Mirip disuntik elemen Bollywood


ELEMEN muzik banyak digunakan dalam Mirip


NASKHAH berjudul Mirip sememangnya sebuah filem yang boleh dianggap sebagai satu percubaan berani yang dilakukan pihak Green Screen Production. Jika kebiasaannya filem tempatan yang dihasilkan lebih mengguna pakai konsep lokaliti, tidak bagi filem Mirip.

Ini kerana, menerusi Mirip, satu pertaruhan baharu dibuat dengan menghasilkan sebuah filem Melayu yang disuntik dengan elemen Bollywood. Lebih menarik, naskhah tersebut juga diberi sentuhan oleh pengarah berbakat dari India, Jokin.

Keadaan itu sekaligus meletakkan filem tersebut mempunyai kelasnya yang tersendiri apabila menjadi satu-satunya filem Melayu yang digarap dengan elemen muzik dan tarian seperti filem-filem Bollywood sedia ada.

“Ini merupakan filem pertama arahan saya sendiri untuk industri filem Melayu tempatan. Sememangnya saya sendiri berasa teruja dan gembira diberi kepercayaan untuk mengarahkan sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang cukup menarik.

“Apa yang saya boleh katakan, ia merupakan sebuah filem yang unik kerana ia dihasilkan sama seperti menerbitkan sebuah filem Bollywood,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Jokin, cabaran paling besar yang dihadapinya dalam menghasilkan filem tersebut hanyalah dari aspek komunikasi bahasa. Sungguh pun begitu, kerjasama yang diberikan oleh kesemua pelakon dan krew produksi memudahkan dirinya untuk menterjemahkan apa yang diinginkan.

“Semestinya cabaran dan halangan utama adalah dari segi bahasa memandangkan saya berasal dari India. Bagaimanapun, saya cukup kagum dengan para pelakon yang terlibat kerana mereka mampu memberikan apa yang diinginkan dalam setiap babak,” katanya yang memberitahu penggambaran dilakukan di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur.


LOKASI penggambaran banyak dilakukan di Melaka.


Menampilkan pelakon Fezrul Khan dan Ezzaty Abdullah selaku teraju utama, filem yang diklasifikasikan dalam kategori muzikal itu turut menggunakan teknologi khas dalam proses suntingan.

“Dalam filem ini, Fezrul memegang dua watak yang berbeza. Jadi, ada babak-babak yang menampilkan dua imej Fezrul serentak. Sudah pasti, ia memerlukan satu teknologi suntingan khas untuk menghasilkan kualiti video yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, bagi Fezrul pula, dia mengakui berdepan cabaran untuk melakukan aksi menari dan bermain alat muzik dalam filem berkenaan.

“Saya kena belajar banyak langkah tarian dan gerakan. Bukan itu sahaja, memandangkan filem ini banyak elemen muzikal, jadi ada banyak babak saya perlu lakukan dengan bermain gitar,” katanya.

Kata Fezrul, bekerja dengan pengarah luar secara tidak langsung memberinya satu pengalaman yang baharu dalam karier seninya. Apatah lagi dengan pengarah dari India, cita rasa dan teknik arahan juga jauh berbeza.

“Sewaktu penggambaran, satu babak itu adakalanya dirakam berkali-kali. Sampaikan saya sendiri tidak tahu mengapa ia dilakukan sedemikian.

“Bukan itu sahaja, sepanjang berada di set, saya juga perlu memberikan fokus sepenuhnya memandangkan keperluan saya membawakan lebih daripada satu watak iaitu sebagai Nik dan Irwan,” katanya.

Mirip mengisahkan kehidupan seorang lelaki kampung, Nik yang menyelamatkan seorang penyanyi popular yang mempunyai wajah persis dirinya yang dikenali sebagai Irwan. Bagaimanapun, konflik kemudian mula timbul apabila kedua-dua mereka bertindak untuk melakukan penyamaran apabila Nik mengambil tempat Irwan selaku penyanyi.

Filem yang turut menampilkan pelakon Reen Rahim, Nur Qistina dan Sarah Hilderbrand itu bakal menemui penonton pada 5 November depan.