Pertama kali ke layar perak



BARANGKALI dua nama ini boleh dikatakan punya tuah yang hampir sama dalam industri hiburan tanah air. Cuma, masing-masing asal datangnya dari dua negara dan cabang seni yang berbeza.

Sang teruna, Taufik Batisah yang merupakan penyanyi kelahiran Kota Singa, manakala si dara Raysha Rizrose pula anak tempatan yang mula mencari tempat dalam dunia lakonan.

Jika diukur tempoh perjalanan seni mereka berdua, jejaka yang mencipta popularitinya dengan lagu Awak Kat Mana itu sememangnya sudah lebih sedekad bertapak berbanding adik kepada Nelydia dan Uqasha Senrose itu yang hanya baru mula dikesan bakatnya selepas menjuarai Dewi Remaja 2015.

Raysha peminat Taufik

Biarpun masing-masing datang daripada latar berbeza, dua nama itu akhirnya disatukan dalam satu naskhah yang memberi catatan portfolio baharu dalam karier seni mereka. Diangkat pertama kali sebagai teraju filem Dukun Doktor Dani, sudah pasti ia menjadi satu permulaan baharu buat kedua-duanya untuk pergi lebih jauh.

Kerjasama yang terjalin antara mereka sudah pasti menimbulkan rasa yang cukup teruja. Lebih -lebih lagi buat pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu. Mana tidaknya, sebelum bergelar selebriti lagi, Raysha sememangnya merupakan salah seorang daripada ribuan peminat Taufik.

“Dia merupakan artis Singapura kegemaran saya. Lagu-lagunya memang saya suka dengar antaranya Usah Lepaskan.

“Saya sukakan suaranya. Jadi, apabila dapat tawaran berlakon bersama, kiranya macam antara peminat dan artis jugalah,” kongsi wanita berusia 20 tahun itu.

Bekerjasama buat pertama kali, kata Raysha sudah pasti hatinya berbaur pelbagai rasa. Sementelah ini juga percubaan sulungnya di layar perak.

“Dia pun baru pertama kali berlakon filem, begitu juga dengan saya. Pada mulanya memang timbul juga rasa segan nak berlakon dengan Taufik.


Taufik dan Raysha ditemukan buat pertama kali dalam filem Dukun Doktor Dani


“Maklumlah sebelum ini asyik dengar lagu dia, tapi kali ini berkongsi satu set penggambaran pula. Walaupun kami baharu, saya bersyukur sebab pengarah, Sabri Yunus banyak beri tunjuk ajar kepada kami,” katanya yang memegang watak antagonis bernama Fikha.

Kata Raysha, biarpun gementar menunggu maklum balas penonton terhadap lakonan dalam filem itu, apa yang penting dia sudah melakukan yang terbaik.

Sebagai pendatang baharu, dia tidak dapat menafikan orang ramai pasti cenderung untuk cuba membandingkan dirinya dengan dua kakaknya. Apapun baginya, setiap respons yang diberikan, ia perlu dilihat dari sudut yang membina.

“Saya sudah bersedia apa orang akan kata dengan lakonan saya. Biarlah mereka menilai sendiri. Saya juga tak sabar nak tunggu respons dari ahli keluarga sendiri,” katanya yang merancang mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang dalam masa terdekat ini.

Taufik lebar sayap

Bagi Taufik pula, tawaran memegang watak utama yang diberikan kepadanya itu merupakan satu peluang yang cukup besar. Tambahan pula dia diletakkan sebaris dengan nama-nama besar seperti Fasha Sandha dan Khatijah Tan, Taufik merasakan inilah masanya untuk dia mencuba sesuatu yang baharu.

“Sewaktu mendapat tawaran ini, saya sendiri tertanya-tanya kenapalah agaknya saya dipilih. Apalah yang mereka lihat dengan saya ini. Maklumlah, saya ini mana pernah berlakon filem. Jadi apabila terus diberikan watak utama, sudah pasti rasa terkejut.

“Apapun saya anggap ini sebagai satu rezeki. Mungkin inilah masanya untuk saya cabar diri melakukan sesuatu yang baharu dalam dunia hiburan. Kalau ikutkan, bidang nyanyian memang sudah 11 tahun, tetapi lakonan saya masih terlalu baharu,” kongsi penyanyi berusia 35 tahun itu.


Kedua-dua anak seni ini berani mencuba sesuatu yang baharu untuk memantapkan lagi kerjaya mereka.


Menurut Taufik, apa jua cabang seni yang diterokainya, ia masih lagi dalam kelompok industri yang sama. Justeru, dia tidak pernah meletakkan pilihan agar dirinya cenderung untuk dilabel sebagai penyanyi atau pelakon.

“Bukan penyanyi atau pelakon, tetapi saya mahu dilihat sebagai seorang penghibur. Saya suka menghiburkan orang ramai. Bahkan kalau lihat dalam nyanyian juga, berbagai-bagai genre yang sudah saya hasilkan. Saya tidak pernah meletakkan had dalam berkarya. Apa yang saya buat paling penting dapat menghiburkan orang di sekeliling,” katanya.

Bercakap pasal lakonan, sudah pasti sebagai orang yang sudah berumah tangga, Taufik sedar dia perlu menjaga batas-batas sewajarnya yang perlu diambil kira.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami kerjayanya sebagai anak seni.

“Dia bukan jenis yang kuat cemburu. Bahkan dialah individu yang banyak memberi sokongan dengan apa yang saya lakukan hari ini. Dia selalu memberi pandangannya terhadap kerjaya saya. Pada masa sama, dia sentiasa ingatkan dan memberi nasihat kepada saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Taufik, dia juga melahirkan rasa bertuah kerana dirinya mula diterima untuk membina nama di negara ini.

“Setiap apa yang kita lakukan itu ada permulaannya. Ini permulaan baharu saya dalam dunia perfileman. Dahulu, fasa ini juga yang saya lalui dalam bidang nyanyian.

“Sudah macam-macam yang saya lalui. Saya juga akan melihat filem pertama saya ini sebagai seorang pengkritik agar saya boleh sentiasa memperbaiki diri pada masa akan datang,” katanya yang membawakan watak Dr. Dani.

Filem Dukun Doktor Dani yang mula ditayangkan sejak Khamis itu mengisahkan seorang lelaki yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai doktor selepas gagal menyelamatkan nyawa pesakitnya.

Ekoran tindakannya itu dia kemudian terjebak dengan kerja-kerja merawat pesakit secara tradisional selepas berjumpa dengan seorang dukun.