Uqasha, Nelydia sambut raya di Kuala Lumpur


Sewaktu berusia sembilan tahun, Nelydia (duduk) mengutip duit raya paling tinggi iaitu sebanyak RM1,800. Hasil kutipan tersebut, dia membelanjakannya untuk membeli barang permainan selain menyimpan di dalam tabung.


Lebaran disambut penuh sederhana, namun dalam suasana meriah oleh adik-beradik selebriti popular, Uqasha dan Nelydia Senrose.

Walau masing-masing hidup dihambat cahaya glamor sebagai anak seni, itu tidak menghalang mereka untuk menikmati kedatangan Syawal sama seperti orang lain.

Bagi pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 24, yang merupakan kakak Nelydia, hari raya tidak lagi meriah selepas kehilangan neneknya pada tahun 2013.

Sejak itu, dia yang dibesarkan di Kelantan, namun membesar di kota metropolitan Kuala Lumpur tidak lagi beraya di negeri yang digelar Serambi Mekah itu.

“Perkara paling saya rindu adalah ketika arwah nenek masih lagi hidup. Semasa dia masih ada dahulu memang seronok. Dia yang akan menjadi ‘kepala’ untuk segala persiapan. Selepas tiga tahun ketiadaannya dan saya serta adik-beradik lain semakin membesar, kemeriahan itu tidak lagi sama.

“Bagaimanapun, raya tetap raya. Ia adalah waktu terbaik untuk berkumpul dengan keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan. Tahun ini hanya beraya di Kuala Lumpur sahaja selama seminggu,” katanya yang akan menyambung penggambaran drama Khabar Dari Casablanca di Morocco selepas seminggu beraya.

Pelakon jelita itu turut melahirkan keterujaan menyambut hari lahirnya yang jatuh pada Syawal pertama lalu. Ungkapnya, dia berasa sangat bertuah kerana buat julung-julung kali dalam hidupnya, hari kelahirannya jatuh pada hari raya pertama.

“Rasa teruja dan gusar pun ada sebenarnya. Tidak mahu kena buli waktu orang tengah sibuk beraya.

“Apa pun, sempena ulang tahun ke-24 ini, saya berharap kehidupan lebih diberkati Allah dan semoga segala urusan untuk hari mendatang dipermudahkan oleh-Nya,” ulasnya yang dilahirkan pada 6 Julai 1992.

Cerita duta kempen Syukur Selalu itu lagi, dia menyerahkan urusan busana raya kepada ibunya kerana kesuntukan masa.

“Sejak saya menceburi bidang lakonan, mama yang menguruskan urusan baju raya untuk saya. Saya bersyukur kerana memiliki ibu yang sangat memahami. Tahun ini, kalau bukan kerana mama, memang tiada baju raya untuk saya,” selorohnya.

Nelydia bersekongkol dengan kakak

Sementara itu, bagi Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, lebaran kali ini disambut sederhana kerana komitmennya sebagai pelakon yang semakin mencabar. Bagaimanapun akuinya, perkara tersebut tidak membataskan kemeriahan hari raya.


Kini mempunyai berat badan 44 kilogram, Uqasha (bertudung) tekad untuk menaikkan berat badannya selepas raya untuk tampil lebih berisi.


“Sepanjang Ramadan lalu, saya memang terlampau sibuk dengan penggambaran filem Jebat. Beberapa hari sebelum menyambut hari raya, baru saya punya masa untuk cari busana raya. Itu pun hanya untuk cukup syarat raya.

“Bagaimanapun bagi saya, apa yang menjadi tumpuan pada hari raya adalah masa bersama keluarga. Itu yang paling penting sebenarnya. Kalau soal busana, saya hanya akan menggayakan sesuatu yang sofistikated, namun tidak terlalu mengejar elegan,” ujarnya yang bergandingan dengan aktor Sharnaaz Ahmad menerusi filem Jebat yang bakal ditayangkan tahun depan.

Bercerita tentang memori raya, Nelydia lantas memberitahu tentang kenakalannya ketika berusia tujuh tahun. Ceritanya, dia bersekongkol dengan Uqasha untuk membuat onar terhadap adiknya, Raysha Rizrose.

“Waktu kecil, saya memang nakal. Uqasha dan saya suka mengusik Raysha. Masih segar dalam ingatan kami suka bermain bunga api sampai lewat malam tatkala orang lain semua sedang nyenyak tidur. Menjadi perkara wajib waktu tidur, kanak-kanak tidur beramai-ramai di ruang tamu.

“Hendak dijadikan cerita, saya berkomplot dengan Uqasha untuk mencucuh bunga api di tangan Raysha. Menangis dia dibuatnya, namun tidaklah melecur seteruk mana. Memang kelakar apabila difikirkan kembali. Apabila sudah dewasa, perkara-perkara remeh sebegitu yang saya rindu,” ungkapnya yang sangat merindui juadah roti jala air tangan arwah neneknya.

Seperti kebanyakan keluarga, Nelydia menjalani rutin raya seperti biasa. Ia bermula pada malam raya yang mewajibkan semua golongan wanita berada di dapur bagi menyediakan juadah hari raya.

“Malam raya adalah waktu ‘bergotong-royong’ di dapur. Seronok kerana dalam kesibukan memasak, dapat juga berborak dengan ahli keluarga secara santai. Ia adalah perkara yang berlaku sekali dalam setahun,” ulasnya mengakhiri bicara.