Amir Jahari perkenal lagu loghat Sarawak


MUNCUL dengan single terkini berjudul Ingga, Amir Jahari yakin lagu dalam dialek Sarawak itu mampu diterima ramai.


JIKA penyanyi rap Waris popular dengan lagu-lagu seperti Gadis Jolobu dan Rembau Most Wanted yang menggunakan dialek Negeri Sembilan, kumpulan rock Khalifah muncul dengan lagu Hang Pi Mana dalam dialek utara, tidak ketinggalan penyanyi dari Sarawak, Amir Jahari pula muncul dengan single baharu berjudul Ingga.

Tidak pernah jemu untuk berkarya, biarpun masih bermain dengan gelung muzik yang menggambarkan dirinya, Ingga merupakan sebuah lagu yang dituturkan dalam loghat Sarawak serta dicampurkan dengan bahasa Melayu.

Menyifatkan lagu tersebut sebagai satu nasihat kepada anak-anak muda, Amir berkata, ilham untuk mencipta lagu Ingga adalah berdasarkan pertuturan masyarakat di Sarawak yang sering menggunakan perkataan tersebut dan merujuk kepada maksud menyampah atau gedik.

“Ingga diilhamkan semasa saya pulang ke Kuching, ia merupakan perkataan yang popular dalam kalangan anak-anak muda termasuklah orang tua di Sarawak. Apabila sering mendengar perkataan ingga, dari situ saya mendapat ilham untuk mencipta lagu ini supaya orang jangan ingga (menyampah) sangat.

“Lirik dalam lagu ini lebih berbentuk nasihat supaya jangan selalu menyampah dengan orang lain, selain saya ingin memperkenalkan dialek Sarawak kepada masyarakat, terutamanya di Semenanjung,” katanya yang ditemui usai majlis pelancaran lima lagu baharu terbitan Paranormal Record di Plaza Ativo, Bandar Sri Damansara baru-baru ini.

Berbicara tentang sambutan terhadap lagu tersebut, walaupun disampaikan dengan menggunakan dialek Sarawak, lelaki berusia 24 tahun itu optimis pendengar mampu menerima lagu Ingga sama seperti lagu-lagu Korea, Hindustan dan Cina.

Baginya, isu tidak memahami lirik yang disampaikan dalam lagu tersebut bukanlah satu masalah besar kerana peminat juga sudah bijak mencari maksud setiap perkataan yang digunakan.

“Jika lagu Korea, Jepun, Hindustan dan Mandarin orang boleh dengar, jadi tiada masalah untuk orang mendengar lagu ini. Lagipun ia bukan ditulis sepenuhnya dengan dialek Sarawak, sebaliknya cuma 10 perkataan Sarawak sahaja digunakan dan selebihnya adalah perkataan Melayu.

“Sengaja saya ketengahkan lagu sebegini kerana jarang penyanyi memperkenalkan dialek Sarawak, jadi saya rasa ini adalah tanggungjawab buat saya. Soal bahasa tidak mengapa, jika peminat tidak faham, mereka boleh bertanya melalui media sosial,” ujarnya panjang lebar.

Mengulas lanjut, sambil tersenyum Amir berkata, lagu Ingga juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk proses pembikinan video muzik.

Bukan itu sahaja, malah pihak kerajaan negeri juga sudi memberikan sedikit dana buat artis indie sepertinya meneruskan perjuangan dalam industri muzik.

Album

Apabila sudah mendapat dana, Amir kemudian dijentik persoalan tentang perancangannya untuk masa hadapan. Benar, semangat anak muda ini tidak akan luntur begitu sahaja.

Biarpun album pertamanya, Penghibur Jalanan pada tahun 2012 dilihat kurang menyengat, namun dia tetap merancang untuk mengeluarkan sebuah album baharu yang dijangka sekitar awal bulan Ogos depan.

“Buat masa ini, semua 12 material lirik sudah ada dan akan mendapat sentuhan daripada AG Coco untuk proses susunan muzik.

“Jika dalam album pertama saya membawa muzik pop tetapi dalam album kedua ini saya akan membuat kelainan dengan membawakan muzik yang akan membayangkan negeri Sarawak, namun masih mengikut kehendak semasa,” tutupnya.