Konsert percuma daripada Yonder Music


ADAM KIDRON (duduk dua dari kanan) bergambar dengan barisan penyanyi dan karyawan terlibat ketika majlis pelancaran aplikasi muat turun lagu Yonder Music di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mengukuhkan lagi kedudukan di Malaysia sejak dilancarkan pada November tahun lalu, aplikasi muat turun lagu Yonder Music yang berasal dari New York, Amerika Syarikat bakal menganjurkan konsert percuma khas buat pelanggannya menjelang Mac nanti.

Ketua Pegawai Operasinya, Adam Kidron menjelaskan, selepas sambutan hangat yang diterima menerusi projek khas lagu Kau Ilhamku nyanyian semula oleh penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Ariel Noah, Elizabeth Tan, Afgan, Jaclyn Victor, Joe Flizzow, SonaOne dan Cita Citata, pihaknya berbesar hati memberi hadiah kepada pelanggan secara percuma.

“Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan, pihak Yonder Music akan menganjurkan dua buah konsert di Malaysia secara percuma. Khalayak yang ingin menonton hanya perlu memuat turun aplikasi Yonder Music dan menunjukkannya bukti tersebut di pintu masuk konsert,” katanya.

Bercakap mengenai penerimaan lagu Kau Ilhamku, Kidron berkata, lagu tersebut telah ditonton lebih 190,000 kali di laman perkongsian video, YouTube.

Lebih menarik lagi, lagu yang diolah semula itu juga akan diterbitkan dalam bentuk cakera padat oleh Universal Music Malaysia. Royalti daripada penjualan lagu berkenaan akan diserahkan beri kepada badan amal terpilih.

Selain itu, pihaknya juga memilih penyanyi Malaysia untuk terlibat dalam projek terbaharu Yonder Music.

Projek khas itu bakal mencipta sejarah apabila penyanyi terpilih akan merakamkan sebuah lagu yang dimasukkan vokal mendiang Whitney Houston.

“Saya tidak boleh dedahkan siapakah penyanyi itu. Apa yang pasti dia akan ‘berduet’ dengan Houston. Lagu tersebut merupakan lagu yang dirakamkan ketika mendiang baru berusia 18 tahun.

“Lagu duet berkenan hanya boleh didapati secara eksklusif di Yonder Music. Saya pasti ia sebuah projek besar bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” ujarnya.

Tidak hanya lagu, dalam masa terdekat aplikasi berkenaan akan menyiarkan secara eksklusif sebuah dokumentari kehidupan Whitney Houston kepada pelanggan.