Berselfie berlatarkan puncak gunung



Menjelang hujung minggu, lelaki berusia 30 tahun itu pasti merancang aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan setugasnya.

Ketika sedang berfikir aktiviti yang ingin dilakukan, Mohd. Shahrul Affendi Zakaria telah dipelawa untuk bermain petanque.

Ajakan itu terus disahut oleh anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan tersebut kerana petanque merupakan salah satu sukan kegemarannya.

Bagaimanapun, seribu persoalan mula timbul dalam benak fikiran Mohd. Shahrul selepas rakannya memaklumkan, permainan akan bermula seawal pukul 6.30 pagi di Bukit Broga, Semenyih, Selangor.

Tiba pada hari yang dirancang, sebaik selesai menunaikan solat Subuh, dia bergegas ke tempat yang dimaklumkan oleh rakannya itu.

Begitupun, apabila sampai, Mohd. Shahrul terkejut kerana mendapati tiada orang bermain petanque di kawasan tersebut.

Sebaliknya, ia merupakan tempat tumpuan orang ramai mendaki bukit sambil menghayati pemandangan alam sekitar.

Barulah Mohd. Shahrul tersedar bahawa dia telah dipermain-mainkan oleh rakan sekerjanya.

Itulah peristiwa menarik yang berlaku kepada pemuda yang menggemari sukan lasak itu sehingga melahirkan bimbit cinta terhadap aktiviti mendaki.

“Sewaktu berada di puncak, saya dapat merasakan ketenangan yang luar biasa. Bermula dari situlah, saya berazam untuk aktif dalam aktiviti ini,” imbaunya mengenai peristiwa yang berlaku kira-kira empat tahun lalu itu.

Keyakinan

Selepas itu, dia mula aktif mendaki beberapa buah bukit di sekitar Lembah Klang bersama rakan-rakannya.

Hasil daripada aktiviti itu, timbul keyakinan dalam dirinya untuk cuba menawan puncak gunung. Gunung pertama yang berjaya didaki oleh remaja berkulit sawo matang itu ialah Gunung Nuang, Selangor.


Aktiviti mendaki lebih menyeronokkan jika dilakukan dalam kumpulan.


“Selepas sebulan aktif mendaki bukit, saya mengambil keputusan untuk beralih ke gunung.

“Walaupun tanpa kelengkapan mencukupi, saya berjaya sampai ke puncak Gunung Nuang mengikut masa yang ditetapkan,” ketika ditemu bual GenK baru-baru ini.

Sehingga kini, bapa kepada dua cahaya mata itu yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang, Selangor telah menawan lebih 15 puncak gunung di seluruh Malaysia.

Antara gunung yang pernah ditawan ialah Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu, Gunung Yong Yap, Gunung Rajah, Gunung Korbu di Perak dan Gunung Tahan (Pahang).

Sejak kebelakangan ini, mendaki kian mendapat tempat dalam kalangan remaja di negara ini terutamanya mereka yang menggemari aktiviti lasak.

Mengulas mengenai kebaikan mendaki, Mohd. Shahrul berkata, melalui aktiviti itu, dia dapat belajar mengawal emosi dalam menghadapi setiap cabaran yang datang sepanjang pendakian.

Katanya, sepanjang pendakian, seseorang itu tidak hanya bertanggungjawab terhadap dirinya tetapi rakan-rakan dan kawasan persekitaran.

“Sepanjang aktiviti mendaki, kami menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan yang mencabar. Antaranya, kecederaan, sesat, cuaca dan binatang buas.

“Jika tidak pandai mengawal emosi, sudah pasti kita akan menunjukkan reaksi negatif sehingga mengganggu pendakian,” katanya yang pernah disengat 15 ekor lebah sewaktu pendakian ke Gunung Tahan.

Berbeza dengan Muhamad Razman Abdul Razak, 25, aktiviti mendaki menjadi wadah untuknya melihat keindahan alam semula jadi.

Remaja yang mula aktif mendaki sejak setahun lalu itu berkata, menerusi aktiviti tersebut, dia dapat melihat keunikan flora dan fauna serta menghayati keindahan pemandangan dari puncak.

Berselfie

“Saya memilih untuk aktif mendaki kerana ingin melihat dan menghayati alam semula jadi yang dicipta oleh Tuhan.

“Paling penting adalah berselfie dengan berlatarbelakangkan puncak gunung. Ia merupakan salah perkara wajib yang akan dilakukan oleh saya,” katanya.

Menurut anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu, aktiviti mendaki juga membolehkannya menambah kenalan baharu.

Muhamad Razman memberitahu, para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil sebelum sesuatu pendakian dilakukan.

Katanya, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, setiap ahli perlu bertanggungjawab antara satu sama lain.


PARA pendaki tidak melepaskan peluang berselfie di puncak gunung.


“Melalui aktiviti ini, saya dapat berkenalan dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang terutamanya mereka yang hebat dalam aktiviti mendaki,”ujar pelajar jurusan Pergigian di Universiti Teknologi Mara, kampus Sungai Buloh.

Walaupun mendaki tergolong sebagai salah satu aktiviti lasak, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada golongan wanita untuk turut bergiat aktif.

Salah seorang pendaki wanita, Raisa Dora Abd. Rahman, 32, berkata, sesiapa sahaja boleh mendaki andai mempunyai keinginan yang tinggi.

“Kekuatan fizikal bukan elemen utama dalam aktiviti mendaki. Sebaliknya, ia dipengaruhi oleh faktor keinginan dan kekuatan mental.

“Jadi, tidak hairanlah sekiranya ada golongan wanita mampu sampai ke puncak gunung-gunung yang mencabar,” katanya yang aktif mendaki sejak lima tahun lalu.’

Perbelanjaan besar

Menariknya, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu bukan sahaja mendaki gunung di Malaysia, malah turut menawan beberapa puncak di luar negara.

Antaranya, Kita Dake, Aino Dake, Nakashirane Dake di Jepun, Gunung Rinjani dan Gunung Raung (Indonesia) serta Pulag (Filipina).

Eksekutif di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur itu turut mengakui bahawa, aktiviti mendaki memerlukan perbelanjaan besar.

Ujarnya, selain membeli peralatan lengkap mendaki, seseorang pendaki juga perlu menanggung pelbagai kos lain seperti perjalanan, makanan, pengiring pendakian dan sewa tapak perkhemahan.

“Hobi ini memerlukan modal yang besar terutamanya mendaki di luar negara.

“Begitupun, kos itu akan terbalas seandainya berjaya sampai ke puncak dan menyaksikan pemandangan indah dari sana,” katanya yang telah berhabis puluhan ribu ringgit untuk melunaskan minatnya itu.

Mengulas mengenai perancangan tahun ini, dia berhasrat untuk menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp di Nepal.