Abdul Qayyum gigih mengajar bahasa Inggeris


Institusi pengajian tinggi awam dan swasta sering menjemput pihak Englishjer untuk mengadakan syarahan.


Bahasa Inggeris merupakan lingua franca dunia dan ia memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Bagaimanapun, tidak ramai yang begitu fasih atau menguasai bahasa itu.

Oleh kerana prestasi penggunaan bahasa itu tidak begitu memberangsangkan di negara ini, Abdul Qayyum Jumadi, 25, mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas bahasa Inggeris menerusi laman sosial Twitter, Englishjer.

Mahasiswa jurusan undang-undang dari Universiti Malaya yang lebih selesa dikenali sebagai Qay itu memberitahu, dia menubuhkan kelas itu pada 2013.

Menurut anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, tujuan penubuhan Englishjer adalah untuk membuka pintu kepada generasi muda dan pengguna laman sosial mempelajari, mendekati serta memahami bahasa Inggeris.

Di samping itu, Qay juga mahu berkongsi cara yang betul untuk menggunakannya.

Ikuti temu bual GenK bersama pengasas Englishjer itu

GENK: Apakah yang buatkan anda ingin menubuhkan Englishjer?

Abdul Qayyum: Pada saya, masalah terbesar anak-anak muda untuk mempelajari bahasa Inggeris ialah stigma masyarakat. Inilah yang membuatkan saya tergerak hati untuk menubuhkan Englishjer. Ia bagi menunjukkan kepada mereka bahawa bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang menakutkan ataupun susah.

Satu lagi sebab ialah kekurangan penggerak-penggerak media sosial yang mempromosikan pendidikan. Saya rasa, ia satu perkara yang pelik kerana media sosial boleh dan harus digunakan untuk tujuan yang baik.

Apakah cabaran yang anda hadapi?

Cabaran yang besar masih lagi stigma tetapi kini, masalah itu tidak lagi menjadi isu utama. Terdapat komen yang mendakwa cara Englishjer ini tidak betul kerana mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam proses mengajar. Komen lain juga menyentuh keberkesanan kaedah pembelajaran melalui media sosial. Semua komen ini saya akan cuba sesuaikan dengan cara Englishjer mengajar. Saya akan mencari satu kaedah terbaik tetapi kita pasti tidak boleh puaskan hati semua orang. Kita hanya berusaha dan berharap orang lain akan menerima cara kita.


Abdul Qayyum menubuhkan Englishjer bertujuan untuk membantu orang ramai mempelajari bahasa Inggeris.


Pengalaman pahit dan manis sepanjang pengendalian Englishjer?

Pengalaman manis tentunya bila saya dapat mesej-mesej terima kasih daripada pengikut di laman sosial, berjumpa dengan orang-orang muda yang berkongsi aspirasi yang sama tentang pendidikan dan komunikasi.

Pengalaman pahit pula, saya tidak fikir sangat. Saya jadikan ia sebagai pengajaran dan teruskan dengan kehidupan.

Apakah pendapat anda tentang penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia?

Pendedahan bahasa Inggeris sebenarnya meluas di Malaysia terutamanya di kawasan bandar. Internet, media massa dan buku, banyak terdapat dalam bahasa Inggeris tetapi masih ada masalah untuk anak-anak muda meningkatkan kemahiran berbahasa mereka dan ini satu kerisauan buat saya. Pendedahan ada tetapi penggunaan kurang.

Tidak sepatutnya menjadi masalah mempelajari bahasa Inggeris dan Melayu kerana kedua-dua bahasa ini membuka peluang yang lebih luas untuk komunikasi dan ilmu.

Apakah perancangan masa depan untuk Englishjer?

Englishjer akan meneruskan usaha dan nilai pendidikan selama ini tetapi cuba keluar daripada media sosial untuk menjalankan aktiviti-aktiviti. Englishjer sudah menjalankan kem bahasa Inggeris, pertandingan menulis esei, ceramah di universiti-universiti awam dan swasta serta pelbagai bengkel yang bertemakan penulisan dan pengucapan awam. Selain meningkatkan kandungan, pihak kami juga menerima sebarang undangan atau syarahan melalui laman web Englishjer.com.