Definisi cef selebriti Anis Nabilah



PERTEMUAN yang diaturkan bersama cef selebriti Anis Nabilah di restoran Kontiki, Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung dalam suasana agak santai.

Sesuai dengan mood pada petang itu, Anis turut bergaya ringkas dengan memadankan sehelai busana tanpa lengan dengan corak jalur biru, putih dan jingga. Rambut coklat perangnya yang didandan kemas dengan gaya berombak dibiarkan mengurai jatuh lalu melepasi dua bidang bahu.

Seperti menonton rancangan masakan kendaliannya di layar kaca, Anis atau nama sebenarnya, Anis Nabilah Umaruddin dilihat begitu lancar dan tidak kekok dalam berbicara, terutama dalam memberikan pendapat mengenai bidang yang dicintainya, kulinari.

Tidak pernah lekang senyuman pada wajahnya, wanita berusia 30 tahun itu ramah dalam menjawab setiap soalan yang diajukan.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk bergelar cef selebriti, apatah lagi melakukan demonstrasi memasak menerusi televisyen.

“Benar, saya gemar memasak dan mempunyai pendidikan dalam bidang kulinari. Namun, saya tidak dilahirkan dengan bakat mengacara dan berinteraksi dengan penonton menerusi kamera!” ungkap Anis sambil diiringi dengan deraian tawa.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan kariernya, Anis berkata, dia memulakan langkah sebagai cef selebriti selepas menamatkan pengajiannya di Food Institute of Malaysia, Selangor sekitar sembilan tahun lalu.

“Rancangan masakan pertama yang saya jayakan ialah Icip Icip untuk siaran TV3. Ketika itu, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang penerbitan.

“Agak sukar untuk menyesuaikan diri memandangkan saya perlu mempelajari tentang perkara baru setiap hari. Tetapi, berkat usaha dan tunjuk ajar produksi, saya berjaya menamatkan penggambaran program tersebut,” katanya.

Menurut Anis, biarpun berhadapan dengan rasa kurang yakin, namun, rezeki seperti tidak bersetuju dengan pendapatnya itu.

“Saya berasa sangat terkejut apabila menerima banyak tawaran selepas menjayakan program Icip Icip. Maklumlah, sebagai cef yang baru memulakan kerjaya dan diminta untuk mengacarakan program masakan, saya tidak menjangka sebuah produk akhir yang sempurna.


IKTIRAF Anis merupakan satu-satunya cef celebriti dari Malaysia yang pernah terlibat dalam program terbitan TLC Asia.


“Tetapi, saya melihat tawaran tersebut sebagai satu perkara positif. Hal ini kerana, saya dapat memperbaiki kemahiran memasak dan dalam masa sama memahirkan kebolehan mengacara di hadapan kamera,” katanya yang kini masih mengendali program masakan Selera untuk musim kelima.

Bersedia

Bercerita lanjut mengenai ruang lingkup kerjayanya, Anis berkata, skop tugas seorang cef selebriti tidak tertakluk pada kebolehan memasak sahaja, tetapi meliputi aspek penyampaian dan keberkesanan komunikasi.

Kakak kepada dramatis Aisya Hasnaa itu memberitahu, seorang cef selebriti perlu bijak dalam menangani sebarang situasi dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Sewaktu rakaman, saya perlu berfikir lima minit lebih cepat berbanding apa yang saya sedang lakukan. Ini bermaksud, saya harus fikir soalan yang akan bermain dalam minda penonton sewaktu masakan sedang disediakan. Sebagai contoh, bahan gantian yang boleh digunakan jika bahan asal sukar didapati di sesuatu tempat.

“Selain itu, saya juga perlu sentiasa bersedia jika lokasi penggambaran diadakan di luar dan bekalan bahan-bahan mentah disediakan dalam kuantiti terhad,” katanya.

Sungguhpun begitu, Anis menjadikan setiap yang berlaku sebagai pengajaran buatnya untuk memperbaiki diri sebagai seorang cef selebriti pada masa akan datang.

“Walaupun harus menjadi lebih kreatif dan sentiasa peka terhadap persekitaran, saya menganggap cabaran sewaktu sesi penggambaran sebagai satu proses pembelajaran,” katanya lagi.

Tidak popular

Hampir satu dekad melakar nama sebagai pencinta bidang kulinari, portfolio kerjaya Anis sebagai cef selebriti kian menebal. Bahkan, kalau dicongak secara kasar, jumlah program masakan dijayakan wanita bertubuh genit itu sejak tahun 2010 sudah menghampiri angka 50.


POSITIF Anis berpendapat terdapat banyak program memasak mula mendapat tempat di hati penonton memberi impak positif kepada bidang kulinari.


Empat tahun kemudian, kerjaya Anis semakin berkembang apabila dia berpeluang menjayakan program Eating Wild untuk saluran AFC dan My Taste of Hong Kong (TLC Asia). Lebih manis, Anis merupakan satu-satunya cef celebriti dari Malaysia yang pernah terlibat dalam program terbitan TLC Asia.

Namun, kekerapan muncul menerusi saluran masakan dalam dan luar negara tidak membantu khalayak untuk menghadamkan namanya sebagai salah seorang cef selebriti di Malaysia. Bahkan, masih ada segelintir penonton yang tidak menyedari kehadiran Anis dalam bidang kulinari dan pengacaraan.

Mengakui bahawa dirinya kurang dikenali dalam kalangan penonton, Anis berkata, dia sedar bahawa persaingan dalam bidang kulinari semakin sengit sejak kebelakangan ini.

“Sewaktu saya mula-mula menceburkan diri dalam bidang kulinari, rancangan masakan tidak banyak diterbitkan. Ketika itu juga, istilah cef selebriti masih lagi canggung untuk disebut.

“Tetapi, sejak akhir-akhir ini, banyak rancangan masakan disiarkan dan termasuk juga program berbentuk realiti. Harus diakui, persaingan semakin sengit, tetapi, secara positifnya, industri kulinari di Malaysia semakin meriah,” katanya menutup perbualan.