Shahrol tamat zaman duda 18 Mac ini

04/02/2016 8:43pm


Kredit: Instagram @shahrol_shiro


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak terkenal, Shahrol (Shiro) mengumumkan bakal bernikah dengan usahawan wanita, Anna Danisha pada tanggal 18 Mac depan.

Pengumuman bahagia itu dibuat Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 32, menerusi siaran radio Era fm hari ini.

Mengikut laporan yang pernah dikeluarkan Kosmo! sebelum ini, Shiro dijangka melangsungkan majlis pernikahannya di kampungnya di Johor Bahru, Johor. Usaha Kosmo! untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengacara program MeleTOP Kebaboom itu bagaimanapun menemui kegagalan.

Sebelum memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan Mac ini, Shahrol agak berahsia tentang status perhubungannya dengan bakal isterinya itu.

Terdahulu, Shahrol pernah berkahwin pada tahun 2008, namun berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak lelaki Muhd. Adam Danish yang kini berusia lapan tahun.

Shahrol yang juga merupakan penyampai radio Era fm pernah menjuarai pertandingan hiburan komedi iaitu Raja Lawak Musim Ke-6. Selain itu, anak jati kelahiran Kluang Johor itu pernah membintangi beberapa filem seperti Berani Punya Budak, Sepah The Movie dan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang. K! ONLINE