Mohamed Najib pertahan warisan batik, rumah Melayu


Anak kelahiran Pahang ini bukan sahaja ingin memperkenalkan warisan bangsa Melayu kepada negara luar bahkan mempertahankan supaya generasi muda dapat meneruskan legasi itu.


“Saya merupakan seorang pewaris. Jika saya tidak mempertahankan sejarah dan warisan orang Melayu, siapa lagi? Apa yang tinggal kepada generasi akan datang?”

Begitulah kata-kata semangat yang dilemparkan oleh Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara (BSVN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, 63, ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu menceritakan, dia meminati bidang seni sejak kecil dan masih berjuang dalam bidang tersebut berbanding ahli keluarganya yang lain.

Menurutnya, pada peringkat awal arwah bapa tidak begitu menggalakkannya menceburi bidang seni. “Biasalah, stigma orang dulu-dulu bahawa anak seni tidak menjamin masa depan. Arwah bapa dan adik-beradik merupakan golongan pendidik dalam bidang agama serta subjek lain,” tuturnya.

Mohamed Najib yang mempunyai minat mendalam terhadap bidang seni merupakan seorang pelukis. Lukisan pertamanya dihasilkan dalam bentuk lukisan abstrak dan cat air.

Kemudian, anak kelahiran Karak, Pahang itu mengubah skop daripada lukisan abstrak kepada batik. Lukisan batiknya pernah dipopularkan ke luar negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, Britain, Afrika Selatan, Mauritius, Pulau Reunion, China, Brunei dan Thailand.

Batik


Mohamed Najib bersama isterinya lebih selesa tinggal di rumah Melayu lama berbanding tinggal di rumah-rumah moden di ibu kota.


Gemar menanam bunga dan bercucuk tanam, Mohamed Najib juga merupakan seorang pengusaha batik. Beliau bergiat aktif mengusahakan perniagaan tersebut sekitar 1983 di Gombak, Selangor.

Perniagaannya sedikit sebanyak berkembang sehinggalah pada satu peringkat beliau terpaksa memberhentikan perniagaannya ekoran kegawatan ekonomi yang melanda negara ketika itu.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah berputus asa malah bertekad untuk membawa warisan Melayu itu ke peringkat yang lebih jauh. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke luar negara.

“Ketika itu (peringkat ijazah), saya mengambil jurusan grafik dan reka bentuk. Apabila menyambung ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), saya mengubah haluan dan mengambil jurusan seni tradisional dan kontemporari,” jelas bekas graduan Universiti Metropolitan Manchester, Britain ini.

Tujuan dia memilih jurusan tersebut adalah untuk menyambung tradisi dan warisan orang-orang Melayu. Lebih-lebih lagi, dia mempunyai pengalaman dalam perusahaan batik suatu ketika dahulu.

“Jika dulu, batik dilihat sebagai sarung atau sebahagian daripada pakaian tradisional. Namun, zaman berubah dan seni juga semakin meluas.

“Jika batik tidak ‘diperkenalkan’ dengan cara baharu kepada golongan baharu (generasi muda), lambat-laun seni batik dan warisan tersebut akan mati.

“Alternatifnya, saya membuat kajian dan menggunakan elemen kontemporari untuk menonjolkan seni batik,” tuturnya.

Mengulas mengenai bagaimana seni batik ‘diperbaharui’, Mohamed Najib menjelaskan, persembahan seni tersebut dipelbagai. Misalnya, batik yang dulunya berperanan sebagai pakaian, berubah kepada hiasan dinding dan kanvas.

“Saya mahu orang ramai melihat seni batik sebagai satu karya. Ia juga menunjukkan identiti bangsa dan negara kita kepada orang luar,” katanya yang kagum dengan artis terkenal, Chua Teng Teng yang membawa identiti tanah air ke persada dunia.

Kebanyakan orang melihat seni batik hanya pada pandangan mata kasar, namun setiap perincian daripada motif bunga sehinggalah ke bentuk segi tiga mempunyai makna tersirat. Mohamed Najib menjelaskan bahawa batik merupakan keseluruhan cerita orang Melayu.

Pulihara warisan


Projek rumah Melayu lama yang dibangunkan di Karak, Pahang bertujuan untuk dijadikan madrasah dan memondok.


Selesai merungkai cerita mengenai seni batik, Mohamed Najib yang menjadi Ketua Pengarah BSVN buat kali kedua pada bermula 2015 lalu selepas kali pertama pada 2008 hingga 2009 itu juga membuka topik mengenai rumah Melayu lama.

Ayah kepada tiga orang anak itu bukan sahaja sedang membangunkan projek membina dan memulihara rumah Melayu lama di Karak bahkan tinggal di rumah tersebut.

“Saya berasa lebih selesa tinggal di rumah itu bersama isteri, Ida Mymoon Ismail, 63, berbanding di rumah-rumah moden.

“Pernah juga saya melawat dan tinggal di rumah anak-anak tetapi saya ibarat cacing kepanasan,” katanya berketawa kecil.

Selain itu, Mohamed Najib berkata, rumah-rumah Melayu lama dibangunkan untuk memondok atau madrasah, iaitu tempat untuk golongan muda dan dewasa mempelajari ilmu-ilmu agama seperti mengaji. Tanah yang diusahakan di kawasan Karak itu seluas 0.5 hektar.

Di sekitar kawasan tersebut juga mempunyai tanah luas yang lebih, ia juga digunakan sebaik mungkin untuk bercucuk tanam seperti cili, kentang dan sayur-sayuran.

Apakah tujuan sebenar di sebalik kegigihannya membangunkan rumah Melayu lama dan seni batik? Mohamed Najib menjawab: “Memulihara warisan.”

“Kaum lain seperti Cina dan India mempunyai kebudayaan dan kesenian warisan mereka. Kaum India terkenal dengan kuil besarnya di Batu Caves, Selangor, manakala kaum Cina pula bangga dengan tarian naga dan singa. “Melayu? Apa yang tinggal kepada generasi muda jika kita tidak mempertahankan warisan ini. Saya lihat tidak ramai generasi muda tahu mengenai wayang kulit, kuda kepang dan tarian tradisional, jauh sekali seni bina rumah Melayu lama,” katanya dengan nada sayu.

Justeru, Mohamed Najib berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan warisan yang ditinggalkan dan diajar oleh mereka yang terdahulu supaya tidak lapuk dek zaman.