Bantu jenamakan produk tempatan



MINDANYA menerawang jauh mengenangkan kehidupan keluarga lebih 15 tahun lalu. Biarpun bapanya mengusahakan perniagaan sendiri pada waktu itu, ia hampir tidak mendatangkan keuntungan, sekali gus menyebabkan lelaki berumur awal 20-an itu terpaksa mengikat perut bagi menjalani kehidupan seharian.

Bahkan, menu makanan Barat seperti burger yang dianggap lazim dan murah bagi kebanyakan orang juga tidak mampu dibeli.

Itulah pengalaman yang dirasai oleh Pengarah Urusan Ronan Amin Worldwide Sdn. Bhd. merangkap pemilik JenamaSendiri.com, Amin Abdullah, 38.

Dia sedar, wang itu lebih diperlukan untuk kegunaan lain.

“Saya terlalu gemarkan burger. Namun, harus dikawal kerana perlu berjimat cermat.

“Justeru, walaupun kini saya memiliki kewangan yang lebih stabil, makanan itu masih menjadi menu kegemaran.

“Malah, saya tidak kisah untuk menikmatinya setiap hari bagi menebus keinginan yang terpaksa ditahan sewaktu hidup susah dahulu,” kongsi anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Pengalaman kais pagi makan pagi yang dialami keluarganya suatu masa dahulu menyebabkan anak sulung daripada empat adik-beradik itu bertekad untuk bangkit melawan kesempitan hidup.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Portsmouth, England itu mula mengambil alih perniagaan bapanya, Datuk Abdullah Rashid sekitar awal tahun 2000.

Bertitik tolak dari situ, Amin tidak menoleh ke belakang lagi. Dia menjenamakan semula perniagaan kilang membuat produk jenama sendiri yang diusahakan bapanya pada 1985.

Sesuai dengan fungsinya untuk membantu melahirkan usahawan kosmetik dan penjagaan kulit di bawah label sendiri, kilang itu dijenamakan sebagai JenamaSendiri.com di bawah syarikat Ronan Amin Worldwide Sdn. Bhd.

Selepas kematian bapanya pada 2009, perusahaan keluarga itu diuruskan Amin sepenuhnya sementelah adik-adiknya juga berjinak-jinak dalam bidang perniagaan lain.

Memegang prinsip yang disemai oleh kedua ibu-bapanya sejak kecil iaitu kepentingan ilmu sebagai pelaburan masa depan yang penting, Amin kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Universiti Utara Malaysia. Pada 2013, secara rasminya dia menyandang gelaran doktor falsafah (Ph.D).

Berbicara tentang strategi menguruskan JenamaSendiri.com, dia memilih pendekatan berkonsep lebih santai dan kasual, namun masih menekankan etika profesional perniagaan.

Kos pengiklanan

“Perniagaan arwah ayah dahulu tidak begitu menguntungkan kerana kaedah pemasaran yang dijalankan pada waktu itu agak terbatas. Pendekatan yang digunakan pula kebanyakannya bersifat pintu ke pintu.

“Berbeza dengan hari ini, media sosial mempunyai pengaruh yang hebat dalam menghebahkan promosi.

“Itulah kekuatan utama JenamaSendiri.com,” ujarnya yang menekankan konsep ‘jual diri’ sebagai strategi pemasaran utama.

Justeru, Amin mengambil kesempatan di sebalik perkembangan teknologi maklumat semasa dengan mendekati golongan sasaran menerusi media sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Malah, hampir 80 peratus daripada kos pengiklanan dilaburkan pada medium itu.

“Saya percaya, ramai yang berhasrat untuk memulakan perniagaan kosmetik jenama sendiri tetapi tidak terlaksana kerana mereka tidak tahu cara.

“Kini, dengan modal serendah RM25,000 untuk Pakej VIP, hasrat untuk menjadi jutawan kosmetik bukan lagi sekadar impian.

“JenamaSendiri.com bukan sahaja menyediakan produk kepada pelanggan tetapi memberikan rangka promosi, pemasaran dan pengurusan perniagaan secara percuma bagi membantu mereka yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan supaya dapat menjana pendapatan lumayan,” jelas bapa kepada bayi perempuan comel berusia satu setengah tahun, Amber Anggun.

Jumlah itu mencakupi kos pengeluaran 1,000 unit produk, konsultasi pemasaran, sijil kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan beberapa manfaat sampingan lain.

