Mural Ujang dilancar

16/11/2015 7:49pm


Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ujang bersama lukisan mural yang dihasilkannya bersama lima pelukis lain.


SEREMBAN - Lukisan mural Ujang yang menghiasi bangunan Terminal 1 dilancarkan petang tadi oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd. Halim Abd. Latif.

Mural sepanjang 12 meter yang dihasilkan selama enam hari sejak 26 Oktober lalu menjadi tarikan terbaharu untuk orang ramai bergambar di Seremban.

Ia dilakar oleh kartunis terkenal, Ibrahim Anon (Gambar), 50, atau lebih dikenali sebagai Ujang dengan dibantu lima pelukis lain yang melakar watak popular dalam majalah berunsur kartun, Ujang.

"Mural ini menonjolkan imej kekeluargaan, cara hidup di kampung terutama budaya di Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat Perpatih.

"Ia memaparkan watak kartun popular seperti Atuk, Aca dan watak Ujang yang cukup sinonim dan dekat dengan diri saya," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Mural Ujang di Terminal 1 di sini hari ini. K! Online