Sultan Selangor mencemar duli hadir Majlis Makan Malam Amal Peka


SULTAN SELANGOR (empat dari kanan) berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah Peka pada Majlis Makan Malam Amal Peka di Hotel Majestic, Kuala Lumpur malam tadi. Turut kelihatan Shariffa Sabrina (tiga dari kanan).


KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli bagi menyerikan Majlis Makan Malam Amal anjuran Pertubuhan Pelin­dung Khazanah Alam Malaysia (Peka) malam tadi.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, majlis tersebut dianjurkan antara lain bertujuan untuk mengumpul dana bagi memboleh­kan Peka terus menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar di seluruh negara.

“Pihak kami berharap, program-program yang dianjurkan oleh pihak kami dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui di Hotel Majestic di sini malam tadi.

Turut memeriahkan majlis itu ialah Pengasas Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datuk Freida Mohd Pilus; Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin; Pengerusi Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datuk Hamzah Majid dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada majlis tersebut, sebagai tanda penghargaan, Peka buat julung-julung kalinya menyampaikan empat anugerah kepada penerima yang banyak membantu menjalankan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan itu.

Bagi kategori Eco Tertiary Education Award 2016, Sekolah Antarabangsa Islamik Idrissi terpilih sementara Sekolah Antarabangsa Cempaka memenangi kategori Eco Secondary Education Award 2016.

Universiti Putra Malaysia terpilih untuk kategori Eco Tertiary Education Award 2016 dan TNB (Government Link Company).

Shariffa Sabrina menambah, setakat ini, Peka telah berjaya memperoleh sumbangan lebih daripada 30 syarikat korporat, NGO, badan berkanun termasuk individu dalam meningkatkan aktiviti pemuliharaan alam se­kitar di negara ini.