Mat Moto, kisah klise yang jadi juara

GANDINGAN Kemunculan semula karakter yang dianggap ‘otai’ dalam filem aksi permotoran seperti Spark lakonan Zul dalam filem Remp-It antara faktor menjadikan filem mat motor versi Pekin menyengat di pasaran


Ini bukan pertama kali, sutradara tanah air meletakkan motosikal sebagai subjek utama dalam penghasilan karya filem mahupun drama. Sejak lebih 10 tahun lalu, motosikal sering diangkat dalam kebanyakan naskhah yang berkaitan dunia lelaki, malah disifatkan sebagai ‘nakal’ yang divisualkan dalam sesebuah filem.

Sekadar menyebut beberapa naskhah berkaitan jentera beroda dua tersebut seperti KL Menjerit, Adnan Sem-pit atau Janji Diana misalnya, motosikal dijadikan rencah dalam plot yang ditayangkan. Sehingga pada satu tahap, ia dianggap klise.

Namun, persepsi tersebut berjaya dipadamkan seorang pengarah amatur bernama Pekin Ibrahim. Ironi, Pekin bukan nama baharu dalam industri hiburan sebagai pelakon, namun ternyata kerja perdananya dalam bidang pengarahan meraih perhatian. Lebih daripada itu, berbekal sokongan dan suntikan bersama pengarah muda, Syafiq Yusof, filem taruhan mereka, Mat Moto melakar kejayaan. Sebanyak RM4 juta yang dikutip dalam tempoh lebih seminggu ditayangkan merupakan satu kejayaan besar buat sebuah filem dengan bajet sekitar RM1.3 juta tersebut.

Pekin hanya tersenyum saat diasak persoalan mengenai percaturannya sebagai pengarah amatur yang berjaya memecah kutipan pecah panggung. Pancing yang diletak umpan kepada kaki motor mengena. Tidak keterlaluan jika dikatakan, hampir seluruh penunggang motosikal di negara ini, barangkali sudah menonton filem yang membariskan ramai nama besar dalam dunia perfileman seperti Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Zulhuzaimy Marzuki dan Cat Farish.


PERHIMPUNAN Pekin menganjurkan sebuah acara Mat Moto Gathering yang akan diadakan pada 27 Februari nanti bertempat di Dataran Merdeka. Perhimpunan bersama mat-mat motor yang bermula dari pukul tujuh pagi sehingga tujuh malam itu akan menghimpunkan semua penunggang tanpa mengira jenis motosikal dan menawarkan hadiah lumayan untuk penunggang bertuah.


“Sejujurnya, Mat Moto hanya naskhah biasa yang saya kupas dengan mendedahkan sisi lain kehidupan seorang mat motor. Jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem ini juga bersifat lebih santai dan tidak perlu terlalu agresif. Malah ia juga lebih dekat dengan kehidupan mat-mat motor sekarang kerana daripada sisi lain, mereka suka mencari barangan motosikal yang luar biasa melalui perjalanan ke tempat-tempat lain,” ujar Pekin membuka bicara mengenai resipi pembikinan filem yang sedang hangat diperkatakan umum tersebut.

Tambah Pekin, dia sebenarnya mencabar diri agar menjadi pengarah baharu yang kreatif. Pekin mengakui dia sentiasa cuba mengangkat karya yang hendak dihasilkan berbeza dan tidak terikut hasil karya pengarah sedia ada.

“Saya selalu berpegang kepada satu perkara iaitu jika kita ingin melakukan sesuatu yang baharu, jangan buat perkara yang sama atau sedia ada. Perkara itulah yang cuba saya lakukan dalam Mat Moto iaitu dengan tidak menghasilkan naskhah seperti sebelum ini. Sebaliknya, saya hasilkan filem yang dekat dengan jiwa tanpa perlu mengikut cara orang lain,” katanya jujur.

Mengulas tentang skrip Mat Moto yang dihasilkan sendiri bermula dari awal hingga akhir, Pekin menjelaskan, dia lebih selesa mengarahkan hasil karya sendiri berbanding skrip tulisan orang lain.

“Lebih baik saya yang tulis skrip dan kemudian arahkan karya tersebut. Mengarah dengan skrip tulisan sendiri lebih baik kerana saya bebas membayangkan bagaimana hendak mencorakkan jalan ceritanya.

