Cabaran pembikinan filem masa kini


Kamil (kanan) sering berbincang dengan kakitangannya.


Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang ditubuhkan pada tahun 1981 merupakan sebuah badan yang menjadi peneraju utama kepada industri perfileman negara ke persada dunia. Membangun dengan empat misi utama, Finas merupakan perbadanan yang ditubuhkan untuk memimpin industri filem negara supaya berada sebaris dengan karya-karya hebat lain di pentas antarabangsa. Antara kandungan misi Finas adalah untuk memperkasakan kemudahan dan perkhidmatan perfileman negara, mengantarabangsa bahan kandungan kreatif tempatan dan lokasi penggambaran, menerbitkan kandungan visual tentang dasar, pencapaian kerajaan dan mempromosikannya melalui pelbagai saluran dan mendokumentasi, memelihara dan memulihara kandungan audio visual. Bagaimanapun, selepas lebih tiga dekad penubuhan Finas, sejauh manakah perubahan yang telah berlaku terhadap industri perfileman negara. Ikuti kupasan dan wawancara yang dikelolakan oleh wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI bersama Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

KOSMO! AHAD: Bagaimana Datuk melihat perkembangan industri filem tempatan bermula dari era filem Jalan Ampas sehingga hari ini?

KAMIL OTHMAN: Pada hari ini, industri filem Malaysia mengalami perkembangan terutama cara pembikinan filem itu sendiri yang jauh berbeza semasa zaman kegemilangan Jalan Ampas. Pada ketika itu penggiat filem menggunakan sistem studio iaitu penggambaran dilakukan secara tertutup seiring dengan kehendak pasaran pada waktu itu. Dahulu, penonton hanya bergantung pada tayangan di pawagam berbeza pada hari ini apabila penonton dihiburkan dengan pelbagai medium seperti televisyen, internet dan media sosial. Bagaimanapun, cara penyampaian iaitu olahan cerita tidak banyak berubah apabila masih mengekalkan naratif tradisional yang mudah untuk diterima penonton tempatan.

Adakah filem di Malaysia kini boleh dilabelkan sebagai produk yang setanding dengan filem-filem antarabangsa?

Kalau dilihat daripada aspek penceritaan, filem-filem di Malaysia mampu bersaing dengan pasaran filem dari luar negara, cuma kelemahannya di sini adalah daripada aspek pembikinan yang belum mantap sepenuhnya kerana masih terikat dengan budaya skrin selain skrip yang tidak cukup mantap. Secara jujur saya katakan bahawa, terdapat kualiti beberapa produk filem tempatan yang dibuat selayaknya hanya untuk tayangan televisyen sahaja. Elemen cerita juga masih terikat dengan genre yang sama. Filem tempatan jika hendak dieksport ke luar negara sebaiknya perlu menonjolkan elemen negara sendiri dan bukannya cuba meniru hasil dari negara luar untuk diekperimentasi di dalam karya. Potensi besar adalah seperti filem sejarah kerana ceritanya adalah fakta dan pernah berlaku, namun cuba dihasilkan dengan nafas baharu. Malaysia masih belum menghasilkan sebuah filem biopik, contohnya seperti kisah perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra ke London bagi menandatangani deklarasi kemerdekaan dengan pihak British. Secara tidak langsung penggiat filem boleh mencari peluang pasaran ke London dengan kerjasama dengan pengkarya di sana untuk menghasilkan filem tersebut.

Bagaimana Datuk menyambut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh bekas Pengerusi Finas, Datuk Seri Azalina Othman Said apabila beliau mengatakan bahawa filem tempatan seharusnya keluar dalam zon selesa?

Sudah sampai masanya para penggiat filem berikhtiar untuk mencari dana sendiri bagi menghasilkan filem mereka dan tidak hanya bergantung pada dana yang diperuntukkan oleh kerajaan. Selain itu, Sijil Wajib Tayang yang dikeluarkan untuk semua karya filem Malaysia harus diganti dengan alternatif lain yang difikirkan sesuai, namun masih lagi membantu para penggiat seni filem tanah air. Mengikut undang-undang, semua karya yang dihasilkan akan ditayangkan di pawagam walaupun mutu filem tersebut tidak memberangsangkan. Penghasilan sesuatu cerita itu tidak perlu terlalu sukar untuk diterjemahkan sehingga memeningkan penonton. Penulis dan penerbit terutamanya generasi baharu seharusnya lahir dengan idea-idea segar dan tidak terikut-ikut dengan modal sedia ada. Skrip yang bagus dan jalan cerita yang ringkas sahaja sudah mampu menarik kelompok penonton untuk ke panggung wayang. Contohnya seperti filem Jepun bertajuk Departures yang mengisahkan tentang seorang pemuzik yang diberhentikan kerja dan pulang ke kampung menjadi jurusolek mayat.

Adakah kawalan Lembaga Penapisan Filem Negara terhadap penghasilan sesuatu filem itu menjadi kekangan terhadap penggiat seni untuk berkarya?

