Layar introduksi Falisha Crossley

MASA LAPANG - Jika mempunyai masa lapang, Falisha suka mengemas rumah. Dia merupakan seorang yang seorang yang tidak gemar melihat rumahnya bersepah. Dia juga suka menghabiskan masa menonton wayang.


Pelakon bertubuh genit, Falisha Crossley muncul ke Studio Utusan dengan wajah yang berseri-seri. Dia barangkali cukup selesa bertemu media yang tentunya sudah maklum tentang lonjakan filem Mat Moto di pawagam seluruh tanah air.

Bertemu empat mata dengannya, pemilik nama lengkap Nur Falisha Crossley Faisal itu ternyata berbeza daripada gambaran awal yang singgah di benak pemikiran.

Berdasarkan nama keluarga, jangkaan yang klise menjengah membayangkan dirinya seperti wanita kacukan yang lain yang masih mempunyai warisan Inggeris di wajahnya. Bagaimanapun, jangkaan meleset sama sekali kerana dia bukanlah seperti dibayangkan. Lebih memeranjatkan, walaupun bertubuh genit, siapa sangka heroin di sisi Pekin Ibrahim itu sudah menginjak usia 31 tahun.

Menariknya, atas faktor kematangan juga, lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tenang menjawab setiap persoalan walaupun mulanya sedikit kekok dan cemerkap.

Ditebak persoalan tentang penglibatan dalam cabang lakonan yang dilihat agak lewat berbanding pendatang baharu ketika ini, Falisha atau lebih mesra disapa sebagai Sha optimis merealisasikan minat dan impiannya sejak sekian lama.

“Saya tidak ada masalah tentang permulaan pada usia lewat dalam bidang lakonan. Bagi saya, selagi ada minat yang mendalam dan matlamat yang jelas, insya-Allah rezeki tidak ke mana dan ia akan dipermudahkan Tuhan.

“Bidang seni merupakan sesuatu yang saya suka sejak kecil, malah saya pernah menyertai beberapa pertunjukan fesyen. Bagaimanapun, tetapi tidak pula terfikir akan terus terbabit dalam bidang fesyen secara serius,” katanya membuka bicara.

Tambah Sha, mulanya dia tidak arif tentang saluran paling tepat untuk memasuki bidang lakonan sehinggalah pada pertengahan 2010, dia terpilih membintangi sebuah iklan hari raya terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sejak daripada situ, perjalanan seni rakan baik pelakon Emma Maembong itu terbentang luas meskipun ia bergerak dalam aliran yang agak perlahan.

Impak Mat Moto

Meskipun telah berlakon dalam banyak drama sejak melibatkan diri secara serius dalam bidang lakonan pada 2013, Falisha mengakui bakatnya masih perlu diasah dan semangatnya untuk mengejar impian sebagai pelakon disegani tidak pernah luntur.

“Persaingan dalam bidang lakonan hari ini sangat sengit. Setiap hari, ada sahaja pelakon baharu yang muncul. Untuk memastikan kelibat saya sebagai pelakon tetap relevan dan dipandang ramai, saya perlu pastikan apa yang saya beri dalam lakonan ada kualiti. Itu yang penting,” getusnya.

Mat Moto mencatat sejarah sendiri buatnya. Ia menjadi tanda pengenalan terbaik kepada nama Falisha Crossley ke dunia perfileman. Akuinya, filem Mat Moto berjaya menyinarkan namanya yang sebelum ini hanya samar-samar sebagai pelakon.

Walaupun Mat Moto merupakan filem pertamanya, Falisha yang melakonkan watak gadis punk bernama Sikha dalam filem tersebut tidak menyangka karya yang turut diarahkan Pekin itu akan mendapat sambutan daripada penonton.

“Alhamdulillah, saya rasa pengorbanan saya dalam filem tersebut iaitu memotong rambut yang saya telah bela sekian lama boleh dikatakan berbaloi. Bukan mudah buat saya menerima kenyataan saya akan berambut ala-ala topi keledar dalam filem itu (ketawa).

“Apa yang menarik, selepas Mat Moto ditayangkan di pawagam, ramai yang memanggil saya dengan nama watak yang saya lakonkan dalam filem iaitu Sikha.

“Hinggakan apabila saya keluar untuk berbelanja barang rumah, mereka menjerit memanggil saya dengan panggilan Sikha,” “Saya sangat gembira dan pada masa yang sama sangat terkejut. Tak sangka rezeki untuk saya dalam bidang lakonan berhasil pada usia saya yang kini sudah menjengah 31 tahun,” luah Falisha teruja.