“Andai kata terpaksa mengarah karya orang lain, saya rasa mungkin akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk menghayati skrip terlebih dahulu,” katanya yang akan menerbitkan sebuah dokumentari sekitar Mac depan.


ZUL HUZAIMY Kelibat Zul Huzaimy sebagai pelakon kini jarang kelihatan kerana sibuk di kerusi pengarahan. Terbaharu, dia mengepalai drama bersiri Seindah Takdir Cinta yang akan ditayangkan menjelang Ramadan tahun ini.


Diajak berbicara mengenai masa hadapan Mat Moto, Pekin sekali lagi ketawa. Tanpa berselindung, dia menceritakan pertemuannya dengan pemilik Skop Production Sdn. Bhd. iaitu Datuk Yusof Haslam bagi membincangkan sekuel naskhah tersebut.

“Hal itu (sekuel) memang telah kami bincangkan. Jika semuanya berjalan lancar, sekuel Mat Moto 2 akan memulakan penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya penuh teruja.

Ditanya lagi tentang perancangan membikin naskhah lain, aktor Bunohan itu mengakui, banyak agenda disusun rapi, namun tidak semudah itu dia mahu memuntahkan ‘busur panah’ pengarahannya. Memang baru pertama kali mengarah dan kebetulan naskhah arahannya ‘meletup’, Pekin menetapkan satu piawaian yang tinggi dalam setiap karyanya, termasuk pemilihan pelakon.

Kata anak kelahiran Kelantan itu, dia lebih mementingkan nilai yang dibawa oleh seseorang pelakon berbanding bakat.

Akuinya, biarpun calon pelakon tersebut sedang berada di puncak populariti, namun tetap tidak akan dipilih sekiranya tidak bersesuaian dengan skrip dan karakter yang hendak diketengahkan.

“Pelakon harus mempunyai nilai, dia boleh menaikkan watak yang dibawanya. Bakat sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada nilai untuk disesuaikan dengan cerita, itu akan membuatkan karya hendak dihasilkan menjadi hambar,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem Munafik arahan Syamsul Yusof pada 25 Februari nanti.




Kemunculan semula Spark

Tidak sendirian membicarakan Mat Moto, pembawa karakter paling penting dalam naskhah tersebut, Zul Huzaimy turut berkongsi rasa mengenai filem lakonannya.

‘Dikembalikan’ roh Spark yang begitu sinonim dengan imejnya menerusi filem Remp-It pada 2006, Zul berdepan cabaran tersendiri untuk membentuk karakter baharu Spark.

“Sudah tentu saya gembira untuk kembali menjadi Spark selepas 11 tahun dia ‘mati’. Bagaimanapun, harus saya akui sukar untuk mendapatkan semula aura dan perangai Spark sama seperti dalam Remp-It dahulu, tetapi ia berjaya diatasi,” ujar Zul tidak menolak jika ditawarkan untuk berlakon dalam sekuel Mat Moto nanti.

Bercerita tentang keterujaannya berlakon Mat Moto, Zul menambah, ideologi yang cuba diketengahkan Pekin membakar semangatnya untuk menjayakan filem tersebut.

Katanya, biarpun mempunyai jalan cerita ringkas, namun Mat Moto sarat dengan pengajaran. Selain itu, hasrat Pekin ingin membersihkan imej mat motor yang tidak semuanya negatif seperti tanggapan kebanyakan masyarakat, turut menambah keyakinannya untuk menjayakan filem tersebut.

“Dalam Mat Moto, Pekin dan Syafiq turut mengumpulkan semula hero-hero dalam filem bermotosikal sebelum ini. Perkara tersebut membuat saya lebih teruja kerana ia boleh dianggap seperti perhimpunan buat kami.

“Walaupun ada penonton yang mengkritik filem ini, namun saya tetap gembira dengan penerimaan masyarakat terhadap Mat Moto. Saya tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi apabila orang dapat menerima Mat Moto dan mereka faham perbezaan mat motor dan mat rempit, itu cukup membuatkan saya puas,” katanya.

Watak Spark dalam Mat Moto memainkan peranan sebagai kawan baik Al, lakonan Pekin yang mempunyai hajat tidak kesampaian apabila terlibat dalam nahas jalan raya.