Datuk Shake Pengetua AF 2016

21/08/2016 9:57pm



KUALA LUMPUR - Selepas 13 tahun menjadi rancangan realiti nyanyian popular, Akademi Fantasi (AF) hari ini mengumumkan penyanyi dan penghibur antarabangsa berkaliber negara, Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 66, sebagai Pengetua AF 2016.

Pengumuman tersebut dibuat pada konsert pertama AF 2016 di Auditorium Majlis Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas beberapa minggu peminat berteka-teki siapakah calon di kerusi panas AF tersebut.

“Ini adalah satu penghormatan dan juga penghargaan buat saya untuk berkongsi ilmu serta pengalaman bersama generasi baharu dalam dunia seni.

“Saya berharap bakat-bakat AF 2016 yang dilahirkan di bawah kendalian saya akan menjadi anak seni yang hebat dan bertaraf antarabangsa,” kata Sheikh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Shake ketika ditemui Kosmo! sebentar tadi.

Datuk Shake yang kini menetap di California, Amerika Syarikat bakal bermastautin selama beberapa bulan di Malaysia bagi menjalankan tanggungjawab sebagai Pengetua AF 2016.

Terdahulu, beberapa nama besar industri hiburan tanah air seperti Datuk M.Nasir, Datin Seri Tiara Jaqualine, Datuk Ramli MS, Datuk Hattan, Amy Search dan terakhir pada musim lalu, Edry Abdul Halim pernah memegang mandat sebagai pengetua program realiti tersebut. - K! ONLINE