Lebih 7,000 kelahiran mati berlaku setiap hari

PARIS – Sejumlah 7,200 bayi mati dalam kandungan setiap hari atau bersamaan 2.6 juta bayi setahun, manakala separuh daripada kematian itu berlaku semasa bersalin, demikian menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal The Lancet semalam.

Situasi itu yang disebut kelahiran mati merujuk kepada kematian janin dalam kandungan yang berusia lebih 28 minggu. Kematian sebelum tempoh tersebut dianggap sebagai keguguran.

Tambah laporan itu, perangkaan pada tahun lalu itu mewakili penurunan sekitar 24.7 peratus kepada 18.4 kelahiran mati bagi setiap 1,000 kelahiran dari 2000 hingga 2015.

Majoriti kelahiran mati berlaku di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di dunia.

“Namun, sebanyak 1.3 juta kelahiran mati masih berlaku semasa proses bersalin,” kata editor The Lancet, Richard Horton.

Kajian tersebut mendapati punca utama kelahiran mati ialah kehamilan berterusan melebihi beberapa hari daripada tarikh jangkaan bersalin.

Selain itu, faktor seperti nutrisi, gaya hidup tidak sihat seperti obesiti dan merokok, penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes, kanser dan masalah jantung turut menyumbang kepada kelahiran mati.

Negara yang mempunyai kadar kelahiran mati terendah ialah Iceland diikuti Denmark masing-masing merekodkan 1.3 dan 1.7 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran.

Dua negara itu diikuti oleh Finland, Belanda, Croatia, Jepun, Korea Selatan, Norway, Portugal dan New Zealand.

Pakistan pula mempunyai kadar kematian kelahiran mati paling tinggi di dunia iaitu 43.1 kematian untuk setiap 1,000 kelahiran diikuti Nigeria, Chad, Niger, Guinea-Bissau, Somalia, Djibouti, Republik Afrika Tengah, Togo dan Mali.

Kajian itu melibatkan sebanyak 186 negara di dunia. – AFP