Sinaran hargai Sheila Majid


Sheila merancang untuk mengadakan konsert di Singapura (Mac), Jakarta (April) dan Amerika Syarikat (Oktober) depan.


Menarik perhatian manusia itu mudah tetapi mengekalkan kesetiaan itu susah. Hakikat yang sama terpaksa ditelan sebilangan selebriti Malaysia yang menghadapi saat disayangi dan ditinggalkan peminat, namun tidak pada selebriti yang satu ini, Datuk Sheila Majid.

Alunan suaranya masih bergema di sanubari peminat setianya. Beliau masih disimbahi kerdipan bintang dan mampu membuatkan pendengarnya terkaku mendengar lagu-lagunya.

Biar usia nyanyiannya sudah melepasi tiga dasawarsa, harum seorang Sheila masih belum kurang baunya, masih segar menghiasi taman hati mereka yang menyayanginya.

Sebagai bingkisan jiwa, sebuah single, Sinaran Cinta menjadi buah tangan Sheila untuk santapan peminatnya.

"Perancangan saya, Sinaran Cinta adalah single pertama. Selepas itu, saya akan perkenalkan tujuh buah lagi lagu baharu dan memuatkannya dalam sebuah cakera padat (CD). Ia hadiah buat peminat setia Sheila Majid yang ingin mempunyai koleksi CD terbaharu saya.

"Sejujurnya, saya mahukan 10 lagu tetapi sangat sukar untuk mencari lagu-lagu yang berkualiti. Lagipun, semua sedia maklum bagaimana cerewetnya saya memilih sesebuah lagu itu," lenturnya sambil ketawa ketika ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

CD tersebut bukan membuktikan kemunculan semula Sheila, sebaliknya ia luahan terima kasih kepada peminat setianya yang tidak pernah berbelah bahagi menyokong sejak kariernya digilap seawal usia belasan tahun lagi.

"Ada orang cakap ini adalah kemunculan semula, tetapi sebenarnya saya sentiasa aktif menyanyi dan banyak menjayakan persembahan korporat.

"Selepas ini, mungkin saya akan kerap muncul di mana-mana untuk mempromosikan lagu Sinaran Cinta itu," luahnya mengenai lagu itu yang turut dijadikan lagu runut bunyi untuk filem terbaharu Sinaran.


FILEM Sinaran yang bakal ditayangkan pada 26 November ini dibintangi oleh Lisa Surihani dan Evan Sanders.


Sinaran

Siapa sangka hampir 30 tahun berlalu, lagu Sinaran yang pernah menciptakan hits pada tahun 1986 memberi laluan mudah buat seorang wanita genit di usia 21 tahun menjadi seorang bintang.

Nama Sheila mekar di beberapa pelosok negara termasuk Indonesia, Singapura dan Jepun. Takdir menemukan Sheila dengan Kevin Chin, seorang peminat setianya yang berhasrat untuk menghasilkan sebuah filem sempena nama lagu popular Sheila iaitu Sinaran, sebuah karya muzikal yang turut menampilkan sebanyak sembilan buah lagu popular wanita itu.

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 26 November itu dibintangi oleh Lisa Surihani, Evan Sander, Izara Aisyah, Syarif Sleeq dan Nadiah M.Din itu.

"Dia (Kevin) cakap dekat saya ingin buat sesuatu yang berkaitan dengan diri Sheila Majid. Jadi, selepas itu dia keluar dengan proposal filem muzikal Sinaran yang akan menggunakan semua lagu-lagu saya. Dia turut memberikan saya sebuah lagu baharu iaitu Sinaran Cinta. Selepas mendengarnya, saya sangat menyukai lagu tersebut.

"Saya sebenarnya amat teruja dengan projek Sinaran. Disebabkan itu, saya tidak perlu berfikir panjang sebelum menerima ‘lamaran’ Kevin kerana pada saya ia merupakan satu penghargaan bagi karya-karya saya untuk dikongsikan kepada generasi muda," ujarnya mengenai filem yang turut menampilkan beliau, walau tidak lama, namun dapat mengubati peminat untuk menontonnya selepas pernah muncul menerusi filem Ali Setan pada tahun 1985.

"Ibarat feri lalu. Begitulah saya dalam filem itu nanti," katanya dengan nada bercanda dan mahu membiarkan peminat berteka-teki sama ada dirinya akan berlakon dalam filem tersebut.


ANTARA babak-babak menarik dalam filem Sinaran.


Nafas baharu

Lebih membanggakan Sheila, lagu-lagu miliknya iaitu Warna, Fikirkan Dahulu, Antara Anyer Dan Jakarta, Tua Sebelum Waktu, Cinta Jangan Kau Pergi, Dia dan Sinaran akan dinyanyikan semula oleh pelakon-pelakon yang membintangi filem terbabit.

"Saya tidak kisah lagu-lagu saya itu diubah susunannya dan dinyanyikan oleh pelakon-pelakon tersebut. Sebab lagu-lagu tersebut semua sudah berusia 25 tahun ke atas.

"Mungkin pada pendapat mereka (anak muda) saya hanya seorang mak cik. Mereka tidak mahu mendengar lagu-lagu saya. Dengan adanya filem ini bersama barisan pelakon-pelakon muda itu, ia akan memberikan nafas baharu pada lagu-lagu saya. Sekali gus membuatkan anak-anak muda mengenali lagu-lagu saya. Alhamdulillah, mereka menyampaikan lagu tersebut dengan baik," ungkap peminat sukan menyelam itu dengan optimis.

Kesungguhan yang dipamerkan Kevin walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran membuahkan rasa percaya dan terharu Sheila pada lelaki itu.

"Bila saya merakamkan klip video Sinaran Cinta, penggambaran filem itu juga berlangsung. Dia bersungguh-sungguh melakukannya. walaupun pada awalnya dia berdepan dengan banyak cabaran untuk menghasilkan filem pertamanya," kongsi Sheila yang meminati senaman kardio dan pilates itu.


IZARA turut menceriakan filem yang memaparkan kisah suka duka anak muda di kolej.


Sejak bangku sekolah

Sementara itu, bagi Kevin pula, mendengar lagu Sheila iaitu Sinaran dan Tua Sebelum Waktunya ketika berada di sekolah menengah, membuatkan hatinya terpikat pada suara emas wanita itu.

Atas rasa kecintaannya pada Sheila sehingga kini, Kevin akhirnya menghasilkan filem Sinaran dan single terbaharu buat penyanyi kesayangannya itu.

"Saya hasilkan filem Sinaran ini selepas mendapat inspirasi melalui muzik Sheila. Pada saya, muzik Sheila itu patut dikongsikan kepada generasi muda supaya ia kekal malar segar sampai bila-bila," luahnya teruja.

Diajak berkongsi mengenai filemnya, kata Kevin, dia gembira dengan pemilihan Lisa dan Evan sebagai teraju utama. Selain nama gah yang dimiliki, mereka juga sangat serasi di layar perak.

"Kami mengadakan uji bakat lakonan dan tarian secara terbuka. Lisa, Evan dan juga pelakon-pelakon yang terlibat semuanya berjaya melepasi uji bakat tersebut," ujarnya mengenai filem Sinaran yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 26 November ini.

Filem tersebut mengisahkan anak muda yang bertemu di kolej dan bersama-sama menempuh cinta, persahabatan, pengkhianatan dan cita-cita.