Karya medium kritikan sosial

Dari kiri, Hisyamuddin, Sabihis dan Shafiq merupakan teman sekuliah sewaktu menuntut di UiTM.


pameran yang mempersembahkan tiga artis daripada Studio Pisang dijangka memeriahkan Galeri 13, Kelana Jaya, Selangor kerana ia menggunakan kritikan sosial sebagai tema utama.

Para pencinta seni boleh melihat sejauh mana cubaan Shafiq Nordin, Hisyamuddin Abdullah dan Sabihis Md. Pandi menghasilkan karya untuk menterjemahkan komen sosial terhadap isu yang berlaku di Malaysia pada 14 November ini.

Bakal menampilkan empat karya pada pameran itu, Hisyamuddin, 26, memberitahu, dia mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan untuk menyiapkan hasil tangannya.

Tuturnya, salah satu hasil nukilan ialah No Place Like Home yang dimanifestasi tentang perubahan landskap politik negara.

“Saya menggambarkan manusia sebagai subjek yang terkurung di dalam tong sampah. Subjek itu merujuk kepada rakyat yang dikelilingi oleh benda-benda kotor dan mengancam golongan ini.

“Lalat pula digambarkan cuba untuk menghampiri kawasan itu kerana lalat memang sukakan sesuatu yang kotor.


SABIHIS menggunakan judul Bontot Jahat untuk karyanya kerana menggemari nama yang pelik-pelik.


“Lalat adalah anasir luar yang cuba mengambil peluang untuk memasuki daerah yang telah dicemari,” kongsinya yang telah lima tahun terlibat secara serius dalam bidang seni ketika ditemui Kosmo! di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Senada dengan Hisyamuddin dan teman sekuliah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Shafiq turut menggunakan kritikan sosial sebagai tema yang diangkat dalam karyanya.

Anak jati Tampin, Negeri Sembilan itu memberitahu, dia gemar menonton filem atau drama yang diilhamkan daripada kisah benar.

Kisah-kisah itu pula dijadikan idea dan panduan untuk dia berkarya khususnya yang berkait dengan masyarakat.

Sebagai contohnya, untuk karya After The Wolf Of Wall Street yang memaparkan imej tiga ekor serigala perlu didalami mesej yang cuba disampaikan.

Korupsi


AFTER The Wolf of Wall Street hasil nukilan Shafiq.


Imej serigala yang memakai mahkota dilihat penuh dengan wang manakala dua ekor serigala di belakangnya tampak leka merebut daging yang dilemparkan.

“Wang, cuba untuk menggambarkan betapa serigala yang berada di hadapan itu cuba mengaut keuntungan dengan cara tidak betul seperti korupsi.

“Serigala di belakang pula ralit berebut daging yang dijadikan sebagai umpan untuk melekakan mereka tanpa sedar ada pihak lain cuba mengambil kesempatan,” cerita Shafiq yang akan menghasilkan empat karya untuk pameran itu.

Sementara itu, Sabihis, 27, gemar menggunakan nama yang pelik-pelik dalam karya-karyanya dan memilih judul Bontot Jahat pada pameran kali ini.

Lukisan yang kelihatan seperti dua nada utama itu menggambarkan tentang berita positif dan negatif yang diterima oleh masyarakat pada hari ini.

Katanya, masyarakat mempunyai peluang untuk memilih yang mana satu untuk didengar dan dipercayai sementara dunia sekarang sebenarnya penuh dengan berita yang tidak begitu tepat.

“Bontot adalah sesuatu yang jijik. Kita sering terperangkap dalam satu persekitaran yang kotor,” jelas anak kelahiran Raub, Pahang itu.