Nafas baharu Kau Ilhamku

19/11/2015 12:27pm

KUALA LUMPUR – Lagu Kau Ilhamku nyanyian Man Bai, kini mendapat nafas baharu sempena kolaborasi antara syarikat telekomunikasi terkemuka Malaysia, Celcom Axiata dengan penyedia perkhidmatan muat turun muzik digital antarabangsa, Yonder Music.

Antara nama-nama besar dalam industri seni tempatan dan luar negara yang menyumbangkan suara bagi lagu ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Afgan, Ariel Noah dan Cita Citata.

Pengasas dna Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music, Adam Kidron berkata, lagu Kau Ilhamku tersebut dipilih untuk diperbaharui kerana gubahan muziknya yang tidak lapuk dek zaman.

"Pertama kali saya mendengar pemain gitar Malaysia, Russell Curtis memainkan lagu itu, saya terus jatuh cinta pada alunan muziknya.

"Untuk menjadikan ia lebih menarik, pihak Yonder Music berjaya mengumpul penyanyi-penyanyi hebat dari Malaysia dan Indonesia bagi bergabung suara menyanyikan Kau Ilhamku versi baru," ujarnya di Majlis Pelancaran Aplikasi Yonder Music di The Garage KL, hari ini.

Yonder Music adalah satu aplikasi muzik yang hanya boleh dinikmati oleh pelanggan Celcom untuk memuat turun lagu-lagu kegemaran mereka secara percuma. - K! ONLINE