Boboiboy The Movie sasar RM25 juta


PEMILIK Animonsta Studio, Mohd. Nizam Abdul Razak (lima dari kanan) bersama kumpulan Bunkface, D’Masiv dan Farah Fauzana serta watak-watak Boboiboy bergambar bersama sewaktu sidang akhbar Boboiboy The Movie di OldTown White Coffee, Bangsar South baru-baru ini.


Selepas kejayaan Boboiboy dalam bentuk animasi bersiri, kini pihak produksi Animonsta menaruh harapan besar bagi filem Boboiboy The Movie (BTM) untuk mengutip keuntungan lumayan apabila ditayangkan kelak.

Bakal menemui peminat Malaysia pada 3 Mac dan membuka tirai pawagam Indonesia tanggal 13 April depan, pengarah dan pencipta BTM, Nizam Razak menjangkakan kutipan pecah panggung sebanyak RM25 juta bagi tayangan kedua-dua buah negara.

Yakin dengan jenama Boboiboy, Nizam berkata, siri itu sudah menjadi ikutan kanak-kanak seawal usia tiga tahun di hampir 44 buah negara dan tidak mustahil untuk mereka mencapai sasaran yang dimahukan bagi Malaysia dan Indonesia.

“Walaupun belum ditayangkan, kami sudah menerima banyak jemputan khas untuk menghadiri festival-festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Animasi Jepun pada 18 hingga 21 Mac depan.

“Walaupun tidak sempat menghantar penyertaan bagi tahun ini, pihak Animonsta sedang berusaha untuk mengambil bahagian bagi edisi tahun hadapan,” ujar Nizam sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran lagu tema BTM di Old Town White Coffee, Bangsar South, Bangsar baru-baru ini.

Selain Indonesia, BTM juga dalam perancangan untuk menembusi pasaran lima lagi negara Asia Tenggara. BTM masih kekal dengan kisah pengembaraan Boboiboy dan rakan-rakannya iaitu Yaya, Gopal, Ying, Yaya,Papa Zola ke pulau misteri untuk mencari Power Sphere bagi menyelamatkan Ochobot yang diculik oleh penjahat Adu Du.


KUMPULAN D’Masiv teruja kerana diberi penghormatan mendendangkan lagu runut bunyi filem animasi Boboiboy.


Dua lagu tema

Walaupun pengisian dua buah lagu tema bagi BTM bukan sesuatu yang normal bagi penerbitan filem, namun Nizam berkata, ia dibuat selepas mempertimbangkan banyak aspek.

Bagi mengekalkan keseimbangan antara keseronokan dan nilai pengajaran dalam BTM, dua buah lagu yang dipilih ialah Di Bawah Langit Yang Sama akan didendangkan oleh kumpulan terkenal dari Indonesia, D’Masiv, manakala Bunkface mewakili Malaysia dengan judul lagu Masih Di Sini.

Sesuai dengan tayangan di dua buah negara, pemilihan dua buah runut bunyi ini juga seperti simbolik ikatan persahabatan antara Indonesia dan Malaysia dalam menyokong industri perfileman masing-masing.

Bagi Bunkface, pemilihan lagu Masih Di Sini untuk BTM adalah satu permulaan yang hebat bagi mereka untuk 2016 sebagai penanda aras 10 tahun bergelar pemuzik pada tahun ini.

“Apabila pihak Animonsta meminta lagu berentak rancak dan ceria untuk BTM, kami tidak teragak-agak untuk memberikan beberapa pilihan dalam simpanan sebelum Masih Di Sini dipilih.

“Berpeluang menjadi sebahagian daripada BTM turut menerbitkan rasa bangga dalam jiwa kami sebagai anak Malaysia kerana ianya sebuah filem animasi yang hebat serta setaraf dengan produk antarabangsa,” kata Sam mewakili Bunkface.

Perasaan yang sama dikongsi oleh kumpulan D’Masiv yang tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan Animonsta memandangkan anak-anak mereka juga meminati siri animasi tersebut.

Menurut vokalisnya, Rian Ekky, dia teruja untuk menyanyikan lagu Di Bawah Langit Yang Sama kerana mesej bersatu padu antara rakyat Indonesia dan Malaysia.

“Kami berharap anak-anak kecil yang mendengar lagu kami boleh memahami mesej yang cuba disampaikan iaitu kita manusia sama sahaja, tidak kira bangsa, agama atau negara, tetap bersaudara.

“BTM akan menjadi sebuah filem yang bagus untuk ditonton dan kami semua tidak sabar untuk bersama-sama menghayati pengembaraan ini,” katanya lagi.