Dunia baharu Siti Elizad



SETIAP orang mempunyai corak perjalanan hidup tersendiri. Begitu juga dengan wanita bernama Siti Elizad. Dia pernah mencipta populariti sekitar sedekad lalu, namun tatkala dia mencipta nama, dirinya hilang daripada radar seni yang membawanya selama ini.

Bukan rajuk membawa diri, cuma ketika itu dia membuat keputusan untuk berehat seketika. Sungguhpun jauh di sudut hati, dia sebenarnya cukup sayang mahu melepaskan apa yang sudah digenggam ketika itu. Ini kerana, ada tugasan yang jauh lebih besar untuk dia galas sebagai seorang anak.

Bagaimanapun, itulah antara pengorbanan besar yang dilakukan pelakon yang kini menginjak usia 32 tahun itu. Apa yang penting dia tidak pernah berasa ralat dek pernah melupakan cita-citanya seketika sebelum ini.

Apa yang dilakukan Elizad sememangnya patut dipuji. Mana tidaknya, dalam tempoh itu masa dan tumpuannya tidak lain hanya untuk arwah ibu tercinta, Nazariah Mohd. Salleh, 68, yang ketika itu menghidap penyakit parkinson dan beberapa komplikasi lain.

“Arwah ibu sakit ketika itu, jadi saya buat keputusan untuk menjaganya. Itu yang saya lama tak muncul di televisyen. Kini saya kembali aktif semula,” katanya ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Hotel KSL City, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Apatah lagi apabila mengenangkan hari ini merupakan sambutan Hari Ibu, sudah pasti kerinduan itu tidak pernah sedikit pun luput. Biar sudah tiada di depan mata, sekurang-kurangnya dia masih mampu mengirimkan doa buat ibu tercintanya.

“Waktu saya menjaganya, arwah ibu pernah beritahu dia mahu tengok saya kembali berlakon meneruskan apa yang saya impikan selama ini. Agak terkilan juga sebab dia tidak sempat untuk melihat itu semua selepas pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” kongsi pemilik nama Siti Elizad Mohd. Sharifuddin itu.

Terima sokongan

Apa yang penting, biar mendiamkan diri seketika, itu tidak bermaksud namanya sudah dibiar ke tepi. Sebenarnya penangan lakonan Elizad itu sendiri masih ramai yang menanti. Justeru kemunculannya menerusi drama Teman Lelaki Upahan, melonjakkan kembali nama dan popularitinya.


Pelakon ini mencuba nasib dalam bidang nyanyian menerusi program Gempak Superstar.


Sudah pasti, momen itu antara yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dia tidak pernah menyangka bahawa kehadirannya semula itu masih lagi diterima ramai. Maklumlah, tatkala keadaan industri yang menerima kehadiran ramai pendatang baharu, Elizad perlu bersaing dengan muka-muka baharu.

Bagaimanapun, itu bukanlah menjadi penghalang buatnya untuk terus mencapai apa yang sudah lama ditinggalkan ketika itu. Cuma, baginya, setiap pelakon itu punya keunikan tersendiri.

“Setiap pelakon itu ada bakat masing-masing. Mereka ada cara tersendiri untuk menjadikan satu-satu karakter itu dengan caranya tersendiri. Walaupun satu watak, tetapi cara penyampaian itu sudah pasti tidak sama antara satu pelakon dengan pelakon yang lain. Itu yang boleh membezakan kita.

“Lagipun, setiap orang ada rezeki masing-masing. Saya percaya dengan rezeki Tuhan. Syukur sehingga kini saya ada peminat yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Menurut Elizad, peminat merupakan antara aset yang perlu dijaga. Ini kerana, merekalah yang menjadi faktor dan pendorong untuk dia terus kekal bertapak dalam industri seni sehingga sekarang.

“Saya anggap peminat ini macam kawan-kawan. Misal kata, kalau saya beritahu yang saya kini berada di Johor, saya akan ajak mereka jumpa sekali. Jadi, ramai-ramai akan datang sekali turun lepak sama-sama. Hubungan itu jadi lebih rapat,” kongsinya.

Menyanyi

Maka tidak hairanlah, saban minggu, Elizad yang kini mencuba nasib dalam bidang nyanyian menerusi program Gempak Superstar antara yang sering menerima laungan dan jeritan luar biasa daripada peminatnya yang sama-sama turun padang memberi sokongan kepadanya.


SITI ELIZAD percaya rezekinya masih ada dalam dunia seni biarpun pernah berehat seketika untuk menjaga arwah ibu.


Jelas terbukti, sokongan yang diterima itu jugalah yang membuatkan dia kini mampu bertahan sehingga ke hari ini yang sudah tiba di pusingan separuh akhir. Tidak keterlaluan dikatakan dia antara peserta yang disebut-sebut umum bakal beraksi di pentas akhir berdasarkan prestasi baiknya saban minggu.

Buktinya, pertandingan yang turut menggunakan 50 peratus undian penonton itu juga menyaksikan Elizad sentiasa berada di kedudukan tangga lima teratas.

“Kalau nak cakap pasal siapa pesaing terdekat, memang susah. Masing-masing hebat. Bahkan, pertandingan ini memang bukan satu yang mudah kerana kita perlu menyanyi dan pada masa sama perlu melakukan sketsa.

“Apapun, saya berasa beruntung kerana inilah peluang saya untuk menimba ilmu muzik daripada individu-individu yang jauh berpengalaman,” kongsinya yang mengakui turut meminati bidang nyanyian.

Sememangnya, ia satu tugas yang berat buat Elizad kerana dia perlu berulang-alik antara Johor dan Kuala Lumpur kerana terikat dengan jadual penggambaran drama lain.

“Memang agak terkejar-kejar sebab Jumaat, Sabtu dan Ahad saya akan berada di Johor untuk Gempak Superstar, manakala pagi Isnin pula akan gerak pulang ke Kuala Lumpur untuk kerja lain lagi. Apapun, saya akan cuba berikan yang terbaik walaupun kalau ikutkan agak letih juga,” katanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Elizad terpalit dengan dakwaan bahawa kononnya dirinya menghasut peminat untuk menghentam juri, Fauziah Ahmad Daud. Semuanya gara-gara komen juri tersebut yang memberitahu prestasi Elizad ada sedikit merosot kerana tidak hadir ke kelas yang ditetapkan, namun perkara itu dinafikannya.

Bagi Elizad, dia seorang yang cukup memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua kerja yang dilakukan.

“Setiap kali persembahan, memang akan berasa gemuruh. Ada kalanya, apabila saya dalam kelas latihan, suara bunyi lain tetapi jika bersiaran langsung menggunakan mikrofon, saya dengar suara macam keluar jadi lain. Apapun saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Artis yang masih bertanding dalam program itu ialah Sherry Ibrahim, Arja Lee, Nazim Othman dan Soffi Jikan yang bakal ke pusingan semi final pada malam ini. Gempak Superstar bersiaran setiap Ahad di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).