Sebab itu kita memerlukan seorang pengkarya yang boleh berfikir dari luar kotak. Kreativiti menghasilkan sesuatu filem itu penting supaya hasilnya tidak lapuk. Tidak dinafikan kita terikat dengan akta Lembaga Penapisan Filem Negara dengan melakukan suntingan terhadap adegan yang dianggap lucah dan keterlaluan serta boleh mencetuskan kontroversi dengan menyentuh sensitiviti perkauman. Bagaimanapun, kita masih boleh mengambil pendekatan selamat melalui teknik penggambaran. Contohnya seperti filem Belle de Jour (1967) dari Perancis yang memaparkan kisah seorang pelacur. Bagaimanapun, tidak ada sedikit pun adegan seks atau aksi bogel yang ditunjukkan namun filem tersebut berjaya disampaikan dengan baik.

Filem dari Iran sering memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa seperti filem Facing Mirrors, A Separation dan Footnote. Apakah yang membezakan antara karya dari Iran dan Malaysia?

Filem Iran mempunyai penceritaan yang baik. Kalau dibandingkan, filem-filem di Iran, ia bukannya dilakonkan oleh pelakon terkenal, malah ada yang dilakonkan oleh orang biasa. Masalahnya ialah, penggiat seni di Iran faham akan bahasa visual berbanding dengan Malaysia yang masih terperangkap dengan karya seperti pertunjukan pentas dengan filem. Sebab itu kalau dilihat, penonton di pawagam mengambil masa yang agak lama untuk menghayati karya yang ditayangkan. Perlu diingat bahawa penonton hari ini lebih bijak memilih dan cekap melihat kelemahan yang ada. Selain itu, filem Malaysia dilihat masih terikat dengan peraturan dialog yang dituturkan oleh para pelakon. Kelemahan pada penulisan skrip menjadi masalah untuk sesuatu filem itu dijual ke luar negara, sebab itu sebelum sesuatu filem dihasilkan untuk tujuan dipertandingkan, skrip filem tersebut akan dihantar ke beberapa buah negara luar untuk dinilai.

Adakah filem yang membelanjakan jutaan ringgit menjamin kualiti sesuatu produk yang dihasilkan?

Kemampuan dan kualiti sesuatu filem itu bukan dinilai melalui modal jutaan ringgit, namun ia bergantung kepada kekuatan watak yang dilakonkan. Watak sesuatu karakter perlulah hidup dan nampak seperti realiti. Secara jujur saya melihat pelakon kita masih belum sampai ke suatu tahap di mana lakonan mereka mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton. Di Malaysia, pembikin filem hanya menghasilkan karya untuk memenuhi syarat sahaja berbanding di Hollywood apabila industri perfileman mereka dihasilkan kerana urusan perniagaan. Bezanya seperti gerai dan restoran kerana tidak semestinya restoran itu menyajikan makanan yang sedap berbanding gerai. Kalau bajet yang dilaburkan terhadap sesebuah filem itu mahal, namun kualiti dan mutu penceritaan, lakonan serta skrip yang ditonjolkan lemah, hasilnya tetap akan menghampakan.

Filem berunsurkan patriotik dan kenegaraan dilihat masih gagal mendapat sambutan di pawagam. Adakah penonton juga perlu dipersalahkan terhadap penerimaan filem-filem berunsur patriotik, sosial dan realiti kehidupan?

Pada pendapat saya, filem merupakan satu medium menterjemah yang menggunakan aspek kreativiti. Tidak semua orang berminat dengan cerita-cerita sejarah apatah lagi jalan ceritanya disampaikan dalam bentuk yang membosankan. Tidak salah untuk menghasilkan filem yang mempunyai unsur sejarah, malah ia sangat digalakkan. Sebagai contoh seperti filem Hollywood bertajuk The Patriot (2000) di mana 80 peratus apa yang diceritakan di dalam filem tersebut adalah bohong. Namun, ia masih berada di landasan yang benar kerana mengisahkan kisah tentang perang antara Amerika Syarikat dan England. Ceritanya direka semula dan diolah semula. Penerbit dan penulis perlu berani mengambil aspek kontroversi tapi bukan tujuan untuk menyampaikan kontroversi tersebut tetapi untuk memaparkan kisah sebenar yang telah diadaptasi.

Bagaimana Datuk melihat perjalanan serta nasib filem Malaysia untuk 10 hingga 20 tahun akan datang? Adakah Masih di takuk lama atau mungkin sudah berada sebaris dengan filem-filem antarabangsa?

Tugas saya sekarang adalah cuba untuk menarik penonton filem datang dan menonton filem tempatan. Sebenarnya industri kita belum sampai ke tahap seperti di Hollywood, namun ia tidak mustahil jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Saya berharap agar penonton lebih menghargai hasil karya penggiat seni tempatan dan meneruskan sokongan terhadap mereka bagi menghasilkan naskhah filem yang hebat.