawatannya selama enam bulan tamat sejak Julai lalu.

Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 44, berkata, keputusan untuk keluar dari Pengasih adalah untuk meneruskan kehidupannya di luar serta menghidupkan semula kerjayanya sebagai penyanyi.

“Ingin ditegaskan, saya tidak melarikan diri sebaliknya keluar dari Rumah Pengasih dengan rela hati selepas yakin saya mampu untuk meneruskan kehidupan sendiri dan meneruskan kerjaya nyanyian.

“Sebenarnya, tempoh rawatan di Pengasih hanyalah enam bulan tetapi saya teruskan sehingga lapan bulan.

“Keluarga saya juga sudah membuat perbincangan dengan pihak Pengasih pada dua minggu lalu untuk mengeluarkan saya tetapi sehingga kini belum ada kata putus,” kata Zamani yang tampil pada sidang akhbar di Pengasih di sini semalam.

Pada sidang akhbar tersebut, Zamani turut ditemani oleh abangnya, Zulfazil, kakaknya, Zubaidah, pengurusnya, Johan Aziz serta peguamnya Mohd. Zhafri Aminurashid.

Penyanyi berkenaan turut menjelaskan tindakannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor pada pukul 3 pagi Jumaat lalu hanyalah untuk memberitahu bahawa dia telah keluar dari pusat pemulihan dadah berkenaan.

“Laporan polis tersebut dibuat hanya untuk memberitahu saya telah keluar secara rela hati dan berada dalam keadaan selamat,” jelas Zamani.

Bekas vokalis kumpulan Slam itu juga memberitahu, dia dan keluarganya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Pengasih meskipun pusat pemulihan itu membuat laporan polis mendakwa dia melarikan diri dari situ.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.