Mas Idayu, Ellie Suriati sertai keluarga AF 2016


Dari kiri, Mas Idayu, Aliff Syukri Kamarzaman, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, Ellie Suriaty Omar, Linda Jasmine, Shahrolbahri dan Edry Abdul Halim pada majlis memperkenalkan barisan tenaga pengajar AF 2016 di Restoran Apartment, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Memasuki musim ke-12, program realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia 2016 (AF 2016) kembali dengan pengisian lebih segar dan mantap yang akan mula bersiaran bulan Ogos depan.

Masih mengekalkan format asal untuk musim terbaharu, buat pertama kalinya, dua anak seni berkaliber akan mengisi bangku tenaga pengajar iaitu penyanyi, Mas Idayu sebagai Guru Persembahan Vokal dan aktres, Ellie Suriati, yang akan menggalas tugas sebagai Guru Seni Persembahan.

Sementara itu, wajah-wajah lazim masih dikekalkan sebagai tenaga pengajar seperti Linda Jasmine (Guru Tarian & koreografi), Shahrolbahri (Guru Vokal). Bekas pengetua musim lalu, Edry Abdul Halim pula dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Seni Muzik manakala pengetua baharu masih belum diumumkan lagi. Pengasas D’Herbs Healthy Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bertindak selaku penaja AF 2016.

Teruja diberi kepercayaan sebagai salah seorang tenaga pengajar, Ratu Dangdut Malaysia, Mas Idayu optimis dalam mencungkil bakat-bakat yang bakal hadir dalam AF 2016 tidak lama lagi. Katanya, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk melatih dan berkongsi ilmu dengan bakal pelajar nanti.

“Saya berasa sangat teruja kerana diberi peluang menjadi guru. Hampir 30 tahun berada dalam industri, saya berpendapat sudah sampai masa buat saya memberi sesuatu berfaedah kepada umum yang berminat menjadi sebahagian daripada industri kita.

“Pasti ramai yang musykil mengapa saya diberi tugas untuk menggalas tugas sebagai Guru Persembahan Vokal. Sebenarnya, saya akan berkongsi ilmu lebih ke arah artistik bukan teknikal,” ujarnya pada sidang akhbar pertama AF 2016 di Restoran Apartment, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya soal kepakarannya yang lebih menjurus kepada genre dangdut sementelah tugasnya di AF 2016 akan merangkumi skop lebih universal, Mas Idayu menyangkal perkara tersebut dan yakin mampu memberikan tunjuk ajar sewajarnya kepada para pelajar.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi guru kepada Black dan berjaya mengangkat dirinya sebagai antara bintang yang menyinar dalam industri hari ini malah dia tidak menjadi penyanyi dangdut pun. Insya-Allah, saya akan jalankan tugas diberi sebaik mungkin,” ujarnya yang merupakan juri program realiti popular Indonesia, D’Academy Asia.

Bakat serba lengkap

Bagi aktres Ellie Suriati, tugas sebagai Guru Seni Persembahan bukan satu perkara mudah walaupun sudah lama berkecimpung sebagai pelakon dalam industri tempatan. Bagaimanapun, dia akan menerapkan ilmu serta pengisian berguna demi melahirkan bakat serba lengkap.

“Saya yakin banyak bakat luar biasa perlu digilap di Malaysia. Mempunyai bakat sahaja tidak mencukupi, banyak lagi aspek perlu ditekankan untuk terus diangkat sebagai bintang.

“Saya percaya AF bukan sahaja satu platform dalam melahirkan penyanyi. Ia berikutan telah banyak bakat mengisi kekosongan industri sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan melalui AF,” getus Ellie.

Kesemua barisan tenaga pengajar turut dilantik sebagai juri tetap sewaktu sesi uji bakat pertama yang akan diadakan pada 15 hingga 17 Julai di The Boulevarld - St. Premier Hotel, Midvalley, Kuala Lumpur.

Selain itu, seperti musim lalu, penyertaan juga boleh dilakukan menerusi Instagram dengan hashtag #BakatAF2016. Terbuka kepada semua warga Malaysia dan Singapura berumur 18 hingga 35 tahun, uji bakat secara online bermula pada 9 hingga 24 Jun 2016.