Pelepas Saka buka minda generasi muda




Di kala jiwa terlalu rapuh, masih naif untuk ‘menghidu’ kehadiran jin di dalam tubuh, barangkali lebih mudah disebut sebagai saka, ramai yang mungkin tidak sedar kehadiran entiti di dalam tubuh hasil musibat yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu.

Mendengar perkataan saka di kala ini barangkali mengundang tawa sinis di bibir generasi muda. Tanpa mereka sedar jin yang diikat kontrak oleh nenek moyang kita dahulu demi mendapatkan perlindungan, kecantikan, kekuatan dan pertolongan, mampu diwarisi serta dipindahkan kepada keturunan si pengamal sehingga tujuh keturunan.

Sedar akan perkara itu, pengarahnya, Hashim Rejab mengangkat mengenai kisah saka ke dalam karya terbaharunya yang berjudul Pelepas Saka.

“Kalau kita cakap tentang orang lama pada zaman dahulu, memang ada simpan saka. Kiranya, ia sebahagian daripada budaya kita yang mengamalkan saka untuk kegunaan sendiri.

“Walaupun saka dikatakan wujud pada zaman dahulu, namun saya sampaikan ia melalui plot penceritaan yang sesuai dengan kehidupan kita sekarang. Ia bukan sebuah karya kosong semata-mata kerana saya menyuntik mesej yang dapat diterima penonton untuk dijadikan sebagai bahan rujukan,” ujarnya mengenai filem Pelepas Saka yang mula ditayangkan di seluruh negara sejak 4 Februari lalu.


Pengarah, Hashim cuba mengangkat kepercayaan orang dahulu mengenai saka.


Mempertaruhkan pelakon-pelakon baharu dan lama seperti Hafizz Bahari, Lydia Izzati, Hanif Safuan, Aman Graseka, Wan Nor Azlin, Nor Albaniah, Fauzi Nawawi dan Esma Danie di dalam filem seram arahannya, Hashim juga menerima nasib serupa dengan segelintir pengarah yang menerima suntingan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

“Cabaran menjayakan filem Pelepas Saka tidak banyak, cuma saya berasa kesal apabila 30 peratus babak dalam filem ini dipotong oleh LPF kerana ia dikatakan mempunyai unsur-unsur khurafat yang boleh membuatkan masyarakat terikut-ikut dengan perkara syirik.

“Pada saya, apabila kita membuat filem tentang saka, kita perlu sampaikan apakah perkara itu dan bagaimana ia boleh dihapuskan. Malangnya pada pengakhiran cerita, penyampaian mengenai pembuangan saka itu perlu dipotong,” luahnya hampa.

Nor Albaniah banyak memberi nasihat – Hafiz

Perasaan hampa turut dirasai oleh salah seorang teraju utama filem berkenaan iaitu Hafiz Bahari.

Malah, bekas pramugara di salah sebuah syarikat penerbangan terkenal itu juga terkejut kerana adegan terbaik dalam filem Pelepas Saka itu dipotong.

“Saya terkejut juga sebab banyak babak yang dipotong. Sebabnya, babak yang dipotong itu merupakan yang paling menarik dan memberikan kesan kepada jalan cerita tetapi jika ia dilakukan demi menjaga hati semua pihak mungkin itulah yang terbaik,” ulasnya yang membawakan watak Radin, kembar kepada Haider (lakonan Hanif Safuan) dalam Pelepas Saka.

Berkongsi mengenai keistimewaan filem itu, Hafiz memberitahu, filem Pelepas Saka dihasilkan demi membuka minda generasi muda yang tidak percaya dengan kewujudan sesuatu saka itu yang mampu diperturunkan.




Sebagai pelakon baharu, Hafiz juga tidak teragak-agak untuk mendengar nasihat daripada pelakon-pelakon lama yang turut membintangi filem terbitan Mangkin Prestij Sdn. Bhd. itu.

“Alhamdulillah, pelakon lama banyak membantu terutamanya Nor Albaniah. Beliau banyak memberi nasihat bagaimana cara berdialog dan menghayati watak.

“Sementara berlakon di bawah arahan Hashim pula, dia merupakan pengarah yang mengambil berat mengenai teknik lakonan pelakon-pelakonnya. Jika ada yang tidak sesuai, dia akan tegur,” ujarnya yang bakal muncul menerusi filem arahan Syafiq Yusof yang berjudul Abang Long Fadil 2.

Filem Pelepas Saka mengisahkan tentang kepulangan Haider bersama isterinya, Alisya (Lydia Izzati) ke kampung. Di perkampungan sama, tinggal seorang wanita tua bernama Asiah (Nor Albaniah) yang mempunyai saka dan ia sedang mencari tuan baharu kerana Asiah tidak mempunyai keturunan untuk diperturunkan sakanya.