Faliq jejaka pertama berani lamar Nad

Keluarga - Sebagai anak tunggal, Nad sangat rapat dengan kedua ibu bapanya. Oleh itu, mencari seorang suami yang mementingkan keluarga merupakan perkata penting buat wanita itu. Sejak Faliq berani membawanya berjumpa keluarga dan setelah melihat keakraban antara mereka, keyakinannya bertambah dan sedia untuk dinikahi Faliq.


“Ini kad kahwin saya, sudah tidak sabar-sabar kalian mahu tengok saya kahwin cepatkan,” bersahaja kata-kata pelakon bermata bundar, Nad Zainal menghulur sekeping kad bersampul putih seraya tertawa kecil.

Tergamam, mungkin itu perasaan yang paling tepat untuk digambarkan kerana pada sangkaan awal, Nad mungkin akan meloloskan diri sebelum sempat ‘ditangkap’ untuk ditanya soalan cepu emas.

Alih-alih, tuan empunya badan datang menyerah diri. Dengan penuh rela hati, bahagia di jiwanya terpancar di segenap inci raut wajah.

Farah Nadia Zainal Abidin, 25, atau lebih popular dengan panggilan Nad Zainal akhirnya menamatkan spekulasi tarikh pernikahannya, apabila dia sendiri mengesahkan bakal disunting menjadi suri hidup kepada pilihan hati, Muhammad Faliq Amirudin, 27, pada tanggal 18 Disember ini.

Faliq merupakan senior aktres itu ketika menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekitar 2007 dan kini bekerja sebagai kru untuk sebuah syarikat produksi.

Pada rembang petang Isnin baru-baru ini, Nad mengotakan sebuah janji kerana dia pernah memberitahu, jika tarikh hari bahagianya sudah ditetapkan, dia sendiri akan mengirim kad perutusan raja sehari.

Kini, berbaki dua minggu menjelang detik berkenaan, barulah aktres kecil molek itu berjaya mengumpul keberanian untuk berkongsi kegembiraan menghitung detik diperisterikan orang.

“Semakin dekat dengan tarikh, semakin risau. Bukan apa, saya takut apa yang dirancang tidak berjalan dengan lancar.

“Kerana itulah, saya tidak mahu hebohkan perancangan nikah terlebih dulu, saya bimbang timbul perkara-perkara yang tidak diingini sebelum masa ijab kabul dijalankan,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelancaran koleksi tudung Amy Mastura by Ezalha di Ruang, Shah Alam.

Jodoh

Mula rapat pada bulan Februari 2015 selepas hampir beberapa tahun tidak berjumpa, rupa-rupanya keakraban semula itu menjadi satu petanda bahawa Faliq adalah insan yang dinanti-nanti Nad selama ini.

Tidak menunggu lama untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan, mereka berdua sepakat memeterai ikatan cinta menjadi pertunangan pada 31 Ogos lalu, menjadikan ia sebuah fasa mempersiapkan diri untuk memasuki alam perkahwinan.

Ketika ditanya tidakkah keputusan berkenaan terlalu terburu-buru, riak muka pelakon filem Histeria itu langsung tidak menunjukkan bibit keraguan.

“Faliq lelaki pertama yang ajak saya kahwin. Sebelum ini, belum pernah ada yang berani melamar dan membawa saya berjumpa dengan keluarga untuk berkenalan.

“Mungkin inilah tandanya dia jodoh saya. Hati terus berdetik setuju apabila diajak bernikah dan segala perbincangan selepas itu berjalan tanpa sebarang masalah,” kata Nad yang tidak pernah terlintas untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini.


Pemimpin - Pintu hati Nad terbuka menerima lamaran Faliq setelah melihat lelaki itu mempunyai ciri-ciri ketegasan dan boleh menjadi pemimpin keluarga selepas berkahwin. Mengakui dirinya seorang yang egoistik dan keras kepala, Nad kagum dengan cara Faliq yang membuatkannya mendengar kata tanpa sebarang kekerasan atau paksaan.


Hampir empat bulan merahsiakan pertunangan, Nad menjelaskan alasan tindakannya itu. Dia sebenarnya mahu mengelak sebarang fitnah atau cakap-cakap orang sepanjang tempoh pertunangan.

Sebagai wanita, dia tidak mahu kejadian kompang habis dipalu seluruh kampung, tetapi sudahnya, apa yang dihajatkan tidak kesampaian.

Hati siapa tidak melonjak kegirangan apabila mula menghitung detik menjelang pernikahan, namun Nad sedaya upaya cuba mengawalnya sehingga tiba masa yang sesuai.

“Pertunangan berjaya dirahsiakan cuma bila masuk bulan Disember sahaja, ura-ura tarikh nikah kami terbocor tanpa sengaja. Ada di antara rakan-rakan terlepas cakap kerana terlalu tidak sabar melihat saya berkahwin.

“Payah juga bila orang bertanya kerana saya ingin mengiakan tetapi terpaksa mendiamkan diri dulu sebelum tarikh yang ditetapkan sudah hampir benar. Sebab itu saya pernah komen, jika sudah pasti semuanya, saya sendiri akan umumkan,” terangnya sambil tertawa kecil.

Berubah perlahan-lahan

Kata orang, pasangan serasi harus saling melengkapi kekurangan dan menampung kelebihan yang ada pada diri masing-masing.

Nad mengakui, sejak kehadiran Faliq dalam hidupnya, dia mula berubah ke arah kebaikan dan menjadi lebih matang.

Seperti contoh, ketika namanya hangat diperkatakan dek video yang disebarkan oleh bekas pembantu peribadinya, Along Zureen tentang perangainya yang didakwa kurang ajar ketika melawat sebuah rumah anak yatim, Nad hanya mendiamkan diri dan tiada sebarang serangan balas.

“Sebelum ini, semua orang tahu saya jenis yang lantang bersuara dan ada kalanya bercakap tanpa berfikir baik buruk terlebih dulu.

“Namun sejak bercinta dengan Faliq, dia banyak memujuk agar saya lebih bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi tegang seperti ini. Dia membawa aura positif dalam hidup saya,” katanya yang menganggap punca dia merahsiakan hal peribadi daripada pengetahuan umum kerana tidak mahu pihak keluarga terkena tempias buruk kerjayanya.

Bagi Faliq sendiri, pada mulanya dia berdepan kesukaran untuk menadah telinga mendengar khabar kurang enak tentang bakal isterinya itu, namun seiring dengan masa, perkara itu sudah tiada kesan pada dirinya.

Jejaka tinggi lampai dan berkulit hitam manis itu mengambil pendekatan saling percaya antara satu sama lain dan tidak membuat sebarang tuduhan melulu.

“Kami mungkin tidak bercinta lama tetapi persahabatan kami sudah menjangkau usia tujuh tahun. Saya kenal Nad macam mana jadi setakat cakap-cakap orang, bagi saya itu adalah perkara remeh.

“Apa yang penting, Nad pandai menjaga diri, dia hormat keluarga saya dan mengajar saya untuk menjadi lelaki yang lebih sabar apabila bersamanya,” ujarnya yang tidak berniat untuk masuk campur hal kerjaya tunangnya dan hanya menyokong dari belakang.