Penangan muzik Akim & The Majistret



BERMULA sebagai kumpulan eksperimen, siapa sangka kini Akim & The Majistret dilihat sebagai band paling mencuri tumpuan sepanjang 2015. Ledakan lagu Mewangi dan Potret memecah skeptikal bahawa karya kumpulan muzik tempatan arus perdana sama jaguh dengan kugiran dari luar.

Dianggotai tujuh anak muda berbakat iaitu Akim selaku penyanyi, Wan (pemain dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (pemain bass) dan Afiez (pemain keyboard), langkah mereka semakin hari semakin rancak selepas album studio sulung berjudul Patriot lahir pada Ogos lalu.

Pendakian mereka agak pantas, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa, campaklah single baharu Akim & The Majistret ke dalam mana-mana carta muzik sekali pun, lagu mereka akan memecut ke tangga teratas dan kekal di situ untuk beberapa ketika sehinggalah single lain ciptaan mereka sendiri singgah mengambil tempat.

Barangkali, niat menubuhkan band atas dasar percubaan atau eksperimentasi terpaksa dipadam kerana kelibat kumpulan itu bukan sahaja ditagih, bahkan mewujudkan tanda aras baharu kepada industri muzik yang sejak beberapa tahun tertumpu kepada kumpulan dari luar negara.

“Kami berkarya atas dasar minat. Apa yang menjadi fokus utama adalah menghasilkan bunyi atau muzik yang mudah diserap oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan usia.

“Rasa seronok apabila karya-karya yang kami dihasilkan mendapat tempat dalam hati peminat. Bertambah seronok lagi apabila diberitahu golongan kanak-kanak juga boleh menghafal bait-bait lagu yang kami hasilkan.

“Ini membuktikan nukilan kami mudah diterima oleh masyarakat,” ujar Zimi atau nama lengkapnya Zarimi Zahari yang bertindak sebagai gitaris serta ketua kumpulan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum Akim & The Majistret menjadi sebuah jenama yang diperkatakan ramai, anggota kumpulan tersebut sebenarnya sudah pun berdiri teguh dengan band masing-masing seperti 6ixth Sense, Sofazr dan Hyper Act.

Gjie dan Wan pernah menganggotai 6ixth Sense, manakala Zimi dan Fairuz merupakan anggota kumpulan Sofazr. Freddy (Hyper Act) serta Afiz pernah bermain untuk kumpulan New Boyz suatu ketika dahulu.

“Mulanya kami hanya bergabung sebagai sebuah kumpulan untuk single Mewangi. Tidak sangka single tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

“Alasan itu membuatkan kami terus kekal bersama dan melahirkan karya-karya yang lebih berkualiti,” ujar Akim selaku vokalis yang juga merupakan bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ketujuh.


ANUGERAH Dua tahun dalam industri, Akim & The Majistret pernah memenangi beberapa anugerah seperti Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik 21 (2014), Artis Duo Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular (2014) dan Grup/Duo MeleTOP serta Lagu MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era (2014).


Cabaran utama kepada jangka hayat sesebuah band tergantung kepada cara bagaimana mereka mengekalkan kebersamaan dan kesepakatan setiap anggota kumpulan. Ternyata ia bukan perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan komitmen tinggi, toleransi dan semangat setiakawan yang kuat.

Lihat sahaja kumpulan rock legenda tempatan seperti Search dan Wings yang masih relevan sehingga hari ini, biarpun sudah berpuluh tahun dalam industri.

Setiakawan

Begitulah pemilik lagu terbaik di pentas minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 30 melalui Potret baru-baru ini.

Mengakui masih hijau berdepan iklim muzik yang sukar diramal, Akim & The Majistret berharap terus teguh tanpa terheret permasalahan remeh yang boleh membawa perpecahan ahli.

“Selalu juga kami bertengkar kerana tidak sekepala dalam sesuatu hal. Jika hal itu berlaku, kami akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Alhamdulillah, setakat ini tiada apa-apa masalah besar kerana masing-masing tertakluk dengan komitmen hidup lain seperti rumahtangga dan keluarga.

“Saya melihat Akim & The Majistret sebagai peluang kedua kepada sebahagian daripada kami yang pernah mempunyai band atau kugiran terdahulu.

“Boleh dikatakan sekarang ini segalanya lebih tersusun dan saya yakin semua akan kekal untuk jangka masa yang lebih panjang, insya-Allah,” kata Akim dalam nada bersemangat.

Selain banyak masa dihabiskan di studio rakaman, Zimi memberitahu, ada masanya mereka melalukan aktiviti masing-masing dan berkumpul untuk berhibur bersama.

Bukan mudah untuk mereka selalu bersama kalau tiada urusan kerja, tetapi akan melakukan yang terbaik setiap kali muncul di atas pentas.

“Kami akan jalani latihan atau jamming di studio seminggu sekali. Itu ritual kami untuk mencapai keserasiannya di atas pentas. Bagaimanapun, apabila tiada persembahan pentas atau latihan, kami bebas dengan hal peribadi masing-masing.

