Antara minat, lenyap dan pintu hati Janna Nick



SUSAH atau tidak menjadi aktres bernama Janna Nick? Itu soalan pertama yang dilontarkan buat pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner ini dalam pertemuan empat mata secara eksklusif bersama Sensasi Bintang beberapa hari lepas.

Sementelah sekadar mendaki puncak populariti sebaik drama lakonannya, Syurga Nur diterima positif tahun lepas biarpun bergelumang dalam industri seni sejak berusia 16 tahun, Janna masih sama seperti mana seorang olahragawati jarak jauh yang dikenali teman-temannya ketika zaman persekolahan.

“Secara peribadinya, saya masih sama seperti mana Janna Nick sebelum ini, tiada apa yang berubah melainkan saya mula dikenali masyarakat. Jika tidak, kehadiran saya ibarat angin lalu yang dipandang sepi semata-mata,” ujarnya menguntum senyum.

Tanpa berselindung, anak kedua daripada empat adik-beradik itu juga tidak mengeluh dengan jadual kerjanya yang cukup ketat, sendat dan padat seperti mana taglinenya bersama kelompok peminat yang dikenali sebagai Janna Nicker dan JN Army selama ini.

“Terus terang, tidak penat sebenarnya. Saya cuma fokus dengan satu-satu perkara dan tidak suka melakukan terlalu banyak benda dalam satu-satu masa.

“Senang cerita, saya suka dengan apa yang saya lakukan. Bukan apa, saya percaya apa jua yang kita lakukan perlu ada minat. Justeru, datanglah apa jua rintangan sekali pun, kita akan berusaha untuk bertahan jika kita betul-betul berminat dengan apa yang kita lakukan,” ujarnya yang menginjak usia 21 tahun pada 1 Jun lepas.

Lenyap seketika

Menyedari kehadiran pelakon lain ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, tiada yang memudarkan impian Janna untuk berterusan membuai perasaan peminat yang menyokong perjalanan kariernya selama ini.

“Saya akui akan kalah teruk jika mahu bersaing menerusi paras rupa, sebab itu saya mahu menjaga kualiti dan mencari apa lagi yang penonton mahukan daripada saya.

“Jadi, saya mahu terus memperjuangkan seni dan insya-Allah, mahu menjadi pengarah suatu hari nanti sekiranya tidak lagi relevan di depan skrin,” ceritanya lagi.

Sebagai figura umum, Janna juga tidak kisah sekiranya namanya tenggelam suatu hari nanti gara-gara tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan peminat.

“Saya tidak mahu terlalu tamak sehingga tidak dapat memuaskan hati penonton. Biar saya lenyap seketika pun tidak mengapa, asalkan penonton masih ingat saya.

“Pada pandangan saya, lakonan yang natural merupakan lakonan yang sebenar dan tidak nampak dibuat-buat. Saya hanya bekerja sebagai pelakon, namun menjadi tanggungjawab untuk memastikan lakonan itu realiti. Biar orang rasa apa yang kita rasa,” ungkapnya penuh makna.


KESELESAAN lebih menjadi keutamaan Janna berbanding kecantikan.


Tanpa berselindung, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu juga memiliki senarai tersendiri berhubung watak idaman yang belum terlaksana setakat ini.

“Terlalu banyak sekiranya mahu disebut satu persatu. Cuma sejujurnya, saya teringin untuk menjayakan watak insan istimewa dan memerlukan saya membuat perubahan fizikal.

“Saya juga tidak pernah mendapat tawaran untuk menjayakan watak seram, bagi saya watak-watak seperti ini cukup mencabar dan saya sukakan cabaran. Jika ada rezeki, insya-Allah suatu hari nanti, saya tetap akan dapat menjayakan watak-watak sedemikian,” ujarnya.

Lumrah menjadi suri teladan pada kaca mata masyarakat, tidak mustahil Janna juga pernah cuba didekati mana-mana jejaka termasuk mereka yang bergelar Datuk.

Tanpa cinta

Cuma, teraju utama drama Suami Tanpa Cinta itu belum bersedia untuk menyulam sebarang hubungan cinta dalam masa terdekat.

