Ammar kahwin senyap sebab merajuk

Ammar bersama isteri yang dinikahinya pada 6 Mac lalu.


Beberapa hari lalu, teman Diva ada terserempak dengan pelakon kontroversi bertubuh sasa iaitu Ammar Alfian di salah sebuah pusat beli-belah popular.

Menariknya, Ammar tidak keseorangan, sebaliknya turut ditemani isteri yang baru dikahwininya pada 6 Mac lalu.

Nak dijadikan cerita, bila dah terserempak, teman Diva yang mesra itu pun lajulah menegur pelakon yang pernah mencipta kontroversi mencacah tatu pada badan selepas kecewa putus cinta dengan Puteri Sarah Liyana itu.

Dia memuji Ammar tidak berlagak, malah melayannya dengan baik. Isterinya yang persis pelakon Bollywood itu juga cukup baik menyapa teman Diva yang turut ditemani dua lagi temannya itu.

Maka, teman Diva bertanya kepada Ammar kenapa dia merahsiakan perkahwinannya itu.

Nak tahu apa Ammar cakap? Dia kata untuk apa dia menguar-uarkan perkahwinannya jika dia bukan lagi artis dan berada dalam industri seni. Malah, kata Ammar dia tidak mahu lagi terlibat dalam bidang seni.

Terkejut pula Diva mendengarnya. Bukan apa, kata-kata Ammar itu seolah-olahnya ada nada merajuk. Merajuk ke Ammar?

Kenapa mahu merajuk pula ya. Nak kata tiada tawaran takkanlah. Atau mungkin Ammar merajuk disebabkan kerap dilanda kontroversi? Bukan apa, sebelum inikan Ammar pernah didakwa terbabit dalam satu rakaman video lucah bersama seorang lagi pelakon wanita tetapi itukan cerita lama. Kedua-dua mereka sudahpun menafikannya.

Perkara lama biarkanlah ia berlalu. Jangankan disebabkan kontroversi mahu merajuk pula.

Diva: Teman Diva beritahu terhibur sangat melihat gelagat Erra Fazira dan Awie ketika berlangsungnya sesi fotografi sempena filem terbaharu mereka iaitu Warna Cinta Impian baru-baru ini. Siap usik-mengusik dan bertepuk tampar lagi. Mungkin ramai yang mendoakan mereka bersama kembali. Lagi-lagi bila kedua-duanya sudah kembali solo.