Aiman pilih diam


AIMAN tetap terbuka untuk bekerja dengan Fathia dalam sebuah produksi walaupun hubungan cinta mereka tidak kesampaian.


Selepas empat tahun bercinta, hubungan pasangan pelakon popular Aiman Hakim Ridza, 27, dan Nur Fathia Latiff, 29, disahkan berakhir pada Disember lalu.

Hanya Fathia mengesahkan hubungan cinta itu sudah berakhir, namun Aiman sehingga kini mengambil langkah berdiam diri dan enggan memberi sebarangan kenyataan berhubung isu tersebut.

Menurut Aiman yang ditemui usai majlis pelancaran drama terbaharunya, Sesal Separuh Nyawa di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini, langkah berdiam diri ialah pilihan terbaik memandangkan terlalu banyak hati perlu dijaga.

Kembali solo, fokus Aiman kini hanya kepada kerjaya lakonan selain bakal membuat kemunculan semula sebagai penyanyi pada tahun ini.

KOSMO!: Apa khabar Aiman? Mungkin anda boleh mengulas tentang isu putus cinta bersama Fathia?

AIMAN: Khabar baik. Minta maaf saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara berkenaan (putus cinta). Itu kehidupan peribadi dan berharap semua pihak memahami serta menghormati privasi saya.

Mengapakah anda mengambil pendekatan untuk berdiam diri?

Bagi saya berdiam diri adalah lebih baik. Jika keluarkan kenyataan ia akan menjadi isu. Saya tidak mahu menyinggung mana-mana pihak dan banyak hati yang perlu dijaga. Saya ada ibu-bapa, begitu juga dia (Fathia) dan kami saling mengenali.

Bagaimanakah kehidupan anda selepas kembali solo?

Saya seperti manusia normal lain dan kehidupan berjalan seperti biasa. Sebagai seorang manusia normal, saya sentiasa mahu kehidupan menjadi lebih baik setiap hari.

Adakah selepas ini anda akan menerima tawaran lakonan jika digandingkan bersama Fathia?

Kerja itu rezeki. Jika ditakdirkan ada rezeki untuk bekerjasama dengannya, saya tidak menolak.

Selain lakonan, apakah perancangan kerjaya anda pada tahun ini?

Saya akan kembali fokus terhadap bidang nyanyian. Mungkin akan keluar lagu baharu. Saya juga akan membuka sebuah kafe studio iaitu Xtudio pada Mac di Ara Damansara, Selangor. Ia menggabungkan konsep kafe dan studio muzik.

Boleh anda kongsikan pengalaman berlakon dalam drama Sesal Separuh Nyawa?

Ini merupakan drama pertama saya berganding dengan Ayda Jebat selaku watak utama. Apa yang boleh saya katakan, kami cukup serasi ketika penggambaran meskipun watak yang dibawa agak sukar. Perkara yang saya suka tentang drama ini juga adalah kerana skripnya yang berbeza.

Apakah cabaran yang terpaksa dilalui ketika penggambaran di Amsterdam, Belanda?

Banyak cabaran yang kami lalui sepanjang dua minggu di Amsterdam. Antaranya cuaca yang tidak menentu dan terpaksa berpindah hotel sebanyak enam kali.

Ada pada satu ketika, kami terpaksa duduk di bawah pokok selama satu jam untuk tunggu hujan berhenti sebelum menyambung semula penggambaran. Bukan mudah, tetapi cukup seronok dapat bekerja dengan pengarah Michael Ang.

Apakah kini anda semakin memilih watak dalam lakonan?

Ya, saya terpaksa memilih kerana kerap ditawarkan watak yang sama berulang kali. Saya pun bosan bawa watak sama dalam setiap drama. Sebab itu, saya akan teliti skrip terlebih dahulu, jika ada sedikit kelainan akan diterima. Jika boleh saya teringin bawa watak berat dan mencabar seperti lelaki psiko, tetapi sehingga kini belum pernah menerima tawaran sedemikian.