Penjenamaan Satu Suara Siti, Hetty, Ramli Sarip

Disifatkan sebuah persembahan spektekular, penyatuan Datuk Siti Nurhaliza bersama dua idolanyanya, Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang dalam Konsert Satu Suara Volume 2 diharapkan tidak hanya terhenti di Malaysia, sebaliknya jenama konsert tersebut dapat diteruskan menerusi sesi jelajah ke Singapura dan Indonesia pada masa akan datang.


BENAR kata pepatah, benih yang baik, kalau dicampak ke samudera bertukar menjadi pulau. Jika dibaling ke dada langit, berubah menjadi bintang dan bila terhumban ke daratan pula akan tumbuh menjadi pohon yang rendang.

Definisi tersebut kuat sekali menggambarkan betapa ampuhnya gabungan vokal Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang menerusi Konsert Satu Suara Volume 2 yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November lalu.

Jika ditafsir secara komersial, gabungan tersebut mungkin dilihat tidak cukup gah untuk menggamit kehadiran peminat atau penggemar muzik Nusantara menonton tiga figura itu beraksi di sebuah panggung berprestij.

Penggemar Siti sendiri datangnya dalam kalangan khalayak lebih muda yang mungkin kurang akrab dengan lantunan karya-karya agung milik Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang.

Sebelum konsert bermula, ada juga terdetik di hati, mengapa tidak Siti sahaja yang mengemudi konsert tersebut secara solo? Sudah pasti beliau mampu mengemudinya tanpa sebarang cacat cela. Ternyata, telahan awal tersebut terpaksa dibuang jauh-jauh.

Saat Hetty Koes Endang mengambil alih pentas, selepas Siti mendendangkan dua hit, Sendiri dan Terbaik Bagimu, fokus penonton ternyata utuh terhadap penghibur kelahiran Jakarta, Indonesia itu.

Melantunkan lagu Hadirlah Kasih dan Kasih, momentum konsert terus dipacu Hetty Koes Endang penuh bertenaga, seiring dengan kelantangan vokalnya. Wanita yang sudah berusia 58 tahun dan malah dipanggil nenek dalam kalangan anak muda itu seperti telah merasuk penonton dengan aura luar biasa.

Duet antara Siti dan Hetty Koes Endang turut menjadi tumpuan pada malam tersebut. Menyanyikan lagu-lagu seperti Bukan Cinta Biasa, Pastikan, Pedihnya Rasa dan Rindu, kedua-dua pemilik suara emas itu berjaya keluar daripada zon selesa masing-masing.

Begitu juga dengan sesi duet Siti bersama Ramli. Siapa sangka, pemilik suara serak-serak basah itu berjaya membawakan lagu Dialah Di Hati dengan baik sekali. Malah, cabaran yang diberikan Ramli kepada Siti yang dipanggil adik untuk masuk ke dalam zon rock dirangkul kemas penyanyi itu. Lagu It Takes Two yang keras dengan nuansa rock didendangkan dengan ‘kasar’ secara tersendiri oleh Siti.

Momen yang dinantikan juga ialah gandingan trio permata tiga negara itu mendendangkan Lagu Rindu dan Temasya Desa Gemalai, sekali gus menjadi penutup tirai konsert dengan jayanya.

Mungkin nuansa yang diketengahkan pada siri kedua Konsert Satu Suara kali ini jauh berbeza dengan konsert debut yang pernah menampilkan penyanyi Faizal Tahir dan Aizat Amdan sekitar lima tahun lalu.

Namun, sinergi harmoni yang terjalin antara Siti Nurhaliza, Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang membuktikan bahawa muzik serumpun tidak pernah ada batasan.

Apa yang penting, muzik boleh disifatkan sebagai bahasa universal dan boleh dinikmati oleh segenap lapisan generasi.

Magis

Berkesempatan bertemu dengan ketiga-tiga penghibur itu usai konsert, Ramli menyifatkan penyatuan mereka di atas pentas sebagai satu percikan magis yang jarang berlaku.

Ujar Ramli, 63, setiap daripada mereka mempunyai kelebihan masing-masing dan ternyata, muzik telah memberikan rona baharu terhadap kredibiliti mereka sebagai anak seni.

“Ia merupakan gabungan yang agak jarang berlaku. Saya kelaskan Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi yang penuh jiwa. Hetty Koes Endang pula sering meledakkan aura funky tetapi berlandaskan irama tradisional. Manakala, saya menyuntik elemen blues dalam irama rock & roll.

“Peluang berkolaborasi bersama Siti dan Hetty Koes Endang merupakan satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi saya,” ujarnya.

Bagi Hetty Koes Endang pula, perjalanan konsert pada malam tersebut dilihat sebagai sebuah platform berbahagi karya, yang membolehkan peminat menikmati persembahan artis pujaan mereka.

“Saya tidak pernah menganggap pentas ini sebagai medan pertempuran vokal, apatah lagi bertanding siapakah yang mempunyai suara yang paling mantap. Ia merupakan sebuah persembahan daripada tiga seniman yang mengeluarkan rasa untuk dipertontonkan,” ujarnya.

Bercakap mengenai penganjuran Konsert Satu Suara Volume 2, Siti melahirkan rasa puas hati dan gembira kerana dapat berkongsi pentas dengan dua penyanyi idolanya. Beliau mengaku, tiada apa yang lebih mengujakan selain dapat berpadu suara dalam seleksi lagu terpilih.

“Banyak lagu yang saya pilih berdasarkan kekuatan vokal Ramli dan Hetty. Alhamdulillah, setiap apa yang dirancang telah berjalan dengan lancar. Saya berasa sungguh bersyukur,” katanya.

Mahu menjadikan konsert tersebut sebagai satu jenama, Siti menambah, beliau melihat siri Konsert Satu Suara sebagai platform kepada penyanyi lain untuk menonjolkan bakat dalam skala yang besar.

Besar juga harapannya, jika ada penaja yang mahu menggerakkan jenama tersebut ke Indonesia dan Singapura supaya mereka bertiga mampu terus menghiburkan peminat di tiga negara serumpun itu.

Spekulasi hamil

Sementara itu, perhatian konsert dua malam tersebut dicuri oleh spekulasi kehamilan Siti selepas sembilan tahun bergelar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K. Siti didakwa hamil selepas satu sumber mengeluarkan kenyataan tersebut selain penyanyi itu memuat naik sekeping gambar beliau menikmati hidangan susu kambing dan kurma di laman Instagramnya.

Lantas, pihak media mengambil peluang bertanya kesahihan berita gembira tersebut. Tenang menyambut setiap persoalan yang dilontarkan, Siti tidak menolak atau mengiyakan spekulasi kehamilannya itu.

Beliau sebaliknya memohon agar perkara baik itu didoakan supaya menjadi satu kenyataan.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk saya memberi kenyataan. Doakan ia (hamil) menjadi satu kenyataannya,” katanya sambil tersenyum manis.

Penyanyi kesayangan ramai yang juga sudah ‘masak’ dengan gelora dunia hiburan itu kemudian berjanji, jika tiba masa yang sesuai kelak, pasti berita gembira tersebut akan dikongsi kepada umum. Namun, katanya buat masa ini, beliau hanya mahu memberi fokus terhadap karier.

“Saya tidak akan menyembunyikan berita baik itu, tapi bukan sekarang masanya.

Buat masa ini saya hanya mahu memberi fokus terhadap apa yang saya lakukan dan kerjaya seni juga berjalan seperti biasa. Hanya untuk tahun ini, konsert dalam skala besar saya memang sudah berjalan mengikut perancangan,” katanya menutup bicara.