Lelaki maut kereta terbabas masuk terusan

30/06/2016 12:02pm


Lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam terusan di Jalan Lana Bulu, Kampung Tandop di sini hari ini.


JITRA - Seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam terusan di Jalan Lana Bulu, Kampung Tandop di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu disedari penduduk kampung yang mendengar bunyi dentuman kuat sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Mayat Lim Keat Siong ditemui pada pukul 7.55 pagi tadi oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat sejak pukul 4.11 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Mercedes Benz dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke terusan tersebut.

" Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM berjaya menemui mayat mangsa yang masih berada di dalam kereta pada pukul 7.55 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Jitra di sini. - K! ONLINE