“Saya memang tidak mencari dan kalau boleh enggan bercinta buat masa sekarang. Ada yang mencuba, namun saya tidak memberikan sebarang ruang. Sudah tentu ada yang cuba mendekati, namun saya harus bijak mengetahui apa yang lebih utama buat diri saya sekarang. Bukan mudah untuk saya berada di tahap ini, jadi saya enggan mensia-siakannya hanya semata-mata dengan perkara-perkara remeh seperti ini.

“Pendek kata, biarlah saya memiliki aset saya sendiri, membina karier sendiri berbanding digula-gulakan dengan kemewahan orang lain,” jelasnya mohon dimengerti.

Hadiah buat peminat

Getus Janna, impian untuk meneroka cabang berbeza termasuk bergelar pengacara juga terpaksa dipendamkan buat sementara dek kekangan masa.

“Saya cukup teringin untuk menjadi hos dan pernah menerima tawaran sedemikian, cuma saya tidak dapat tunaikan lantaran komitmen lakonan drama bersiri yang panjang.

“Saya juga sedang berusaha untuk meluangkan masa demi berlakon di bawah arahan Ghaz Abu Bakar, namun masih terlalu awal untuk membicarakan mengenai hal itu.

“Sudah tentu, saya mahu memberikan yang terbaik dalam melakukan sesuatu perkara. Jadi, saya tidak akan buat jika tidak berupaya melakukannya. Senang cerita, saya tidak akan melakukan segala-galanya dalam satu masa,” ujar Janna.

Mengulas lanjut, Janna juga tidak tergesa-gesa untuk menghasilkan single terbaharu kerana beranggapan lagunya yang berjudul Mungkin Saja lebih kepada percubaan sama ada disukai sebagai penyanyi ataupun tidak.


Pernah dihampiri lelaki termasuk bergelar Datuk, ini bukan masa yang sesuai buat Janna untuk menyulam cinta.


“Sebenarnya, saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai penyanyi yang mahu bersaing dengan penyanyi hebat seperti yang ada sekarang, sebaliknya sekadar mahu menghiburkan serta menganggap lagu itu sebagai hadiah buat peminat yang mahukan saya memiliki lagu sendiri.

“Alhamdulillah, saya tetap mendapat sokongan peminat meskipun belum tampil dengan single terbaharu, selain bersyukur apabila lagu Mungkin Saja masih berupaya menjuarai carta meskipun telah dilancarkan hampir tujuh bulan lepas,” katanya yang turut mengeluarkan minyak argan serbagunanya sendiri iaitu Sephia by Janna Nick baru-baru ini.

Mengulas mengenai projek terbaharunya selepas ini, Janna menjelaskan dia bakal menjalani penggambaran drama 28 episod berjudul Biar Aku Jadi Penunggu untuk slot Akasia dan bakal membawakan watak heroin bernama Ifad.

“Wataknya juga agak berlainan berbanding watak yang sering saya terima sebelum ini apabila sikapnya tidak terlalu lembut atau kasar, tidak terlalu naif. Jalan ceritanya juga berbeza dalam mengetahui sama ada pasangannya itu jodohnya ataupun tidak, sebab itu dia sanggup menjadi penunggu.

“Selain itu, saya juga akan menjalani penggambaran telefilem berjudul Tangisan Izara bersama Suhaimi Lua pada awal Ogos depan sekitar Pekan, Pahang dan membawakan watak seorang ibu bernama Raihana, selain bergandingan bersama Raja Afiq, Puteri Balqis dan beberapa pelakon lain dalam telefilem ini,” ceritanya lagi.

Perihal peribadi

Dalam pada itu, sengaja mengajak dramatis ini bersembang mengenai keperibadiannya yang barangkali tidak diketahui umum dan ini jawapan jujur Janna.

“Saya suka menggigit kuku dan mudah tidur, selain tidak suka memikirkan perkara remeh-temeh. Buat apa mahu memeningkan kepala dengan perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan.

“Percaya atau tidak, saya juga memang cukup suka makan nasi kandar berlaukkan ayam madu, telur masin dan sayur bendi,” ceritanya tertawa.

Selain itu ungkap Janna, dia juga tidak suka dengan solekan yang tebal dan hanya memakai kasut tumit tinggi jika terpaksa.

“Ada yang kata beauty is pain, cuma bagi saya keselesaan dalam berfesyen merupakan kecantikan diri saya sebenarnya,” ujarnya seraya menoktah bicara.