Hampir 90 peratus produk keluaran JenamaSendiri.com telah berjaya menembusi pasaran Dubai, Korea Selatan, Indonesia, Singapura.

Pakar kimia


Ada ketikanya Amin (dua dari kiri) turut melibatkan pakar kimia (dua dari kanan) dalam perbincangan dengan pelanggan.


JenamaSendiri.com menggunakan kepakaran ahli kimia yang mempunyai pengalaman menghasilkan produk kecantikan antarabangsa terkenal. Tidak seperti kebanyakan kilang membuat produk jenama sendiri yang banyak terdapat di pasaran, JenamaSendiri.com tidak terikat dengan konsep menghasilkan produk secara pukal dalam kuantiti yang banyak.

Istimewanya, pelanggan diberi peluang memilih kriteria produk mengikut cita rasa sendiri. Ia diolah mengikut kehendak pelanggan dan formula terhasil adalah satu-satunya di dunia dan tidak akan sama dengan produk lain.

“Saya selesa menggunakan khidmat JenamaSendiri.com. Selain diberi tunjuk ajar terperinci, kualiti produk juga tidak menghampakan. Saya mendapat banyak testimoni positif daripada pengguna,” ujar seorang pemilik jenama kosmetik yang tidak ingin didedahkan identitinya.

Menyedari permintaan dan pasaran kosmetik yang semakin meluas, banyak pihak mengintai peluang untuk mengaut keuntungan berganda.

Tidak terlepas daripada ujian serupa, lelaki berperawakan menarik itu mengakui, cabaran terbesar yang perlu ditempuh ialah menghadapi asakan dan tawaran menarik daripada pembekal bahan mentah dari China.

“Mereka (pembekal) sentiasa cuba menawarkan harga bahan mentah yang jauh lebih murah bagi mendapatkan keuntungan berganda.

“Hakikatnya, bahan mentah murah yang dimaksudkan itu diperoleh daripada sumber tidak halal dan tidak boleh digunakan oleh pengguna Muslim.

“Biarlah syarikat tidak mendapat untung yang banyak asalkan ia selamat digunakan tanpa waswas,” jelasnya sambil menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan produk kosmetik yang terlalu murah kerana status bahan yang digunakan tidak dikenal pasti.

Menurutnya, kebanyakan produk yang dihasilkan kilang dari China menggunakan bahan tidak halal.

Berkongsi pengalaman manis sepanjang menguruskan JenamaSendiri.com, Amin mengakui peluang untuk berjumpa dengan tokoh perniagaan hebat, menteri dan orang kenamaan atas tiket berkongsi ilmu perniagaan adalah sesuatu yang sangat bermakna.

Begitupun, pengalaman lampau juga mengajar Amin agar lebih berhati-hati menilai orang sekeliling. Dia sedar, banyak ancaman menantinya jika leka.

“Saya pernah dikhianati oleh seorang bekas pekerja yang bertindak mencuri harta dan maklumat sulit syarikat kemudian mengugut untuk menyebarkannya.

“Salah seorang pekerja perempuan saya juga pernah diperangkap dan diculik sewaktu sedang membuat penghantaran. Saya perlu membayar sejumlah wang untuk membebaskannya.

“Sejak itu, saya menetapkan segala urusan perlu dibuat di tempat awam bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku,” imbaunya.

Tidak terlalu taksub dengan kemewahan biarpun syarikat komited menghasilkan jutawan kosmetik, JenamaSendiri.com juga peka dengan nasib insan yang memerlukan.

Justeru, syarikatnya telah menubuhkan Yayasan JenamaSendiri bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik dan menyumbang secara tetap setiap bulan kepada tabung kanser serta buah pinggang kebangsaan.

Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Amin berhasrat untuk menempatkan syarikatnya sebagai syarikat kosmetik bumiputera pertama yang tersenarai dalam Bursa Malaysia bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Memilih biru sebagai warna kegemaran, Amin komited untuk membantu usahawan bumiputera memulakan perniagaan sendiri dan bersedia menawarkan khidmat mentor menti dalam aspek pemasaran kepada mereka.

“Kalau bagi harta, ia akan habis tapi kalau bagi ilmu, insya-Allah ia akan bermanfaat sampai bila-bila,” tuturnya.