Fitri juara Dangdut Star


Juara Dangdut Star, Fitri (kiri), naib juara, Elda, tempat ketiga, Jiwa dan tempat keempat, Rojer dengan hadiah kemenangan masing-masing.


Pengalamannya ketika mewakili negara ke program realiti di Indonesia, D’Academy Asia Indosiar tahun lalu ternyata memberi kelebihan kepada Fitri apabila dinobatkan sebagai juara Dangdut Star musim pertama.

Pemilik nama sebenar Fitri Hiswady Hasan Nordin, 26, itu berjaya menundukkan tiga finalis lain iaitu Elda (naib juara), Jiwa (ketiga) dan Rojer (keempat) sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai bernilai RM50,000, pakej percutian ke Sydney, Australia serta trofi sumbangan Astro.

Mendendangkan dua buah lagu iaitu Mati Hidup Semula (dendangan asal Datuk Jamal Abdillah) dan Matahari (dendangan asal Maya), Fitri mendapat pujian melambung para juri yang terdiri daripada dua juri tetap iaitu komposer, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah dan penyanyi, Mas Idayu serta juri jemputan, Edry Abdul Halim.

Terkejut dengan kemenangan tersebut, Fitri bagaimanapun bersyukur kerana penat lelah dirinya memperjuangkan irama dangdut berhasil apabila berjaya menjadi juara program yang mendapat tajaan daripada Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. itu.

“Saya memang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi pertandingan ini kerana apa yang lebih penting adalah melakukan persembahan sehabis baik serta terus menghidupkan muzik dangdut dalam industri muzik tempatan.

“Muzik dangdut sering dikaitkan sebagai muzik murahan tetapi saya percaya ramai peminat tegar muzik ini yang akan terus memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi akan datang,” ujarnya yang merupakan guru vokal di Universiti Sains Islam Malaysia dan Akademi Tiara Jacquelina.


Selain mempunyai vokal yang bagus, Fitri juga mampu menari dengan baik.


Bangga

Ditanya kerelaan dirinya untuk terus memastikan survival seni sebagai penyanyi dangdut selepas ini, Fitri berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk dikenali sebagai penyanyi dangdut, sebaliknya berbangga.

“Muzik dangdut sudah seperti dilupakan. Saya ingin menjadi penyanyi yang terus memperjuangkan muzik ini walaupun terdapat kritikan dan kecaman daripada orang ramai.

“Kalau kita lihat, kali terakhir penyanyi dangdut lelaki yang berjaya membina nama ialah Iwan. Saya ingin mengembalikan zaman kegemilangan dangdut. Tidak kisah kalau ia mengambil masa yang panjang, saya akan tetap berusaha,” ujarnya dalam nada positif.

Kata pemenang tempat keempat D’Academy Asia Indosiar 2015 itu, sebahagian duit kemenangan akan dibelanjakan untuk menghasilkan single dangdut terbaharu serta sebuah lagu raya gubahan komposer Pak Ngah sempena dengan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Sementara itu, naib juara yang juga finalis tunggal wanita, Elda atau nama lengkapnya, Elda Susanti Abdul Malik, 34, membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000, pakej percutian ke Korea Selatan serta trofi. Di tempat ketiga dan keempat, Jiwa dan Rojer masing-masing membawa pulang RM15,000, pakej percutian ke Bali, Indonesia dan RM10,000 berserta trofi.

Ditugaskan duduk di kerusi juri tetap selama enam minggu program tersebut berlangsung, Pak Ngah berpendapat, kemenangan Fitri disebabkan persembahan konsisten yang ditunjukkannya bermula minggu pertama hingga minggu akhir.

“Dia (Fitri) adalah seorang penyanyi dangdut yang versatil. Selain mampu mengalunkan irama dangdut dengan baik, dia juga mampu mengawal pentas dengan teknik tarian yang menghiburkan.

“Pada peringkat akhir, dia menunjukkan persembahan yang begitu stabil sementara ada finalis pilihan lain tidak dapat menyerlah seperti yang diharapkan. Fitri juga mempunyai faktor X yang melayakkan dirinya bergelar juara,” ulasnya.

Diacarakan oleh Tauke dan De Fam, konsert akhir Dangdut Star turut diserikan dengan persembahan daripada Amelina serta bekas peserta program tersebut seperti Felix Agus dan Zizi.