Persinggahan selesa si gelandangan kota

GELANDANGAN kini mampu tidur dalam keadaan selesa.


BAGI Sarah, tidur beralaskan kepingan kotak di kaki lima kedai dengan berbumbungkan langit bukanlah satu perkara asing.

Mana tidaknya, sejak berusia 17 tahun, dia sudah mula hidup merempat di tengah-tengah kepesatan kota.

Biarpun mengakui ramai yang melihatnya dengan pandangan jijik, namun wanita berusia 37 tahun itu langsung tidak kisah biarpun dirinya dihina hanya kerana menjadi seorang gelandangan.

Bagi wanita yang berasal dari Sabah itu, perkara tersebut hanyalah masalah kecil buat dirinya. Mana tidaknya, membesar dalam sebuah keluarga yang bermasalah sudah cukup mengajarnya erti kehidupan yang sebenar.

“Sejak kecil, saya sudah terbiasa dengan kehidupan seperti ini, malah lebih derita daripada apa yang saya lalui pada hari ini.

“Bapa kandung saya merupakan seorang ketua samseng dan ketika berusia 12 tahun, saya pernah dirogol oleh bapa tiri sehingga saya akhirnya memilih untuk tinggal di jalanan untuk meneruskan saki-baki kehidupan.

“Bagi saya, apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan keperitan yang pernah dilalui sebelum ini,” jelasnya.

Menurut Sarah, sebelum menjadi salah seorang penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang itu, dia sering menjadikan beberapa kawasan di sekitar ibu negara seperti kaki lima Masjid Jamek dan Jalan Chow Kit sebagai tempat tidur.

“Walaupun bergelar gelandangan, namun kehidupan saya sama sahaja seperti manusia lain kerana saya mempunyai pekerjaan dan bekerja di sebuah restoran dengan mengambil upah mencuci pinggan.

“Saya dibayar gaji sebanyak RM35 sehari tetapi wang itu tidak mencukupi untuk saya menyewa bilik, apatah lagi sebuah rumah. Tambahan pula dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, wang yang diperoleh hanya sekadar cukup untuk makan sahaja,” jelasnya.

Sebatang kara


SELAIN tempat penginapan, gelandangan turut diberikan bantuan makanan.


Sarah bagaimanapun mengakui kehidupannya menjadi bertambah selesa selepas dia mula mendiami Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur sejak dua minggu yang lalu.

Sementara itu, bagi Rajamanikam, 55, kehidupannya yang sudah berusia dan sebatang kara di te­ngah kota metropolitan ini menyebabkan dia terpaksa memilih untuk menetap di Pusat Transit Gelandangan buat sementara waktu.

“Sudah lapan tahun saya menjadi gelandangan selepas diberhentikan kerja akibat masalah kesihatan.

“Selalunya, saya menjadikan kawasan di sekitar Kolej SEGi, Kuala Lumpur sebagai tempat tidur. Makan pula terpaksa bergantung kepada orang ramai.

“Jika tidak, saya hanya akan makan saki-baki makanan yang dibuang di belakang restoran.

“Saya tidak pernah menyangka kehidupan saya akan berubah menjadi se­perti ini. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk meneruskan kehidupan pada hari-hari menda­tang dengan penuh sabar,” ujarnya.

Jelas Rajamanikam lagi, faktor usia dan tahap pendidikan menyebabkan dia tidak diberi peluang untuk bekerja biar­pun semangatnya untuk berkhidmat di mana-mana syarikat masih lagi membuak-buak seperti orang muda.

“Selepas diberhentikan kerja dan hidup merempat, saya mengalami masalah kemurungan dan pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri.

“Bagaimanapun, sebaik menjejakkan kaki di pusat ini dan mendapat sokongan moral daripada pegawai bertugas, kehidupan saya mula berubah. Saya benar-benar berharap agar selepas ini saya diberi peluang untuk bekerja,” jelasnya.

