Demokrasi muzik Yonder Music


KOLABORASI: Dari kiri, Ariel, Siti Nurhaliza, Afgan dan Man Bai sewaktu mendendangkan lagu Kau Ilhamku.


Berita baik buat peminat tegar penyanyi popular tanah air dan antarabangsa, kini mereka berpeluang untuk memuat turun lagu-lagu kegemaran mereka secara percuma dengan menggunakan aplikasi Yonder Music di telefon pintar mereka.

Rangkaian yang dilancarkan di Amerika Syarikat tahun lalu ini mengetengahkan kaedah demokrasi dalam muzik apabila peminat tidak perlu membayar untuk sebarang muat turun lagu, manakala bayaran royalti buat penyanyi lagu yang dimuat turun dikira berdasarkan berapa kerap lagu mereka dimainkan menerusi aplikasi tersebut.

Tambah istimewa, aplikasi itu dicipta khusus untuk pengguna telefon bimbit pintar kerana menyedari hampir keseluruhan individu memiliki alat komunikasi itu. Justeru, ia memudahkan pengguna untuk terus memuat turun lagu di telefon tanpa perlu ada sebarang proses pemindahan daripada komputer.

Menyifatkan aplikasi tersebut seperti perpustakaan muzik, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music, Adam Kiron berkata, ini adalah langkah awal untuk mengurangkan kegiatan memuat turun lagu secara haram yang semakin berleluasa.

Tanpa sebarang bayaran mahupun data internet yang digunakan, pasti orang ramai akan berpusu-pusu untuk memuat turun lagu-lagu artis kegemaran mereka menggunakan saluran yang betul.

“Yonder Music adalah platform terbaik untuk peminat dan artis saling mendapat manfaat daripada dunia seni kerana semua pihak tidak akan merasa kerugian apa-apa.

“Seiring dengan kemajuan teknologi zaman sekarang, proses pendigitalan muzik adalah langkah yang perlu diambil serius. Inilah yang cuba kami perkenalkan menerusi Yonder Music,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi Yonder Music Bersama Celcom Axiata di The Garage KL, baru-baru ini.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim (berdiri, lima dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazalli Ramly (duduk, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonder Music, Adam Kidron (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama sebahagian selebriti ketika majlis kerjasama antara Yonder Music dan Celcom Axiata.


Eksklusif

Walau bagaimanapun, hak istimewa untuk menikmati kehebatan bersama Yonder Music dikhaskan untuk pengguna talian syarikat telekomunikasi gergasi tempatan, Celcom Axiata.

Yonder Music memilih untuk bekerjasama bersama Celcom kerana mempercayai keluasan rangkaian talian yang dimiliki oleh mereka di Malaysia.

Bagi Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Celcom Axiata, Zalman Affendy Zainal Abidin berkata, ini merupakan salah satu cara pihak Celcom menunjukkan penghargaan kepada pengguna setia talian mereka.

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan aplikasi Yonder Music kepada pelanggan sebagai satu hadiah di atas kesetiaan mereka bersama rangkaian telekomunikasi Celcom,” katanya lagi.

Sebagai permulaan, pengguna yang memiliki kad sim Celcom Magic Sim atau menggunakan pakej talian Celcom First diberi peluang untuk menikmati aplikasi Yonder Music secara percuma selama sebulan bermula 18 November hingga 18 Disember depan.

Bagi meraikan kerjasama ini, Yonder Music telah berjaya mengumpulkan barisan artis popular dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menyanyikan lagu popular Kau Ilhamku milik Man Bai, versi baharu.

Antara artis yang terlibat ialah Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Ariel Noah, Cita Citata, Afgan, Joe Flizzow dan Sonaone.

Bercakap mengenai pemilihan lagu tersebut, Kiron memilihnya sebagai lagu pengenalan Yonder Music di negara ini kerana irama yang menarik dan dikenali oleh semua rakyat Malaysia.