Rezeki tersingkir, Nizam ditaja umrah

Byline="Oleh ARINA AZLAN
Foto AZIZUL ABD. MAJID">


LAGU Rindu Serindu rindunya menjadi persembahan Nizam Laksamana dalam konsert Gegar Vaganza musim kedua.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah itu sesuai menggambarkan situasi peserta Gegar Vaganza musim kedua (GV2), Nizam Laksamana yang tersingkir pada minggu keenam minggu lalu, namun ada perkara lebih baik menantinya.

Tidak berasa ralat dengan penyingkiran tersebut, Nizam atau nama sebenarnya, Mohd. Nizam Pechok, 49, sebenarnya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, namun rezeki yang datang bersama penyingkiran itu adalah satu kejutan besar yang langsung tidak dijangka.

Niatnya yang ingin menggunakan duit kemenangan andai dinobat juara untuk ke Tanah Suci Mekah semakin hampir menjadi kenyataan apabila penaja utama program yang juga pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Vida menyatakan kesudian menaja kos pelantun lagu Gugurnya Bunga Cinta itu bersama isterinya, Salwati Zulkifli menunaikan umrah tidak lama lagi.

KOSMO!: Adakah anda kecewa kerana tersingkir sekali gus melenyapkan impian Nizam bergelar juara GV2?

NIZAM: Tidak, saya tahu saya tersingkir selepas berjuang habis-habisan. Saya telah berikan yang terbaik dalam program tersebut.

Jadi, saya puas hati dan tidak berasa ralat kerana di sebalik semua itu, ada kemenangan lain yang saya sudah capai.

Boleh jelaskan dengan lebih lanjut tentang kemenangan yang dimaksudkan?

Sebaik sahaja tamat konsert baru-baru ini, Datuk Seri Vida telah datang kepada saya secara peribadi dan memberitahu tentang kesudian beliau menaja saya dan isteri menunaikan umrah pada tahun ini. Kemungkinan besar selepas GV2 menutup tirai nanti.

Inilah kemenangan sebenar saya, langkah sudah terhenti tetapi insya-Allah, saya akan meneruskan perjalanan ke Tanah Suci Mekah. Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Seri Vida kerana bermurah hati menunaikan impian saya yang satu itu. Tiada apa lagi yang saya inginkan, rasanya Tuhan sudah kabulkan permintaan saya.

Adakah anda menyangka Datuk Seri Vida akan memberikan tawaran seperti itu?

Saya langsung tidak menjangka keprihatinan beliau dan selepas beliau menawarkan peluang itu barulah saya tahu, sebenarnya beliau sudah lama memerhati saya sepanjang pertandingan.

Beliau tahu apakah tujuan saya jika menang GV2, malah tahu saya mengimamkan solat para peserta jika ada kelapangan. Saya berasa terharu kerana beliau sebenarnya mengambil berat tentang peserta-peserta walaupun secara diam-diam.

Berbalik kepada penyingkiran, adakah anda dapat mengagak keputusan juri?

Sebenarnya saya sudah jangka perkara itu kerana sejak seminggu lalu memang keadaan kesihatan saya agak merosot. Saya demam dan batuk, namun tetap cuba memberikan persembahan terbaik, cuma bukan rezeki saya untuk meneruskan perjuangan di pentas GV2.

Adakah anda menyalahkan keadaan kesihatan sebagai punca penyingkiran?

Tidak sama sekali, itu adalah ujian Allah. Saya sudah berusaha dan makan ubat dengan kadar yang lebih sedikit daripada biasa dengan harapan cepat sembuh.

Selain tersingkir dan mendapat rezeki terpijak untuk mengerjakan umrah secara percuma, difahamkan ada satu lagi kejutan yang berlaku kepada anda pada malam ini (Ahad lalu)?

Sebenarnya, sepanjang bergiat dalam dunia seni dari tahun 1991 sehingga sekarang, malam ini cukup istimewa kerana pertama kali ibu saya, Huwi Mohd. Sani, datang menyaksikan persembahan saya secara langsung.

Dia menitiskan air mata apabila saya tersingkir kerana memikirkan saya tidak kuat untuk terima kekalahan tetapi sebenarnya saya sudah bersedia. Cuma biasalah, ibu pasti mahu yang terbaik untuk anaknya.