Sulaman komedi, romantik Angin Cinta


DARI kiri: Ketua Unit Filem dan Drama Premium Astro, Saniboey Ismail, pengarah Ghaz Abu Bakar, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, Zizan, Ummi Nazeera dan Shahronizam Noor pada sidang akhbar filem televisyen (FTV) Angin Cinta, baru-baru ini.


Sesuai dengan permintaan meluas peminat pada filem bergenre komedi dan santai, Astro First Eksklusif tampil mempersembahkan sebuah karya bertajuk Angin Cinta yang dijanjikan dapat memenuhi selera penonton.

Filem ini turut menjadi titik penyatuan pertama antara dua pelakon terkenal tanah air, Zizan Razak dan Ummi Nazeera bagi filem televisyen (FTV) yang diterbitkan oleh Mermaid Studios.

Filem arahan sutradara terkemuka tanah air, Ghaz Abu Bakar, bukan sekadar memaparkan konflik cinta anak muda yang sering diperlihatkan tetapi turut menyelitkan nilai-nilai kekeluargaan yang jarang dibahaskan dalam bentuk filem.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, idea untuk menghasilkan FTV Angin Cinta timbul apabila pihaknya mendapat kecenderungan peminat yang kian terarah kepada jalan cerita yang santai dan tidak terlalu berat.

Berbeza dengan filem biasa, Angin Cinta tidak akan ditayangkan di mana-mana pawagam tetapi terus ke kaca televisyen penonton dengan harga yang berpatutan dan ruang masa yang lebih panjang.

“Istimewanya filem Angin Cinta ini ialah inti patinya bukan seperti cerita cinta yang klise dan membosankan. Di bawah garapan skrip oleh Eenaz Mokhtar dan arahan Ghaz, ada mesej dan unsur-unsur pengajaran tentang restu ibu bapa dalam percintaan yang mahu disampaikan,” ujar Khairul ketika ditemui pada majlis sidang media Angin Cinta, di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem tersebut mengisahkan tentang Khairi Kamarudin atau KK (Zizan) dan Irika (Ummi Nazeera) yang cuba mencari penyelesaian apabila hubungan cinta mereka tidak direstui oleh bapa Irika, Pak Mustafa (lakonan Shahronizam Noor).

Konflik bermula apabila Pak Mustafa meragui keikhlasan KK untuk memperisterikan Irika dan itu membuatkan anak perempuannya mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan jejaka berkenaan.

Keserasian

Bagi Ummi, Angin Cinta merupakan satu cabaran baharu untuk dirinya memandangkan ia adalah lakonan pertamanya selepas empat tahun berehat daripada industri.

Menyifatkan genre romantik komedi yang ditonjolkan dalam naskhah tersebut bukanlah kepakarannya, tetapi dia mengambilnya sebagai satu cabaran.Bagaimanapun, keterbukaan serta keramahan Zizan banyak membantu dia memberikan yang terbaik sepanjang proses penggambaran berjalan.

“Saya sering ditegur oleh Ghaz supaya lebih tenang setiap kali berdialog dan Zizan banyak membantu agar lakonan saya menjadi lebih santai dan spontan.

“Zizan seorang yang sangat profesional dan tidak teragak-agak untuk datang berlatih serta berbincang agar keserasian antara kami itu dapat diwujudkan,” katanya lagi.

Bagi Zizan pula, dia tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Ummi walaupun itu gandingan kali pertama mereka kerana pelakon itu sedia diberi teguran.

Tidak dapat dinafikan filem berunsur komedi merupakan kekuatan Zizan tetapi itu tidak bermakna dia mengambil mudah mengenai wataknya sebagai hero dalam Angin Cinta.

“Ummi sedikit pemalu pada mulanya, mungkin kerana dia tidak pernah bekerja dengan saya namun selepas beberapa kali berlatih dialog bersama, barulah kami mulai selesa dengan satu sama lain.

“Kami saling bertukar pendapat untuk menguatkan lagi aura kekasih di dalam filem ini dan saya berharap penonton dapat merasakannya apabila menonton naskhah ini di kaca televisyen mereka,” tuturnya lagi.

Filem Angin Cinta sudah mula ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 sejak 30 April lalu dengan harga RM15.90 dan dapat ditonton berulang kali dalam tempoh 48 jam daripada waktu pembelian.