Nur Amirah mahu buka sekolah dram



PUKULAN dram bertingkah mengikut rentak lagu Fur Elise karya Beethoven dalam versi heavy metal dari luar sebuah studio di Petaling Jaya di sini mungkin kedengaran agak keras, namun memukau halwa telinga.

Apatah lagi instrumen yang lebih akrab dikaitkan dengan kaum Adam itu dimainkan oleh seorang gadis berusia 13 tahun, Nur Amirah Syahira Azizul Abidin.

Sebut sahaja rentak yang diingini, tangkas sahaja sepasang tangan kecil itu menghayun kayu pemukul sambil kakinya menari-nari menginjak pedal bass tanpa teragak-agak mahupun rasa kekok.

Daripada genre rock, jazz, pop, zapin, irama tradisional, dangdut sehinggalah ke lagu Hindustan, Janam Janam segala-galanya teradun kemas.

Berdasarkan rekod, dia telah memuat naik lebih 185 video di saluran YouTube miliknya dan mempunyai 433,746 pelanggan dengan klip video yang dihasilkan pernah mencecah 800,000 penonton. Maka tidak hairanlah namanya tidak asing lagi di enjin carian internet.

Nur Amirah yang meminati pemain dram wanita terkemuka di dunia seperti Meytal Cohen, Elaine Bradley dan Lux juga mengakui tidak pernah mengikuti sesi pembelajaran formal mengenai dram dan mempelajari kemahiran tersebut secara atas talian.

“Saya tertarik dengan alat muzik ini sejak berumur lapan tahun dan sangat suka menonton aksi pemain-pemain dram terkenal terutamanya dari luar negara di laman sosial.

“Sedikit demi sedikit saya belajar dari video tutorial yang dimuat naik oleh mereka yang mahir mengenai cara-cara bermain dram dan ia banyak terdapat di YouTube,”katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Telinga siput


NUR AMIRAH hanya mengambil masa sekitar dua jam untuk menghasilkan kod bunyi dram yang sepadan dengan lagu asal.


Mengakui tidak mempunyai dram sendiri waktu itu, tetapi dia pernah memiliki sebuah dram mainan kecil menggunakan watak King Kong semasa zaman kanak-kanak. Puteri sulung pasangan Azizul Abidin Mohd Fadzil, 39, dan ibu, Asma Zainol, 37, itu bersyukur mendapat sokongan penuh kedua-dua ibu bapa sehingga mereka sanggup membelikan set dram terpakai untuknya.

Apa yang melucukan Bintang Harapan 2014 sempena Karnival Belia Pakatan Setia Malaysia itu, dia menamakan teknik menghafal melodi lagu sebelum mengubah kepada bentuk kod bunyi dram sebagai telinga siput.

Menurutnya dia mengambil masa sekitar dua jam untuk menghasilkan rentak dram yang sepadan dengan lagu asal dan tidak pernah mencatat kod itu sebaliknya terus mengingati rentak yang terhasil menggunakan gerak hati.

“Insya-Allah, saya akan mendaftar ke kelas muzik tahun ini dan teringin mempelajari kaedah membaca dan menghasilkan nota muzik sendiri.

“Ibu masih mencari tenaga pengajar yang sesuai dan masih banyak tempo dan strok yang perlu diperbaiki supaya permainan saya bertambah baik,” katanya yang turut memiliki jenama minyak wangi sendiri.

Nur Amirah yang berada dalam kelompok 22 peserta terbaik pada pertandingan antarabangsa Hit Like A Girl (HLAG) 2015 turut menyertainya sekali lagi tahun ini dengan tarikh akhir undian adalah 14 Mac ini.

Diasaskan pada 2011, pertandingan berprestij khusus untuk pemain dram wanita itu berjaya menarik 1,700 penyertaan dari 50 negara. Ini termasuklah Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, Jerman dan Ireland dan enam finalis HLAG 2016 dijadualkan berentap di Kanada pada peringkat akhir.

“Tidak menang pun tidak mengapa, saya hanya ingin menguji kemampuan diri dan gembira ramai pengguna laman sosial memberi maklum balas positif menerusi komen-komen mereka.

“Perkembangan ini membakar semangat kepada saya untuk terus maju dan tiada apa yang lebih membanggakan daripada mengharumkan nama negara menerusi cara saya sendiri,” tuturnya bersemangat.

Juara program realiti, Ceria All Stars yang dinobatkan pada Januari lalu itu pernah mengiringi persembahan artis dari Indonesia Wali Band pada Jun 2015.

Jiwa


NUR AMIRAH meminati pemain dram kumpulan rock Neon Trees dari Amerika Syarikat, Elaine Bradley.


Berpeluang berkongsi pentas dengan nama-nama besar yang lain seperti kumpulan Iklim, Wings, Slam pada usia yang masih hijau, bintangnya kian bersinar apabila tersenarai dalam kompilasi 10 pemain dram wanita terbaik di YouTube baru-baru ini.

Memiliki raut wajah ceria dan gemar melemparkan senyuman sepanjang persembahan, Nur Amirah berkata, walaupun alat muzik itu menghasilkan suasana bingit dengan bunyi berdentum dentam tidak bermakna dia perlu bertukar karakter menjadi seseorang yang lain.

“Mungkin ia bukan instrumen muzik yang lebih berciri kewanitaan seperti piano atau biola tetapi falsafah yang terkandung dalam dram itu sangat besar maknanya jika diteliti secara mendalam.

“Dram ibarat jiwa kepada muziknya. Tanpanya terasa tidak lengkap kerana ia ada kedudukannya tersendiri dalam sesebuah lagu,” katanya yang sesekali tampil berbaju kurung ketika beraksi.

Bercita-cita menjadi pemain dram bertaraf dunia, dia yang berhasrat untuk membuka sebuah sekolah dram suatu hari nanti bertekad untuk menjadikan aktiviti itu sebagai hobi yang serius.

Tambah Amirah, bermain dram sebenarnya tidak memerlukan kekuatan fizikal yang banyak seperti sangkaan sesetengah orang tetapi sesiapa sahaja boleh cuba mempelajarinya kerana ia adalah satu bentuk terapi meredakan tekanan.

Memilih untuk berhijrah ke ibu kota kira-kira tiga bulan lalu, ia boleh disifatkan sebagai keputusan sukar buat Nur Amirah sekeluarga tetapi demi memastikan perjalanan karier seninya berjalan lancar tanpa dibatasi kekangan jarak dia akur.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan Permai Indah, Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang itu berkata, memang sukar berpisah dengan guru dan rakan-rakan yang banyak memberi semangat serta kata-kata perangsang untuknya membina nama dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, dia boleh berlapang dada mempunyai ibu bapa yang begitu memahami dan setia menemaninya ke mana-mana.

“Alhamdulillah, rezeki mencurah-curah. Rutin seni yang agak padat memerlukan saya berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur setiap minggu dan kadangkala saya turut diundang membuat persembahan sehingga ke negeri Johor.

“Namun, semua itu ada hikmahnya. Sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling juga amat menyeronokkan. Lebih menarik terdapat sebuah dram di sekolah itu dan saya begitu teringin mencubanya,” kata artis cilik naungan Astro itu.