Babak Amar, Tiz jadi bualan

Tiz Zaqyah


DIVA suka juga membaca blog dan portal yang penuh dengan sembang-sembang kosong kalau ada masa terluang. Bukan apa, ada kalanya dari situ bolehlah Diva melihat cara orang-orang kita berfikir dan melontarkan pandangan mengenai isu semasa.

Maka, nak dijadikan cerita, hari itu Diva terperasan mengenai topik hangat mengenai satu paparan video yang memaparkan pelakon Amar Baharin ‘memanjat’ badan pelakon Tiz Zaqyah. Bukan main galak lagi Diva perasan masing-masing melontarkan komen dan pandangan.

Ini bukan betul-betul tau. Ini semua dalam lakonan semata-mata sahaja. Tak silap Diva mereka itu bergandingan dalam drama Akadku Yang Terakhir. Diva tidak pasti sama ada babak itu ada dikeluarkan di kaca televisyen ataupun tidak. Maklumlah Diva sendiri pun bukan ada masa sangat nak duduk depan televisyen melayan cerita.

Cuma, jadi hangat pula dalam kalangan netizen yang berbincang mengenai keperluan babak itu dibuat. Ada yang mendakwa kononnya, babak itu seolah-olah berlebih-lebihan. Macam-macamlah komen yang diberikan. Itu belum cakap lagi sejenis ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ segera. Cuma, ada salah satu komen pengikut tegar drama itu memberitahu babak itu tidak ada ditayangkan. Mungkin sudah dipotong.

Diva: Tahniah Eira Syazira yang dikhabarkan sedang mengandung anak kedua.