Ilmu jadi prioriti

Ketika ditanya mengenai kepentingan ilmu dalam meneladani hidup sebagai seorang anak seni, Sha ternyata seorang yang mementingkan ilmu di dada walaupun bergelumang dalam dunia glamor.

“Walau apapun kerjaya yang dipilih dalam hidup, seseorang itu kena ada ilmu.

“Saya memilih untuk berkecimpung dalam dunia lakonan sepenuh masa namun itu tidak bermakna saya tidak ambil peduli soal ilmu atau pendidikan.

“Sebelum memutuskan untuk berada dalam industri, saya selesaikan apa yang patut iaitu mendapatkan segulung ijazah dalam bidang perakaunan. Saya sediakan pelan kecemasan sekiranya suatu hari nanti tidak lagi ingin berlakon, saya boleh terjun semula dalam bidang yang saya pelajari (perakaunan),” katanya yang turut membintangi drama bersiri popular Memori Cinta Suraya.

Menurutnya lagi, selepas tamat belajar di UiTM sekitar 2010, dia sempat melibatkan diri dalam bidang berkenaan selama setahun di sebuah syarikat di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya.

Cerita Falisha lagi, impiannya untuk bergelar pelakon pada mulanya ditentang oleh ibunya meskipun bapanya tidak mempunyai masalah mengenai pilihan yang dibuat.

“Ibu memang risau apabila saya mula menunjukkan minat dalam bidang lakonan. Bapa pula tidak begitu kerana dia yakin saya mampu seimbangkan antara pelajaran dan lakonan.

“Sehinggalah pada suatu hari saya membawa ibu menemani di lokasi penggambaran. Sejak daripada situ, dia mula memberi lampu hijau kepada saya untuk mengejar impian sebagai pelakon,” ujarnya.

Tambahan pula kata Falisha, keluarganya juga mempunyai sejarah dalam bidang seni dan barangkali faktor tersebut yang membuatkan langkah seninya terus melebar sehingga ke hari ini.

“Datuk saya pernah bekerja di bahagian kebudayaan dalam pentadbiran di Sarawak. Ibu juga merupakan seorang penari sewaktu muda dahulu. Salah seorang anggota kumpulan MIX yang popular dengan lagu Hantu juga merupakan sepupu saya,” kongsinya.

Bercakap tentang susur galur keluarga, barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Falisha merupakan wanita yang lahir daripada perkahwinan campur. Ayahnya berketurunan Britain-Cina manakala ibunya merupakan orang Melayu.

Jodoh dan umrah

Sewaktu artikel ini dipaparkan, Falisha dan keluarganya sudah terbang untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah. Katanya, ibadah umrah tersebut dilakukan bukan kerana Mat Moto mendapat sambutan menggalakkan di pawagam tetapi lebih kepada menjalankan ibadah bersama keluarga tercinta.

“Sebenarnya sudah lama kami sekeluarga merancang untuk mengerjakan umrah. Mulanya hanya melibatkan beberapa anggota keluarga sahaja sehinggalah semakin lama, seluruh anggota keluarga memutuskan untuk pergi bersama,” katanya.

Tanpa berselindung, dia berharap bahawa kunjungan ke Tanah Suci dapat mempercepatkan jodoh dalam hidupnya yang masih tidak kunjung tiba.

“Saya sudah berusia 31 tahun dan masih belum disunting mana-mana lelaki (ketawa). Jadi, saya berharap dapat menamatkan zaman bujang pada tahun ini. Sejak berusia 27 tahun lagi saya sudah menetapkan untuk berkahwin dan nampaknya, niat tersebut tertangguh sehingga kini,” ujar Falisha berseloroh.

Tidak mahu terlalu terbuka bercakap tentang teman hidup, Falisha bagaimanapun sempat mengakui sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang jejaka.

“Kalau sudah rasmi nanti, saya tidak akan berahsia sangat. Buat masa ini, lebih baik saya meletakkan perkara tersebut pada paras low-profile. Itu lebih baik.

“Saya tidak mahu bermegah dengan sesuatu yang masih belum pasti. Takut apabila semua sudah dicanang, secara tiba-tiba ia tidak menjadi, saya juga mendapat malu,” ulasnya sambil melemparkan senyuman manis.

Diajak berbual soal lelaki idaman, Falisha berharap lelaki yang bakal menjadi pemimpin hidupnya kelak akan menerima setiap kekurangan yang ada pada dirinya.

“Cukuplah sekiranya lelaki tersebut dapat menerima saya seadanya. Jika dia penuhi apa yang saya perlukan, saya juga akan memberikan komitmen yang sama,” tutupnya.