Mohd. Edy, Sari Yanti setuju selesai nusyuz secara baik

13/06/2016 5:39pm

PETALING JAYA - Perbicaraan kes nusyuz (kembali taat) antara pasangan pelakon terkenal Sari Yanti dengan bekas suaminya, Mohd. Edy Casmadi Che Hussain, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini hari ini membuahkan kata sepakat untuk selesai secara baik.

Peguam syarie, Marlina Amir yang mewakili Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 32, memaklumkan mahkamah terdapat persetujuan direkodkan daripada kedua-dua pihak ketika prosiding di hadapan Hakim Syarie, Abd. Halim Abu Samah dibacakan.

Pihak defendan iaitu Sari Yanti melalui peguamnya telah memohon kes tersebut didengar secara tertutup di dalam kamar hakim sebelum Abd. Halim membenarkannya sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada pihak plaintif.

Mohd. Edy sebagai plaintif yang juga seorang ahli perniagaan memfailkan permohonan nusyuz tersebut pada 7 Mac 2014 mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Bekas suaminya itu bertindak sedemikian kerana dipercayai tidak bersetuju dengan Sari Yanti yang memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Februari 2014.

Selepas kira-kira 20 minit, kedua-dua pasangan itu bagaimanapun dilihat bergegas meninggalkan mahkamah dan enggan memberikan sebarang komen. - K! ONLINE