Sehingga 23 Februari lalu, bangunan tiga tingkat yang didirikan di atas tapak berkeluasan 1,319 meter persegi itu telah dihuni oleh 141 orang gelandangan dengan 111 daripadanya terdiri daripada gelandangan lelaki, manakala 20 yang lain adalah wanita.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Malaysian Resources Corporation Berhad melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka.

Saringan


SARINGAN kesihatan akan dilakukan bagi setiap individu yang ingin menginap di sini.


Menurut Ketua Koordinator Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Ahmad Daniel Pui Abdul Rahim Pui, pusat ini berperanan sebagai pusat sehenti yang menyediakan penginapan sementara kepada golongan gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur.

“Pusat ini menyediakan kemudahan asas meliputi ruang penginapan yang boleh memuatkan sehingga 250 orang, bilik mandi, tandas, ruang membasuh kain, ruang makan, solat dan bilik-bilik per­khidmatan seperti kaunseling, kesihatan serta bilik penyimpanan barang.

“Di pusat ini, kebanyakan gelandangan menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa kerana mereka masih lagi pergi bekerja setiap hari. Mereka hanya menjadikan pusat ini sebagai transit untuk berteduh memandangkan majoriti daripada mereka tidak mempunyai rumah,” jelasnya.

Tambah Ahmad Daniel, objektif utama penubuhan pusat tersebut adalah untuk mengenal pasti masalah yang meli­batkan golongan gelandangan.

“Dengan adanya pusat ini, kita secara tidak langsung dapat mendekati dan menyelami kehidupan mereka dengan lebih dekat lagi.

“Jadi, dari situ kita akan membuat saringan dan memberi pertolongan terutamanya dari segi sokongan moral kerana kebanyakan mereka mempunyai perasaan rendah diri dan takut untuk keluar ke komuniti.

“Selepas setiap masalah dikenal pasti, kami akan panjangkan isu tersebut kepada agensi-agensi berkaitan bersesuaian dengan masalah mereka untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Ujar Ahmad Daniel lagi, jika gelandangan tersebut berada dalam kategori produktif dan masih mampu bekerja, Pusat Transit Gelandangan akan menghantar mereka ke Anjung Singgah iaitu pusat intervensi bagi gelandangan yang produktif.

Di Anjung Singgah, kelompok gelandangan ini akan diberikan sesi kaunseling dan membina keyakinan diri.

“Kita akan meneliti dan menapis setiap permasalahan gelandangan. Sebagai contoh jika gelandangan tersebut ber­­u­mur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai waris, kami akan merujuk mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sebaliknya jika mereka mempunyai masalah perumahan, pihak kami akan membantu mereka untuk mendapatkan bilik atau kediaman dengan merujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” jelasnya.

Penyakit berjangkit


PUSAT transit tiga tingkat ini memberi harapan baharu kepada gelandangan di Kuala Lumpur.


Menurut Ahmad Daniel, tempoh maksimum bagi setiap gelandangan untuk mendiami pusat transit tersebut ialah kira-kira dua minggu.

Dalam pada itu menurut seorang paramedik bulan Sabit Merah Malaysia, Azuwan Shah Sabri, setiap gelandangan yang ingin bermalam di pusat itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu.

“Setiap hari kami, seramai dua orang paramedik akan bertugas dan memeriksa mana-mana gelandangan yang ingin mendaftar masuk ke pusat ini.

“Kami akan membuat saringan kesihatan bagi memastikan gelandangan tersebut tidak mempunyai penyakit berjangkit dan bebas daripada pengaruh dadah serta alkohol. Jika didapati gelandangan tersebut menghidap sebarang penyakit, kami akan merujuk mereka ke hospital berdekatan.

“Setakat ini, kesemua gelandangan yang menginap di pusat transit ini bebas daripada sebarang penyakit ataupun ketagihan dadah mahupun alkohol,” jelasnya.