Debaran Festival Filem Malaysia ke-28

FILEM Ola Bola mendapat pencalonan paling banyak iaitu menerusi 14 kategori dalam FFM28.


Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) sememangnya merupakan majlis pengiktirafan yang ditunggu-tunggu buat penggiat industri seni tanah air. Di situlah mereka dapat melihat nilai dan mutu karya yang dihasilkan mereka selama ini. Justeru, secara tidak langsung, ia menjadi kayu pengukur dalam melihat sesuatu naskhah itu dinilai secara profesional sebelum diangkat sebagai karya terbaik.

Sungguhpun begitu, lain sedikit ragamnya dalam penganjuran FFM28 kali ini. Mana tidaknya, selepas senarai penuh pencalonan diumumkan buat pertama kali pada awal bulan ini, sudah timbul isu pertikaian kredibiliti senarai calon akhir yang terpilih. Ada pihak yang merasakan sesetengah calon dalam kategori yang dipertandingkan tidak layak berada di kerusi tangga teratas.

Bahkan, lebih menimbulkan kekecohan apabila pembahagian kategori mengikut bahasa juga menjadi topik hangat perdebatan antara penggiat industri seni tanah air. Semuanya berlaku selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengumumkan untuk mempertandingkan tiga anugerah iaitu Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik kepada dua kategori, Bahasa Malaysia dan Bukan Bahasa Malaysia.

Pembahagian itu mencetuskan pelbagai reaksi umum. Ada yang menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah tidak relevan apabila memecahkan kategori bahasa. Ada yang beranggapan pembaharuan yang cuba dibuat Finas itu tidak selari dengan dasar kerajaan yang selama ini cuba menyemai semangat perpaduan dalam kehidupan majmuk di negara ini.

Ekoran daripada maklum balas yang diterima, satu mesyuarat khas yang melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Finas, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) terpaksa dilakukan bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian.

Rombakan

Selepas mencapai kata sepakat, satu rombakan terpaksa dibuat semula. Semuanya diputuskan selepas mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada pelbagai pihak yang mahukan penganjuran anugerah berprestij itu diterima baik dan berjalan dengan lancar.

FILEM Polis Evo bakal berentap dalam kategori Lakon Layar Terbaik.


Justeru, Finas menetapkan Anugerah Filem Terbaik Nasional sebagai anugerah utama kebangsaan pada penganjuran FFM28 kali ini. Kategori itu merujuk kepada filem terbaik yang dihasilkan oleh rakyat negara ini yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan dalam naskhah mereka.

Kategori utama itu dianggap relevan dengan status bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Sekali gus, dapat menyelesaikan isu pertikaian yang tercetus dek pembahagian kategori mengikut bahasa. Filem yang bakal bertanding dalam kategori itu adalah Nota, Polis Evo, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, Jejak Warriors dan Munafik.

Satu anugerah lain yang mengumpulkan karya menggunakan sebarang bahasa pertuturan di negara ini akan dinilai dan diangkat menerusi kategori Anugerah Filem Terbaik Malaysia. Ia secara tidak langsung akan menjadikan kategori itu sebagai anugerah terbaik festival yang dihasilkan oleh rakyat negara ini tanpa mengira bahasa. Sebanyak 10 pencalonan yang akan bertanding dalam kategori berkenaan. Lima daripadanya merupakan calon yang bertanding dalam kategori Anugerah Filem terbaik Nasional, manakala lima karya lain adalah Ola Bola, Jagat, Huat The Fish, Maravan dan The Kid From The Big Appple.

Sementara itu, kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik bagi Filem Bukan Bahasa Malaysia dimansuhkan dan semua filem akan bertanding dalam kategori berkenaan tanpa mengira bahasa. Justeru, FFM28 menyaksikan 10 finalis bersaing dalam tiga kategori utama iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Persaingan sengit

Jika diamati daripada jumlah pencalonan, filem Ola Bola arahan pengarah Chiu Keng Guan mendahului senarai FFM28 apabila menerima 14 pencalonan keseluruhan. Pencalonan itu sekali gus meletakkan filem itu di kedudukan selesa apabila peluang untuk menang itu lebih tinggi.

NADIYA tercalon dalam Pelakon Wanita Terbaik menerusi Love Supermoon.


Bagaimanapun, bagi pelakon utamanya, Luqman Hafidz memberitahu, setiap filem yang tercalon mempunyai kelebihan tersendiri. Justeru, sukar untuk meramalkan filem mana yang bakal diangkat sebagai filem terbaik. Apapun, katanya, dia bangga menjadi sebahagian daripada individu yang menjayakan filem itu. Apatah lagi, ia merupakan filem pertamanya selaku pendatang baharu.

“Saya rasa bangga dan teruja. Apabila dapat dicalonkan dalam pelbagai kategori, itu sudah cukup baik. Ola Bola ada jalan cerita dan mesej yang tersendiri. Begitu juga dengan filem-filem lain. Cuma, kalau tanya saya pesaing terdekat saya rasa adalah filem Polis Evo.

“Daripada respons orang ramai, impak filem Polis Evo itu memang kuat. Bagaimanapun, sukar untuk diramalkan,” ujar pendokong utama filem yang mengutip lebih RM15 juta itu.

Kata Luqman, selaku pelakon utama, biarpun dia tidak tercalon dalam kategori pelakon terbaik menerusi filem itu, dia tidak pernah berasa kecewa. Apa yang penting, katanya, rakan seperjuangannya turut tercalon.

“Apa yang penting kawan-kawan saya ada juga yang tercalon. Itu sudah menggembirakan saya,” katanya.

Ola Bola menerima pencalonan dalam kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Shivatharan Nambiar), Pelakon Baharu Wanita Terbaik (Marianne Tan), Pelakon Baharu Lelaki Terbaik (Saran Kumar) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Sri Balasubramaniam).

Malam Kemuncak FFM28 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 September ini.