Awis sambung perjuangan Spin


RAYMIE (dari kiri) Fidaz, Awis, Aie dan Shah bersama album single baharu mereka berjudul Sakit Terpanah.


MUNCUL semula bersama ahli baharu selepas kematian vokalis utama Allahyarham Abdillah Murad Md. Shari atau terkenal dengan nama pentas Achik, kumpulan Spin kini membuat kemunculan semula menerusi single berjudul Sakit Terpanah.

Menggunakan khidmat Awis yang merupakan adik kepada Achik sebagai vokalis, Spin kembali membawa buah tangan baharu bersesuaian dengan peredaran muzik semasa di samping mengekalkan imej kumpulan.

Selain Awis, 30, Spin dianggotai oleh Raymie, 32 (pemain bes), Aie 33 (gitaris utama) dan dua ahli baharu iaitu Fidaz, 32 (pemain dram) serta Shah, 30 (gitaris).

Menggunakan khidmat sepenuhnya oleh komposer terkenal, Aiman atau nama pentasnya, Zul 2by2, lagu Sakit Terpanah yang berentak balada moden memakan masa sebulan untuk dihasilkan.

Menjawab persoalan tempoh terlalu lama diambil untuk menghasilkan satu single, Aie memberitahu, mereka perlu melakukan rakaman secara terperinci demi memastikan kualiti lagu tersebut diterima dan berjaya memikat peminat.

“Disebabkan ini adalah peluang untuk melakukan kemunculan semula, jadi kami ingin hasilkan lagu tersebut dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya seperti melepas batuk di tangga,” tutur Aie optimis.

Tidak terlalu mendadak melakukan perubahan, Spin tetap mengekalkan teras muzik mereka yang terkenal dengan lagu jiwang dan patah hati.

“Kami masih mengekalkan cara penyampaian sama seperti yang dilakukan arwah Achik dahulu kerana itu merupakan imej Spin dan sudah dikenali oleh peminat.

“Bagaimanapun dari segi penyusunan lagu, kami mengikut perkembangan muzik semasa agar lebih mudah diterima halwa telinga pendengar,” tambah Aie.

Memegang tanggungjawab sebagai vokalis, Awis atau nama lengkapnya, Md. Arwes Qarani Md. Shari mengakui kepercayaan yang diberikan berat untuk ditanggung.

Namun, berkat dorongan keluarga, kenalan dan peminat, Awis membawa gelaran vokalis itu dengan gaya tersendiri meskipun masih dibayangi oleh abangnya.

“Tidak dinafikan ada dalam kalangan peminat yang membezakan antara saya dan arwah Achik namun, sejujurnya setiap individu mempunyai personaliti dan gaya tersendiri,” kata lelaki duda anak dua itu.

Sekadar mengimbas, Spin menyepi selama lima tahun selepas kematian arwah Achik dalam satu kemalangan jalan raya di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) sekitar April 2010.

Kali terakhit kumpulan tersebut menerbitkan album berjudul Kenangan Abadi Achik Spin 1999-2010 pada tahun 2010.

Mengambil tempoh lima tahun untuk merawat luka, Aie dan Raymie merangkap sebagai anggota senior Spin berasa telah tiba masanya untuk kembali menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh arwah.

Tumpang populariti

Biar berkobar-kobar mahu meneruskan perjuangan, hakikatnya kata mereka, soal masih relevan atau tidak untuk mempertaruhkan jenama Spin sering menjadi keraguan utama.

Bagaimanapun, mereka akhirnya mengenepikan perasaan gusar itu.

Sebaik tekad, Aie dan Raymie mengadakan sesi uji bakat yang dilakukan secara tertutup demi mencari senjata baharu untuk dijadikan taruhan Spin.

Kini, pada saat mereka muncul semula, Spin dikatakan cuba meraih populariti pasangan duet arwah Achik, Siti Nordiana yang muncul juara menerusi program televisyen Gegar Vaganza.

“Tiada istilah menumpang populariti sesiapa kerana Spin mula membuat kemunculan semula sebelum Nana (Siti Nordiana) menyertai program tersebut.

“Menjadi rezeki dia berjaya dalam industri hiburan semula. Kami langsung tidak berniat untuk meraih perhatian atau menjadikan sesiapa sebagai sandaran mahupun jalan pintas.

“Kemunculan semula Spin telah dibuat sejak bulan April tahun lalu sempena memperingati pemergian arwah Achik yang telah lima tahun meninggalkan kita,” jelas Aie.