Lu Mafia Gua Gangster filem sulung Zero


ZERO yang dianggotai (dari kiri) Sharif, Syaiful dan Atu mahu memperkemaskan karier mereka dengan melebarkan sayap sebagai pelakon.


Selepas menjuarai program realiti Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), kumpulan tiga beradik, Zero dilihat semakin sepi dari dunia hiburan.

Zero yang dianggotai oleh Mohd. Syaiful Doli Sharif (Syaiful), Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif) dan Sharid Kunal Doli Sharif (Atu) itu seperti lebih selesa untuk menguruskan kehidupan peribadi dan keluarga.

Namun, penantian untuk menyaksikan Zero kembali menghiburkan peminat tercapai apabila mereka bakal muncul dengan filem sulung bertajuk Lu Mafia Gua Gangster.

Sharif, mewakili Zero berkata, ramai yang tertanya-tanya ke mana hilangnya mereka sejak menjadi juara MLM2014 dan ini adalah hadiah buat peminat yang tidak berhenti menyokong karier mereka.

“Banyak hal yang berlaku selepas kami menjuarai MLM2014 seperti Atu dan Syarif mendirikan rumah tangga. Bukan kami terus mahu bersara dari dunia seni cuma banyak tanggungjawab peribadi yang perlu diselesaikan.

“Kami berharap menerusi penampilan pertama di layar perak akan mengubat rindu peminat yang mahu melihat telatah Zero,” ujarnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Ditanya adakah mereka tidak teringin untuk kembali bersaing dalam MLM, Sharif mengakui mereka ada menerima tawaran sebelum ini, namun terpaksa ditolak kerana jadual waktu yang tidak bersesuaian.

Menyedari banyak permintaan daripada peminat agar mereka kembali beraksi di pentas tersebut, ia mungkin akan menjadi kenyataan bagi MLM musim akan datang.

“Kami meminta maaf kepada penonton yang selalu memohon agar Zero menyertai MLM selepas tahun 2014 tetapi tidak kesampaian kerana kekangan masa serta komitmen peribadi yang menghalang.

“Insya-Allah, kami akan pertimbangkan untuk beraski dalam MLM jika ada tawaran,” jelasnya lagi.

Pengalaman berlakon

Beralih kepada filem Lu Mafia Gua Gangster, Zero bergandingan dengan beberapa orang pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Zack Taipan selaku watak antagonis.

Berasa teruja dan bangga dapat berlakon di samping senior seperti mereka, Atu berkata, Jalaludin dan Zack banyak membantu dari segi teknik menghafal dialog dan menghayati watak.

Masih perlu menimba banyak ilmu dalam dunia lakonan, Atu menyatakan, berlakon itu lebih sukar berbanding dengan melawak yang lebih spontan.

“Untuk percubaan kali pertama, saya dan ahli kumpulan Zero yang lain memang banyak belajar benda-benda baharu dalam percubaan kami untuk bergelar pelakon.

“Kami seronok berlakon walaupun ini bukan kepakaran Zero. Pengalaman ini amat berharga buat kami dan diharapkan peminat akan dapat menikmati lakonan kami menerusi Lu Mafia Gua Gangster,” jelasnya lagi.

Lu Mafia Gua Gangster menjalani penggambaran sepenuhnya di sekitar Johor Bahru dan bakal menemui penonton di pawagam bermula 21 April ini.

Filem ini mengisahkan tiga sekawan iaitu Amir (Atu) dan Rosham (Syaiful) dan Megat (Sharif) terjebak dalam kancah dunia gengster apabila secara tidak sengaja menemui berlian milik King (Jalaluddin) dan Kong (Zack) yang merupakan dua mafia paling digeruni di kawasan itu.

Keadaan menjadi huru-hara apabila Amir, Rosham dan Megat membuat urusan jual beli berlian tersebut bersama King serta Kong, namun terlupa di mana mereka menyimpannya.