“Jika ada waktu lapang, kami juga gemar menghabiskan waktu bermain futsal, berkaraoke dan lepak di kedai mamak. Aktiviti-aktiviti seperti itu mengeratkan persahabatan, sekali gus memberi impak yang positif terhadap muzik kami,” kongsi Zimi jujur.

Pasaran luar

Saat diajukan soalan berhubung peluang dan keinginan meluaskan pengaruh ke luar negara, Akim menjelaskan, tiada apa yang ingin mereka kejarkan. Biar setiap apa yang dirancang berjalan satu persatu secara perlahan tetapi selamat.

“Bagi saya, biar kami tawan hati peminat di tanah air sendiri dulu. Kami tidak mahu dilihat terlalu tergesa-gesa hanya kerana satu atau dua karya kami mendapat sambutan. Apabila sudah cukup segala ‘senjata’, kami akan pergi berperang di kawasan baharu yang lain persekitarannya dan kembali ke tanah asal dengan rasa bangga.

“Kami yakin dengan muzik bercirikan Melayu dan gabungan bunyi moden yang dibawa.


ORIGINAL Zimi (dua dari kanan) menyifatkan pandangan ramai terhadap persamaan muzik kumpulannya dengan band rock antarabangsa, Muse sebagai satu kebetulan. Mereka tidak meniru tetapi percaya bahawa muzik itu universal dan tiada ruang dalam kamus hidup Akim & The Majistret untuk meniru karya orang lain.


“Jadi, usaha serius dan menyeluruh untuk mengembalikan kegemilangan Search di Indonesia misalnya, mungkin akan terlaksana,” getus Akim memasang angan-angan.

Zimi pula menambah, biarpun teguh dengan pendirian untuk memenangi hati peminat tempatan terlebih dulu, mereka sebenarnya kerap dilamar melakukan persembahan di luar negara seperti Indonesia, London dan Melbourne, Australia.

Terbaharu, sebuah projek bersama kumpulan popular Indonesia, Nidji sedang dalam perancangan. Mengikut perancangan, sebuah single kolaborasi mereka akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia.

“Kami berjumpa dengan vokalis kumpulan tersebut iaitu Giring pada Anugerah Planet Muzik baru-baru ini. Dia berminat untuk berkolaborasi. Kalau ada rezeki, ia akan menjadi kenyataan.

“Menariknya, ia akan dilancarkan di sana (Indonesia) terlebih dulu dan kemudian di Malaysia. Kalau projek berkenaan menjadi, harapnya ia akan menjadi medium terbaik untuk muzik kami diperkenalkan di sana,” kata Zimi.

Misi 2016

Banyak perancangan dan pencapaian memuaskan jiwa sudah diraih sepanjang 2015. Mengulas tentang perancangan tahun baharu 2016 yang bakal tiba kurang sebulan daripada sekarang, Akim memberitahu banyak agenda sudah tersusun dalam kotak perancangan mereka.

Secara peribadinya, dia mahu melihat kumpulan yang menjadi nyawa kedua buat karier muziknya itu terus memacu kemajuan dan mencipta impak positif terhadap dunia hiburan tanah air.

“Saya percaya Akim & The Majistret akan kekal bersama untuk tempoh yang panjang. Tinggal lagi, komitmen dan semangat setiap anggota perlu dipupuk dari semasa ke semasa agar impian kami jadi kenyataan,” tambah Akim.

Antara misi yang ingin dicapai tentunya Anugerah Juara Lagu edisi ke-30 (AJL30) yang bakal berlangsung pertengahan Januari tahun depan selepas rezeki tidak menyebelahi mereka pada edisi yang lalu apabila gagal mara ke acara gemilang itu menerusi lagu Mewangi.

“Kami banyak belajar sebagai sebuah kumpulan. Tahun lalu, saya akui kami masih mencari kesesuaian kerana baru digabungkan walaupun Mewangi mendapat sambutan yang begitu hangat ketika itu.

“Kali ini, saya rasa kami lebih bersedia apabila beraksi di atas pentas. Bagaimanapun, kami tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk mara atau menang sebarang anugerah dalam acara tersebut edisi kali ini. Apa yang lagi penting adalah melakukan persembahan yang terbaik,” ujar Akim.

Selaku tunjang kumpulan, Zimi pula berhasrat dapat mengadakan konsert empat penjuru dengan band-band lain seperti Hyper Act, 6ixth Sense dan Sofazr menjelang tahun mendatang.

“Kalau ada rezeki, saya mahu idea itu menjadi kenyataan. Ia untuk meraikan kesepakatan dan keterbukaan masing-masing dalam berkarya.

“Saya mahu kami semua diingatkan bahawa walau tinggi mana pun dijulang, walau berderet anugerah diterima dan sehebat mana karya, kami semua bermula daripada bawah dan tiada sebab untuk meninggi diri atau lupa siapa kami sebelum ini,” ujarnya menutup bicara.