Pengisian santai Mencari Sumaiyah

Teater Mencari Sumaiyah sudah melabuhkan tirai pada 14 Ogos lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.


JIKA dilihat pada judulnya sahaja, agak sukar untuk meletakkan justifikasi awal terhadap pengisian dan hala tuju yang mahu diangkat dalam teater Mencari Sumaiyah.

Mengikut telahan awal, judul teater arahan sulung pelakon Dira Abu Zahar itu sedikit menggambarkan penceritaan yang berat dan serius.

Hakikatnya, ia merupakan sebuah naskhah ringan dan santai dengan penampilan kelompok pelakon yang berkarakter.

Subjek utama yang cuba diketengahkan oleh pengarah juga tidak terlalu kompleks. Malah, kisah empat tukang jahit kampung yang bercita-cita untuk mengembangkan bisnes ke peringkat lebih tinggi seperti mengulang kembali pengisian puluhan telefilem yang kerap di tayangkan di layar kaca.

Berpeluang mengisi tempat duduk penonton di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, penceritaan naskhah garapan Junad M. Nor itu dilihat sengaja disampaikan secara bersahaja, secara tidak langsung menjadikan Mencari Sumaiyah kelihatan seakan-akan longgar dan kurang kukuh.

Walaupun digemilangkan oleh barisan pelakon kelas pertama seperti Erra Fazira, Mencari Sumaiyah masih gagal meletakkan satu titik tumpu yang boleh membuatkan penonton terus setia duduk di kerusi panggung.

Begitupun, masih ada beberapa perkara yang mampu menyelamatkan teater tersebut daripada dilabel sebagai naskhah biasa-biasa.

Komedi

Salah satu daripadanya adalah elemen komedi. Sejujurnya, elemen komedi merupakan pelaris utama buat teater Mencari Sumaiyah. Empat watak utamanya iaitu Zaitun lakonan Sherry Alhadad, Faridah (Nadia Aqilah), Mariam (Ruzana Ibrahim) dan Salmi (Aisya Hasnaa) dikerah untuk berpenampilan lucu, agar situasi panggung tidak terus lengang tanpa terisi sebarang emosi.

Pujian harus diberikan kerana kuartet yang menyandang predikat sebagai empat sahabat baik itu mampu mengemudi skala kelucuan Mencari Sumaiyah dengan baik.

Lebih ketara, apabila melihat Sherry yang meletakkan sisi komedinya secara bersahaja tanpa perlu cuba memancing fokus penonton.

Begitu juga dengan Afdlin Shauki yang menggalas karakter pereka fesyen dan pengurus bernama Rizalmon tidak menuntutnya bermain emosi dan lebih penghayatan. Cukup sekadar menjadi diri sendiri sewaktu di atas pentas, kemunculan Afdlin mengesankan.


PENGALAMAN di pentas teater mahupun di layar perak menjadi bonus buat Erra Fazira (tiga dari kanan) untuk terus memberikan persembahan cemerlang dalam Mencari Sumaiyah.


Selain itu, penyampaian lagu-lagu secara langsung bersama band pengiring turut menambahkan warna dalam persembahan. Tidak seperti kebanyakan pementasan lain, Mencari Sumaiyah memberi kepercayaan kepada para pelakonnya menyanyi secara langsung dan menari pada masa sama.

Ternyata, kepercayaan tersebut tidak disia-siakan. Erra Fazira yang menggerakkan watak Maya Sue dilihat seperti melepaskan kerinduan untuk kembali menyanyi apabila nota-nota tinggi dalam setiap lagu berjaya diperhalusi tanpa sebarang masalah.

Begitu juga dengan Aisya Hasnaa, adik kepada cef selebriti Anis Nabilah yang turut menjadikan pentas persembahan sebagai peringatan bahawa karier nyanyiannya masih hidup, biarpun sudah bertudung litup.

Komposisi muzik bagi rangkaian lagu turut disusun lebih segar manakala liriknya pula ditulis selari dengan penceritaan. Secara tidak langsung, hubung kait antara lagu dan plot yang diketengahkan sampai kepada penonton.

Penceritaan bermula apabila Zaitun, Faridah, Mariam dan Salmi berhasrat untuk ke Kuala Lumpur bagi mencari penyanyi popular, Maya Sue. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu mereka pakaian untuk penghibur nombor satu itu dan cuba merebut geran sebanyak RM1 juta daripada kerajaan.

Konflik tercetus selepas Maya Sue lebih tertarik untuk bekerjasama dengan mereka berbanding pereka fesyen dan pengurusnya sendiri, Rizalmon.

Terkesan dengan perkara tersebut, Rizalmon mula merangka taktik kotor agar rancangan untuk merebut geran tersebut gagal. Pada masa sama, di sebalik kejayaan Maya Sue mengukir nama sebagai selebriti, tersimpan rahsia besar yang tidak diketahui oleh sesiapa.

Mencari Sumaiyah mungkin digarap ringan tetapi isu yang dipaparkan sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada wanita Melayu khususnya golongan usahawan untuk lebih berusaha dalam memajukan ekonomi keluarga selain membawa perniagaan ke peringkat lebih tinggi.