Ahli lembaga pengarah skim tipu pelaburan ditahan

05/08/2016 3:28pm

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Sri Hartamas dekat sini kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan piramid.

Ketua JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan pada pukul 1 pagi tadi, suspek yang berasal dari Ketereh, Kelantan itu menyorok di dalam sebuah bilik di unit kondominium tersebut.

"Suspek dipercayai sedang membuat persiapan untuk melarikan diri ke luar negara.

"Lelaki berkenaan merupakan seorang guru dan berperanan sebagai ahli lembaga pengarah dalam skim yang dikenali sebagai Highway Group itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Acryl Sani, skim terbabit berjaya memancing kira-kira 500,000 pelabur dengan nilai pelaburan mencecah hampir RM50 juta. - K! ONLINE